Thursday, June 11, 2015

Penafian Dr.Harun Din - Saya Bukan Lagi Mursyidul AM PAS

Kemelut dalaman Pakatan Rakyat dijangka terus berpanjangan memandangkan mesyuarat Majlis Syura PAS, yang ditunggu-tunggu, masih belum bersidang.

Sesi baru majlis itu juga baru sempurna dibentuk malam tadi, selepas jawatankuasa pusat bermesyuarat kali pertama malam tadi.

Semalam Mursyidul Am PAS Datuk Haron Din sendiri berkata beliau secara teknikalnya bukan pemegang rasmi jawatan itu.

“Sekarang saya bukan lagi mursyidul am PAS. (Majlis) Syura telah habis tempohnya.

"Sehingga dibentuk semula oleh PAS pusat, mursyidul am akan dipilih semula, mungkin bukan saya,” katanya.

Haron juga berkata beliau juga setakat ini tidak dapat memastikan bila mesyuarat itu akan diadakan.

Dalam masa yang sama, Haron dijadual mengerjakan umrah selama dua minggu bermula Isnin (15 Jun) depan.

"Segala-galanya akan ditentukan dalam mesyuarat yang entah bila.

"Justeru saya akan pergi umrah pada 15 Jun selama dua minggu," katanya kepada Malaysiakini.

Dalam ilmu Allah, kata SU

Mesyuarat Majlis Syura biasanya dipengerusikan oleh mursyidul am.

Sementara itu, Setiausaha Majlis Syura Datuk Nik Zawawi Nik Salleh ketika dihubungi Malaysiakini tidak mengatakan dengan jelas bila badan itu akan bersidang.

"Dalam ilmu Allah,” jawab bekas anggota parlimen Pasir Puteh itu sambil ketawa kecil.

Kemelut antara PAS dan DAP dilihat bertambah buruk apabila muktamar PAS di Kuala Selangor minggu lalu meluluskan usul Dewan Ulama untuk memutuskan hubungan dengan DAP.

Perbalahan dua parti dalam Pakatan itu juga semakin meruncing apabila mereka saling ungkit-mengungkit kesalahan satu sama lain.

Terdapat juga beberapa ahli PAS yang telah keluar daripada parti berikutan kecewa dengan keputusan muktamar kali ke-61 itu.

Mesyuarat kepimpinan baru dalam jawatankuasa Pusat PAS yang pertama semalam tidak membincangkan usul penting iu.

Selain itu, ekoran keputusan pada muktamar itu juga menyebabkan Setiausaha Agung DAP yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng meminta supaya semua wakil PAS yang menduduki jawatan dalam kerajaan negeri meletak jawatan. -mk

No comments:

Post a Comment