Thursday, April 9, 2015

Ahli Parlimen Rompin terbunuh dalam nahas helikopter



Bekas menteri yang juga ahli Parlimen Rompin, Tan Sri Jamaluddin Jarjis terbunuh dalam nahas helikopter berhampiran Semenyih petang ini. Beliau berusia 63 tahun.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai memberitahu Bernama bahawa Jamaluddin adalah antara enam penumpang helikopter malang itu

Turut terbunuh ialah Azlin Alias, setiausaha sulit kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak.

Empat orang lagi ialah hartawan Robert Tan - pemilik pusat membeli-belah terbesar di negara ini, Mid-Valley City - kapten juruterbang Cliff Fournier, pembantu juruterbang Ajdiana Baiziera, dan pengawal peribadi Tan yang dikenal pasti sebagai Raskan.

Helikopter itu dipercayai dalam perjalanan pulang dari majlis perkahwinan anak perempuan Najib di Pekan, Pahang.

Sementara itu, Bernama melaporkan Jabatan Bomba Selangor berkata kesemua enam mayat mangsa nahas helikopter itu telah ditemui.

Helikopter itu yang dipercayai dimiliki oleh sebuah syarikat swasta, terhempas dan terbakar pada kira-kira jam 4:55 petang ini.

Sementara itu, Bernama memetik seorang jurucakap JPAM sebagai berkata nahas itu berlaku ketika hujan dan angin kencang.

Jamaluddin yang merupakan pengerusi Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA), pernah berkhidmat sebagai menteri dan juga Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat.

Dalam pilihan raya umum 2013, Jamaluddin memenangi kerusi Parlimen Rompin dengan majoriti 15,114 undi, menewaskan calon PAS Nuridah Mohd Salleh.

Jamaludin memperolehi 30.040 undi, manakala Nuridah meraih 14.926 undi. Penggundi di situ terdiri daripada 87 peratus Melayu, 2 peratus Cina dan 8 peratus lain-lain, yang kebanyakannya Orang Asli. -mk


No comments:

Post a Comment