Sunday, May 10, 2015

Pendeposit Serbu Tabung Haji Untuk Tutup Akaun

Sekumpulan pemegang akaun Tabung Haji (TH) hari ini bertindak mengeluarkan wang simpanan mereka daripada badan penyimpan wang bakal haji itu, sebagai membantah keputusannya membeli tanah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) seperti didedahkan baru-baru ini.

Mereka juga menyatakan hilang kepercayaan dengan TH, dan menuntut pengerusinya, Datuk Abdul Azeez Rahim meletakkan jawatan.

"Kami akan masukkan balik duit ini selepas Datuk Azeez meletakkan jawatan sebagai pengerusi," kata Mohd Hilmi Radzuan yang mengetuai kumpulan ini, ketika ditemui di perkarangan kaunter TH di Anggerik Mall, Shah Alam pagi tadi.



Azeez sebelum ini menafikan dakwaan beberapa blog mengenai pembelian itu, tetapi kemudiannya mendakwa kesilapan komunikasi selepas pengesahan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tabung Haji Datuk Johan Abdullah.

Hilmi berkata tindakannya mengeluarkan wang merupakan signal daripada rakyat Malaysia agar TH tidak dikuasai kelompok yang menjaga kepentingan politik mereka daripada pendepositnya.

Seorang lagi penyimpan, Danial Al-Rashid Haron Aminar berkata beliau hilang kepercayaan kepada TH sejak timbul isu pembelian tanah 1MDB ini.

Danial, yang merupakan anak bekas pelakon Allahyarham Haron Salim Bachik, mahu TH dikembalikan kepada tujuan asalnya dan tidak dikuasai orang politik.

"Sebelum ni ok je. Bagi saya, Azeez kena letak jawatan," katanya yang mengeluarkan RM1,000 daripada akaun yang disimpan atas nama anaknya.

Turut hadir ialah seorang guru, yang mengambil cuti sekejap dari tempat kerjanya bagi urusan mengeluarkan wang simpanannya hari ini.

"Saya memang marah bila dengar berita ini, sebab itu saya ambil keputusan keluarkan wang saya dari Tabung Haji.

"Dia pandai-pandai guna wang kita untuk selamatkan kroni dia," kata guru berusia 29 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Mohamad itu.

Rafizal Ali, 36, mengeluarkan RM1,500 hari ini dan menuntut Azeez meletak jawatan.

"Saya hilang keyakinan kepada TH selagi Azeez memimpinnya," kata Rafizal kepada The Malaysian Insider.

Beliau berjanji akan menyimpan semula wangnya selepas Azeez meletak jawatan dan TH membatalkan pembelian tanah 1MDB itu.

TH semalam mengesahkan ia membeli sebidang tanah bernilai RM188.5 juta daripada projek pelaburan Tun Razak Exchange (TRX), iaitu projek utama oleh 1MDB, yang terletak di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur.

TH mendakwa pembelian itu mendapat "diskaun" harga berbanding nilai pasaran semasa.

Badan pengelola dana simpanan itu merancang membina sebuah menara kediaman di tapak yang akan dibangunkan anak syarikat TH, TH Properties Sdn Bhd, sebuah syarikat hartanah dan pembinaan yang terlibat dalam pembangunan perbandaran bercampur Bandar Enstek seluas 5.119 ekar berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

"Pelaburan itu berdasarkan kepada keputusan komersial yang sesuai dengan risiko Tabung Haji dan melalui semua proses sewajarnya," kata Johan dalam kenyataannya, semalam.

Bagaimanapun, TH menafikan kumpulan itu membeli sebidang tanah daripada 1MDB di parcel kedua TRX seperti diperkatakan blog "The Benchmark" yang membocorkan dokumen didakwa memperincikan pembelian TH sebanyak 2 plot tanah di TRX dengan jumlah modal RM772 juta.

Bagaimanapun, ahli Parlimen pembangkang Zairil Khir Johari menegaskan TH sudah membayar nilai hartanah itu jauh lebih mahal berbanding nilai yang dibayar 1MDB pada kadar RM64 sekaki persegi 4 tahun lalu. – 8 Mei, 2015.


3 comments:

  1. Apa kata ulamak..............kita tunggu dan lihat! UKE, HD mursyid..........sudah bisu ke?

    ReplyDelete
  2. Siapa yg bertanggong jawab melantik Pengerusi TH haa? Kena bertanggong jawab jugalah untuk memecat Pengerusi TH ni. Sekarang ni dah jadi trend yg orang politik dilantik untuk jadi Pengerusi Lembaga agensi kerajaan bagi badan2 berkanun...untuk tujuan apa???

    ReplyDelete
  3. Walau apa jenis tabung pun kalau ada "LEMBAGA" tambahan kalau lembaga itu "GELAP" tak kan selamat punya. Tindakan kamu semua untuk menutup akaun di tabung yang ada "LEMBAGA" dan gelap pula elok lah di tutup. Kalau tidak aniaya wang kamu. Aku yang berkelulusan M.C.E dah pun titip akaun aku sebaik sahaja si Mamak yang hanya berkelulusan S.P.M, tetapi kerap mencium tangan "MAK BADAK" di lantik sebagai CEO TH.

    ReplyDelete