Saturday, July 25, 2015

Tiga Pemimpin PAS Selangor isytihar keluar parti untuk sertai GHB


Dua ADUN PAS dan seorang Ahli parlimen dari Selangor mengesahkan akan keluar parti dan menyertai parti baharu yang bakal ditubuhkan oleh Gerakan Harapan Baru (GHB) pada 14 September ini.

Ketiga-tiga mereka ialah ADUN Morib, Hasnul Baharuddin; ADUN Hulu Kelang, Saari Sungib dan Ahli Parlimen Kota Raja, Siti Mariah Mahmud.

Keputusan Hasnul dan Saari dijangka meletakkan pentadbiran kerajaan negeri Selangor di bawah teraju PKR berada dalam keadaan tidak menentu. Ini memandangkan tindakan mereka akan mengurangkan jumlah kerusi PAS di dalam DUN dari 15 kepada 13 kerusi. DAP pula menguasai 15 kerusi manakala PKR 13 kerusi.

Hasnul yang digantung keahliannya berkata, keputusan itu diambil atas alasan PAS telah berpatah balik ke belakang apabila meminggirkan dan membuang pemimpin berwibawa yang membawa parti itu maju ke hadapan dan menjadikan perbezaan pendapat sebagai satu kesalahan.

“Keluar PAS bukan satu keputusan yang mudah sebenarnya kerana saya telah lama dengan parti itu dan saya tidak bencikan PAS tetapi saya perlukan wadah lebih baik. Kalau satu, dua orang keluar bolehlah dianggap parti sebagai kecewa tetapi ini melibatkan ramai orang serta mendapat sokongan dan saya percaya ada lagi ahli PAS lain yang mengambil sikap tunggu dan lihat.

“PAS kena ingat, parti itu dulunya hanya dianggap parti kampung atau Pantai Timur tetapi akhir­nya mendapat banyak sokongan melalui dasar keterbukaannya dan kerjasama dengan pakatan pembangkang tanpa meninggalkan prinsip-prinsip asal,” katanya.

Semalam, bekas Ahli Jawatankuasa PAS pusat, Khalid Abdul Samad mengesahkan kesemua pemimpin PAS yang terlibat dalam Gerakan Harapan Baharu (GHB) akan meninggalkan parti itu secara automatik apabila sebuah parti politik baharu ditubuhkan secara rasmi pada 14 September ini.

Parti tersebut yang tertubuh hasil inisiatif GHB yang dipengerusikan oleh bekas Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu akan menggantikan PAS bagi menjalinkan kerjasama dengan parti pembangkang lain melalui apa yang dikenali sebagai Pakatan Rakyat Baru.

Saari Sungib yang turut digantung keahlian PAS memberitahu, beliau membuat keputusan menyertai parti baharu atas prinsip demokrasi.

“Saya bukan lagi pemimpin PAS kerana keahlian saya dalam Pas digantung sehingga Oktober ini. Atas prinsip demokrasi, saya menyokong GHB seterusnya parti baharu yang bakal ditubuhkan nanti,” katanya.

Siti Mariah pula menjelaskan, terpulang kepada kepimpinan parti untuk memecatnya sekiranya beliau menyertai parti baharu nanti.

“Saya tunggu parti baharu ditubuhkan terlebih dahulu kerana kini masih dalam proses. Saya tidak perlu keluar kerana dengan sendirinya akan gugur jika saya sertai parti lain,” jelasnya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Sepang daripada PAS, Mohamed Hanipa Maidin yang difahamkan turut akan menyertai parti baharu terbabit gagal dihubungi untuk mendapatkan pengesahan.

Panggilan telefon yang dibuat kepadanya tidak dijawab manakala mesej menerusi WhatsApp yang dihantar tidak dibalas

www.suara.tv/2015/07/22/3-wakil-rakyat-pas-dari-selangor-umum-keluar-parti/


BERIKUT PULA ADALAH SENARAI PIMPINAN MUDA PAS YANG MELETAK JAWATAN TETAPI TIDAK DIKETAHUI SAMA ADA KELUAR PARTI ATAU TIDAK

No comments:

Post a Comment