Wednesday, June 10, 2015

Menantu aku .... menantu aku

PAS hipokrit jika tidak keluar Pakatan

Kini semua orang tahu bahawa keputusan pemilihan dalam muktamar PAS memberi satu petunjuk yang amat jelas – para perwakilan telah bersuara dan mahukan golongan agamawan menerajui pimpanan parti di peringkat Pusat.

Keputusan ketiga-tiga Dewan dalam PAS iaitu Dewan Pemuda, Muslimat dan Ulama juga memberi petunjuk yang sama.

Isu sama ada pimpinan PAS yang ada sekarang adalah pemimpin dari chai tertentu tidak lagi menjadi persoalan.

Hakikatnya saf pimpinan PAS yang ada adalah jelas diwakili secara majoritinya golongan ustaz dan agamawan yang mesra presiden PAS. Mereka akan dilihat sentiasa menyokong segala keputusan presiden PAS tanpa berbelah bahagi.

Hakikat ini diperakui sendiri oleh ketua Dewan Ulama yang baru iaitu Dato Dr Mahfoz Mohamed dalam temuramah beliau bersama akhbar Mingguan Malaysia Ahad lepas.

Antara lain beliau dilaporkan berkata PAS tidak boleh membuat keputusan kerana dominasi golongan profesional.

“Sebab itulah kadang kadang tok guru terpaksa buat keputusan sendiri.Beliau merujuk kepada Majlis Syura sahaja.

“Kalau dibawa kepada AJK pusat memang kalah. Kali ini apabila kebanyakan AJK sokong ulama maka memang kerja akan menjadi mudah kerana masing-masing tahu dasar-dasar PAS.

“Semua ustaz memahami perkara itu dan memang kesetiaan mereka kepada presiden akan lebih kukuh."

Jelas daripada kenyataan Dato Dr Mahfoz tersebut bahawa selama ini golongan profesional atau juga digelar sebagai golongan progresif dalam PAS menjadi penghalang utama kepada presiden PAS dalam membuat satu satu keputusan.

Jika mengikut logik ketua Dewan Ulama PAS, kekalahan golongan progresif dalam PAS ini sekali gus, akan memudahkan kerja-kerja presiden PAS.

Mungkin kita perlu menyoroti ke belakang sedikit dan melihat senario yang berlaku sebelum proses pemilihan tersebut dilakukan. Kita bukan sahaja melihat betapa aktif dan agresifnya kempen golongan ulama dalam PAS, tetapi juga dua aliran atau jalur pemikiran dalam PAS.

Satu golongan yang boleh dikatakan mempromosi politik eksklusif yang tercerna dalam slogan mempertahan kepimpinan ulama. Ia amat berlawanan dengan politik inklusif yang PAS cuba tonjolkan sebelum ini dengan slogan seperti PAS for All, Islam rahmat untuk semua dan lain-lain.

Politik inklusif ini bertujuan bagi memastikan PAS dibawa ke pentas utama dalam persada politik Malaysia.

Bertolak daripada slogan kepimpinan ulama itu, ia membawa mesej yang amat jelas dan keras kepada para perwakilan bahawa kompromi dan toleransi PAS dengan rakan Pakatan khususnya DAP telah melepasi tahap yang dibenarkan oleh Islam sekali gus menghilangkan jati diri PAS sebagai sebuah gerakan Islam.

Politik esklusif itu menyebabkan mana-mana pihak dalam PAS yang kritikal dengan pendekatan tersebut dilihat sebagai tembok penghalang untuk PAS mempertahankan jati diri Islamnya.

Bukan sahaja pelbagai label diwujudkan bagi melabel tembok penghalang tersebut, malahan di saat akhir kempen pemilihan, ahli PAS khususnya para perwakilan terpaksa memilih – sama ada mereka ingin memilih calon yang cenderung kepada DAP atau calon yang ingin pertahankan jati diri PAS?

