Wednesday, May 20, 2015

Penyokong Husam Akan Undi Ahmad Awang

Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa hari ini berkata beliau hanya ingin bertanding untuk mengekalkan jawatan naib presiden PAS yang disandangnya dan menolak pencalonan untuk jawatan presiden timbalan presiden, meskipun terdapat beberapa kawasan yang mencadangkan namanya bagi kedua-dua jawatan tersebut.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Husam turut memohon maaf kepada ahli dan kawasan parti Islam itu yang mencadangkannya bagi jawatan yang kini disandang Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Mohamad Sabu.

"Dengan memohon berbanyak maaf kepada semua kawasan dan ahli yang meletakkan harapan besar itu, saya hanya berhasrat menerima pencalonan jawatan naib presiden PAS yang saya sandang sekarang.

"Saya memahami hasrat dan keprihatinan mereka, terutama terhadap hala tuju perjuangan Islam yang dibawa PAS dalam konteks Malaysia bagi dekad-dekad akan datang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Husam diumumkan layak bertanding jawatan presiden pada 7 Mei lalu, dan setakat ini memperolehi 8 pencalonan.

Beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Salor mengatakan beliau tertarik dengan gandingan ulama dan profesional dalam PAS.

"Saya fahami pergolakan yang berlaku di dalam PAS sekarang.

"Selaku generasi yang dilahirkan oleh kepimpinan ulama pada hari pertamanya, iaitu Muktamar 1982 dan terpesona dengan gagasan mengulamakan profesional dan memprofesionalkan ulama, saya tetap percaya tonggak kepimpinan PAS adalah kepimpinan ulama," kata Husam.

PAS kini sedang melalui proses pemilihan dalaman parti tersebut, dan muktamar tahunan mereka dijadualkan berlangsung Jun depan di Kuala Selangor.

"Saya mengucapkan setinggi terima kasih kepada semua kawasan yang terlibat yang memberikan kepercayaan dan harapan yang begitu tinggi kepada saya," katanya.

"Dengan bertawakal kepada Allah, saya menerima pencalonan sebagai naib presiden PAS."

Husam turut menegaskan peri penting kepimpinan ulama yang diterajui PAS.

"Kepimpinan ulama yang soleh, mukhlisin dan muttaqin yang menjadi teraju utama digandingkan dengan semua amilin yang lain dalam ikatan semangat syura, ukhuwah dan saling lengkap melengkapi," katanya.

Beliau turut mengingatkan pada masa sama PAS perlu memandu parti secara berhati-hati dari terperangkap dengan tipu daya politik pihak lawan dalam semua keadaan bagi mencapai matlamat yang ditetapkan dalam Perlembagaan parti itu.

Husam turut mengingatkan, Fasal 5 Perlembagaan PAS adalah untuk memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukum menuju keredhaan Allah dan mempertahan kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan negara.

"Apa yang dicapai oleh perjuangan PAS pada hari ini adalah kesinambungan dari pendekatan, strategi dan kaedah yang diputuskan pendahulu kita secara syura pada semua peringkat.

"Roadmap Putrajaya bagi membentuk kerajaan Persekutuan dan pendekatan 'PAS for All' bagi memenangi hati masyarakat bukan Islam umpamanya adalah diputuskan oleh jamaah peringkat demi peringkat dan bukan lahir hanya oleh keputusan mana-mana individu," katanya.

Bekas exco Kelantan itu berkata, jika matlamat itu difikirkan tidak mengikut Islam, jamaah perlu membuat keputusan yang baharu dan tidak boleh mana-mana pihak dalam jamaah mengambil sikap untuk menidakkan keputusan yang dibuat sebelum ini.

"Politik Islam yang mengatasi sempadan kaum sehingga membuahkan kepercayaan penyokong bukan tradisi adalah sebahagian dari buah kejayaan dalam rangka jangka panjang dakwah dan siasah Islami.

"Ia kejayaan dan keberkatan dari apa yang disyurakan sebelum ini," katanya. –TMI

No comments:

Post a Comment