Tuesday, April 14, 2015

Ahmad Awang dah kena FLYING KICK

Bekas naib presiden PAS Ahmad Awang menyifatkan masalah yang sedang melanda parti itu sangat teruk, tidak kecil seperti dakwaan presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Jika dibiarkan berterusan, parti boleh hancur, kata Ahmad yang merupakan salah seorang calon yang layak bertanding kerusi presiden pada pemilihan parti yang akan datang Jun ini.

"Presiden kata ia perkara kecil. Apa yang ada sekarang ini bagi saya sangat teruk, dan jika terus dibiarkan, ia boleh menghancurkan parti," kata ahli Majlis Syura Ulama itu. Beliau berkata, badan tertinggi parti Islam itu juga mahu pimpinan parti tidak membiarkan apa yang berlaku begitu sahaja, tetapi perlu menghentikannya segera.

 "Jika ini caranya dan dibiarkan oleh parti, ini bukan saja tidak demokratik tetapi bercanggah dengan prinsip perjuangan PAS," kata Ahmad yang kini turut menjadi mangsa "permainan politik" yang berlaku dalam parti itu sekarang. Beliau yang juga bekas presiden Persatuan Ulama Malaysia itu mendakwa, pihak tertentu sudah mula mengenakan tekanan kepadanya, termasuk menghentikan kuliah beliau di masjid.

Ia dibuat ekoran tulisan beliau yang didakwa mengkritik cara kumpulan ulama dalam parti itu berkempen dan juga ekoran pencalonan yang beliau terima untuk bertanding jawatan presiden PAS.

"Setiausaha sebuah masjid menghantar SMS meminta saya menghentikan kuliah, selepas dinasihatkan Jawatankuasa Harian PAS kawasan, meminta saya direhatkan dari mengajar di masjidnya," kata Ahmad kepada The Malaysian Insider. Ahmad yang sedang mempertimbangkan untuk bertanding jawatan itu berkata, jika beliau memutuskan untuk bertanding, PAS perlu pastikan amalan demokrasi diamalkan dengan baik.

Beliau juga mengkritik sikap Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din yang baru dilantik, yang membuat kenyataan terbuka agar Hadi dikekalkan sebagai presiden. "Ia tidak wajar dilakukan. Ia satu penyalahgunaan kuasa. Kerana kedudukan dia itu ada pengaruhnya," kata Ahmad yang turut kesal dengan kenyataan beberapa pesuruhjaya negeri yang seolah-olah memaksa PAS kawasannya menyokong calon tertentu. "Bertanding bukan bermakna kita berseteru. Tetapi sekarang, seolah-olah kita mahu berseteru dengan rakan yang kita tandingi," katanya. Beliau juga kesal dengan serangan ke atas Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu yang dibuat melalui baju-T yang dijual di Himpunan Derita Rakyat (Hindar) anjuran Dewan Ulama PAS di Padang Merbok, Kuala Lumpur, Sabtu lepas.

Dalam himpunan itu, seorang penjual menjual baju yang tertulis "Yes to Hudud, No to Mat Sabu" di sebuah gerai di himpunan itu. "Mungkin pihak penganjur boleh kata mereka tidak tahu. Tetapi sekarang mereka sudah tahu, tindakan perlu diambil oleh mereka." Ahmad melepasi syarat minima 2 pencalonan pada Sabtu apabila mendapat pencalonan untuk bertanding kerusi presiden parti Islam itu dari Bukit Gelugor, Pulau Pinang dan Jelebu, Negeri Sembilan selepas mendapat pencalonan dari Parit Sulong sebelum ini.

Selain beliau, Datuk Husam Musa juga layak bertanding selepas mendapat pencalonan 8 kawasan di seluruh negara. Pada Sabtu, beliau menerima satu lagi pencalonan iaitu dari Tanjung Piai, Johor. Menjelang muktamar PAS ke-61 Jun ini, Hadi mendapat cabaran getir sejak hari pertama apabila kawasan yang pertama mengadakan mesyuarat, iaitu Kota Baru, Kelantan, tidak menamakan beliau sebaliknya mencalonkan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai presiden.

 Namun, Tuan Ibrahim menolaknya, menyebabkan pencalonan beliau kekal satu dan tidak berubah sehingga kini. Setakat ini, 22 kawasan mencalonkan Hadi mengekalkan jawatan presiden. Parti itu dilanda krisis dalaman akibat perbezaan pendapat antara ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat (PR) - PAS, DAP dan PKR.

Antaranya ialah langkah PKR menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar Selangor dan pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Kajang yang berkaitan. Kemelut itu berpanjangan apabila Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dipilih sebagai calon untuk jawatan menteri besar, tetapi tidak dipersetujui PAS, terutamanya Hadi, walaupun PKR dan DAP setuju hanya satu nama harus dikemukakan kepada Sultan Selangor.

Keadaan menjadi bertambah buruk dengan keputusan PAS Kelantan meminda Enakmen Jenayah Syariah II negeri itu, dalam usaha membuka jalan bagi pelaksanaan hudud di Kelantan, disusuli tindakan Hadi membelakangkan PR dengan memohon membentangkan rang undang-undang persendirian di Dewan Rakyat, bagi meminda Akta Mahkamah Syariah 1965. Tahun lepas, akibat keadaan yang tidak stabil dalam PAS itu, beberapa ahli parti Islam itu memutuskan menubuhkan Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) bertujuan mengukuhkan hubungan dalam pakatan pembangkang. http://muktamarpas61.blogspot.com/

Copy and WIN : http://ow.ly/KNICZ

No comments:

Post a Comment