Slogan itu juga mempromosi tema bahawa kemenangan dalam pilihan raya bukan segala-galanya dan yang penting adalah keredaan Allah.

Apa guna PAS melalui Pakatan dapat menawan Putrajaya jika Islam tidak dapat ditegakkan? Ya, Islam yang mereka tonjolkan adalah Islam yang lebih bersifat hukum daripada Islam sebagai rahmatan lil 'alamin (Islam rahmat untuk semua).

Islam yang dipromosi itu juga mewujudkan satu persepsi bahawa penafsir tunggal Islam, terutamanya dalam PAS itu sendiri, adalah golongan agamawan sahaja.

Dan terbukti slogan murah itu mudah mempengaruhi ahli PAS dan perwakilan sehingga mereka boleh dikatakan telah hilang rasional dalam berfikir dan bertindak. Natijahnya, keputusan muktamar memihak kepada golongan agamawan dan mengenepikan sama sekali tokoh golongan progresif dalam PAS.

Melihat kepada perbahasan di Muktamar PAS, majoriti pembahas boleh dikatakan menghentam DAP dan mahu PAS berpegang kepada prinsip perjuangan. Dewan Ulama mahu hubungan dengan DAP diputuskan dan dalam masa yang sama terus bersama Pakatan.

Usul tersebut diterima oleh Muktamar tanpa bahas dan penerimaan usul itu sendiri sudah cukup menunjukkan PAS hakikatnya sudah bersedia mengambil risiko demi mempertahankan prinsip dan jati dirinya.

Dengan ketiadaan tokoh tokoh progresif dalam saf kepimpinan PAS kini, sepatutnya kepimpinan baru dalam PAS tidak mempunyai masalah untuk meneruskan visi dan misi mereka. Mereka sewajarnya konsisten berpegang kepada pendekatan keras tersebut dan tidak sama sekali berpusing ke belakang.

Dengan erti kata lain, mereka sewajarnya membawa PAS keluar daripada Pakatan kerana visi dan misi yang mereka perjuangkan tidak selaras dengan misi dan visi Pakatan.

Mereka tidak sewajarnya berdolak dalik lagi dengan menyatakan kami bersama Pakatan tapi tidak bersama DAP sedangkan tanpa DAP hakikatnya tidak wujud lagi Pakatan.

Kepimpinan baru PAS tidak sewajarnya mempedulikan kehilangan kepentingan PAS di negeri yang Pakatan perintah khususnya di Selangor demi mempertahankan prinsip perjuangan dan mendapat keredaan Allah.

Jika mereka sebaliknya terus ingin menjaga kepentingan PAS di Selangor dan dalam masa yang sama cuba mempertahankan prinsip perjuangan dan reda Allah ianya menampakkan mereka tidak ikhlas dan tidak konsisten. Dengan lain perkataan mereka mungkin akan dituduh hipokrit .

Kalau mereka tidak berani bertegas dengan pendirian keras mereka seperti yang dijelmakan di pra muktamar dan masih mahu terus ingin bersama Pakatan (tanpa DAP) mereka pasti akan ditertawakan.

Mereka juga mungkin sukar melarikan diri dari tuduhan bahawa segala apa yang dicakap dan dibuat sebelun muktamar hanya semata-mata untuk menang dalam muktamar.

Maka satu-satunya jalan bagi mempertahankan jati diri PAS, kepimpinan baru sewajarnya berani, tegas dan konsisten mempertahankan prinsip perjuangan dan satu-satunya jalan bagi merealisasikan hal tersebut ialah dengan PAS keluar daripada Pakatan secara hormat .

Jika PAS masih ragu-ragu dan takut kehilangan kepentingan di Selangor berbanding mempertahankan keredaan Allah, segala apa yang dikatakan sebelum muktamar akan dilihat sebagai gimik semata-mata dan ini pasti akan melukakan PAS itu sendiri. -Hanipa Maidin

wakaka
al munafik kanan kiri tengah meeting tuuuu
bincang pasal income dari glc

No comments:

Post a Comment