Saturday, January 10, 2015

AKU CINTA PADAMU FAEKAH - Do U lap Me?

Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali menegaskan tidak akan berkompromi dengan penyelewengan yang ada dalam pampasan wang sebanyak RM2.6 juta kepada lapan kakitangan bekas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Beliau berkata laporan audit yang dikemukakan memang tidak ada masalah dan menambah apa yang berlaku dalam pembayaran tersebut memang bercanggah dengan tatacara dan prosedur kewangan.

Azmin mendakwa perkara itu telah diteliti oleh pengurusan MBI. Tambahnya satu jabatan bebas telah ditubuhkan untuk melakukan siasatan dan terbukti daripada dokumen yang dibentangkan itu memang berlaku penyelewengan dan penyalahgunaan.

Kata Azmin, MBI telah melakukan cara yang cukup diplomatik bagi menyelesaikan perkara ini dengan baik.

“Sekiranya ada penyelewengan kita minta mereka pulang balik dan sekiranya ada hak mereka kita akan bayar. Namun pembayaran itu mesti mengikut garis panduan yang betul,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran misi bantuan pembersihan bencana banjir di negeri Kelantan oleh pihak berkuasa tempatan negeri Selangor.

Beliau juga berkata tidak akan mencampuri urusan jabatan audit dalam menjalankan siasatan dan yakin pasukan audit itu telah ambil semua langkah bagi memastikan ketelusan.

Sebelum ini, mantan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar (MBI) Faekah Hussin mengakui telah menerima surat tuntutan pemulangan keseluruhan wang yang diberikan oleh pengurusan MBI kepadanya sebelum pentadbiran baharu mengambil alih pucuk pimpinan kerajaan negeri Selangor.

Faekah menyatakan kekesalannya serta menyifatkan pentadbiran MBI sekarang sebagai bertindak melampaui batas yang luar biasa berkaitan isu MSS (Mutual Severance Scheme).

Azmin dimaklumkan oleh pengurusan MBI bahawa mereka yang terlibat ini telah diberikan masa dua minggu untuk menjawab surat tuntutan berkenaan.

Sekiranya mereka gagal memberi respon, akan ada tindakan-tindakan yang telah diputuskan oleh pengurusan MBI.

“Tindakan itu akan diumumkan oleh pihak MBI selepas tempoh itu tamat,” jelasnya. Kerajaan Negeri Selangor pada 3 Disember, mendedahkan laporan pampasan wang sebanyak RM2.6 juta teleh diberi kepada lapan kakitangan bekas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Laporan itu turut mendedahkan bayaran pampasan sebanyak 30 peratus daripada gaji didarabkan dengan jumlah bulan yang telah berkhidmat.

Sebelum ini, Faekah dikatakan penerima jumlah terbesar pampasan tersebut. Faekah didakwa menerima bayaran sebanyak RM700,000.

Manakala, Setiausaha Akhbar Khalid Ibrahim, Arfa’eza Abdul Aziz menerima pampasan RM358,000 dan RM55,000 ganti kepada notis tiga bulan dan Setiausaha Politik Mustapa Mohd Talib menerima RM265,000.

Pembantunya yang lain didakwa dibayar antara RM97,000 dan RM230,000 masing-masing sebagai pampasan dan di antara RM18,000 dan RM69,000 sebagai ganti kepada notis tiga bulan mereka. -FMT

No comments:

Post a Comment