Tuesday, August 18, 2015

PRU 14 - MAMPUKAH PARTI ULAMAK BERPEGANG PADA JANJI

Persetujuan tidak rasmi sudah dicapai PKR dan PAS membabitkan usaha awal merancang kerusi untuk ditandingi dalam PRU14 kelak.

Oleh kerana ini adalah persetujuan tidak rasmi maka jangan diharap sangat puak lebai PAS akan akur pada janji. Sedangkan persetujuan rasmi juga mereka langgar dalam PRU13..

kihkihkih

Mesyuarat PAS dan PKR setuju elak pertandingan 3 penjuru dalam PRU14

PAS dan PKR mencapai kata sepakat untuk memastikan tidak berlaku pertandingan 3 penjuru antara parti Islam itu, gabungan parti pembangkang yang baharu, atau Pakatan Rakyat 2.0 dan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Dalam mesyuarat rasmi pertama 2 parti itu selepas terkuburnya Pakatan Rakyat (PR), mereka bersetuju memastikan pertandingan dalam PRU ke-14 itu nanti satu lawan satu antara mereka melawan BN.

Pada pertemuan yang diadakan Jumaat lepas itu, PKR juga menawarkan menjadi tuan rumah buat pertemuan kembali antara PAS dan DAP bagi mengurangkan ketegangan antara bekas rakan kongsi PR itu dan PAS sedia menimbangkan tawaran itu.

"Saya sendiri menawarkan diri untuk menjadi tuan rumah untuk pertemuan itu, sambil-sambil kita makan karipap, bagi mengurangkan ketegangan antara kedua-duanya," kata Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli kepada The Malaysian Insider.

Dalam pertemuan itu, PKR diwakili sendiri presidennya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Rafizi serta naib-naib presiden Shamsul Iskandar Mohd Akin, Chua Tian Chan dan Dr Shaharuddin Badaruddin.

PAS pula diwakili timbalan presidennya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Setiausaha Agung Datuk Takiyudin Hassan dan setiausaha politik kepada presiden PAS Dr Shamsuri Mokhtar.

Ia diadakan di kediaman Dr Wan Azizah.

Delegasi PAS dalam pertemuan itu juga secara terus terang meminta PKR agar tidak mengadakan hubungan dengan kumpulan yang berpecah darinya, Gerakan Harapan Baru (GHB), dengan alasan ia tidak memberikan sebarang nilai tambah kepada PKR.

Namun, ia secara halus ditolak PKR kerana menjadi dasar parti itu untuk berbaik-baik dengan GHB, begitu juga DAP, yang tidak boleh bersama dengan PAS.

"Kami masih belum mencapai kata sepakat bagaimana mahu memastikan tiada pertandingan tiga penjuru, tetapi kita mencapai kata sepakat mengenai keperluannya," kata Rafizi.

Sementara itu, sumber lain memberitahu The Malaysian Insider, dalam pertemuan itu PAS berkeras tidak boleh lagi bekerjasama dengan DAP dan menganggap keputusan memutuskan hubungan mereka, dibuat ketika muktamar parti itu Jun lalu, satu tindakan tepat.

Katanya, PAS menunjukkan bukti terdapat penambahan dari segi bilangan keahlian parti seramai kira-kira 5,000 orang selepas memutuskan hubungan dengan DAP, sebagai bukti tepatnya keputusan itu.

PAS juga meminta PKR memutuskan hubungan dengan GHB dengan anggapan kumpulan itu hanya "umpama budak-budak yang sedang merajuk dan akan kembali semula kepada PAS selepas ini".

PAS menawarkan kerjasama terus diadakan dengan PKR terutama dalam menghadapi pilihan raya walaupun tidak lagi bersama dalam PR 2.0 yang bakal menggabungkan parti politik yang dibentuk GHB dan DAP.

Sehingga kini, tidak diketahui apakah persetujuan pada pertemuan Jumaat itu diterima PAS kerana ia diadakan sehari sebelum mesyuarat ahli jawatankuasa (AJK) PAS Pusat di Taman Melewar, Gombak.

Muktamar PAS awal Jun lalu menerima tanpa bahas usul yang dikemukakan Dewan Ulama PAS Pusat bagi memutuskan hubungan dengan DAP.

Majlis Syura Ulama, badan tertinggi dalam PAS selepas itu mengesahkan keputusan muktamar itu dan memutuskan hubungan dengan DAP secara rasmi.

Ekoran itu, hubungan antara PKR, DAP dan PAS terurai selepas hancurnya PR. PKR dan DAP pula menjalinkan hubungan dengan GHB untuk membentuk PR 2.0. -TMI

1 comment: