Saturday, December 13, 2014

Transaksi Meragukan 1MDB

Berikutan pendedahan demi pendedahan yang dibuat berkaitan syarikat 1 Malaysia Development Berhad (1MDB), Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan, Dato’ Sri Khairuddin Abu Hassan hari ini membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi bagi menggesa satu siasatan dijalankan terhadap syarikat terbabit.

“Setelah membaca, meneliti dan mengkaji pelbagai laporan-laporan atau pendedahan mengenai kepincangan pentadbiran kewangan syarikat 1MDB melalui artikel-artikel yang ditulis di dalam akhbar-akhbar tempatan, luar negara serta blog-blog telah membuktikan secara jelas berbagai kelemahan di dalam sistem meminjam dana serta keraguan dalan perbelanjaan dana khususnya yang membabitkan wang rakyat.”

Khairuddin juga meminta pihak polis supaya menyiasat secara mendalam dan menyeluruh semua kakitangan pentadbiran, pegawai, ahli-ahli Lembaga Pengarah serta keseluruhan personaliti ataupun mana-mana syarikat yang terbabit dengan urusniaga meragukan dengan 1MDB.

Beliau mengambil keputusan berkenaan setelah mendapati bahawa pihak 1MDB gagal untuk memberikan penjelasan meyakinkan atau menafikan perkara-perkara mengenai isu pengurusan dana mereka kepada rakyat selaku pembayar cukai.

Beliau menggesa siasatan menyeluruh dilakukan terhadap ketelusan transaksi-transaksi perniagaan 1MDB seperti:

- Kaedah dan cara 1MDB meminjam dana dari luar serta kaedah perbelanjaan dana serta kewangan mereka

- Mengapa 1MDB membayar faedah yang lebih tinggi dari amalan kadar pasaran atas setiap pinjaman dana yang dibuat syarikat terbabit

- Pembayaran yuran yang telalu tinggi kepada Goldman Sachs

- Simpanan dana yang tidak telus di Cayman Island (USD2.32 bilion)

- Nilai hutang yang terlalu tinggi (RM41.9bilion)

- Penerimaan ‘Letter of Support’ dari Kementerian Kewangan yangmenjamin pinjaman dana 1MDB

- Pembelian aset janakuasa dengan harga yang lebih tinggi dari harga pasaran membabitkan pembayaran kepada Powertek Energy dan Sanyen Power Sdn Bhd

- Pembayaran RM10.5bilion sejak 3 tahun lalu keatas pembelian aset janakuasa yang memberikan pulangan rendah

- Pembelian tanah di Air Itam, Pulau Pinang

- Pelaburan yang meragukan terhadap PetroSaudi International Ltd

- Pembelian tanah di Pulau Indah dari Tadmax Resources Bhd melibatkan pembayaran RM317 juta

- Pembelian pada kadar ‘premium’ tapak projek TRX di Jalan Tun Razak dan projek Bandar Malaysia

Selain itu, beliau juga meminta siasatan dilakukan ke atas anak-anak syarikat di bawah 1MDB iaitu 1MDB Global Investment Ltd dan 1MDB Energy Ltd.

1MDB merupakan syarikat pembangunan strategik milik penuh kerajaan Malaysia yang ditubuhkan bagi memacu inisiatif strategik dalam pembangunan ekonomi jangka panjang negara melalui perkongsian global dan menggalakkan pelaburan langsung dari luar.

Walaubagaimanapun, kepincangan pengurusan kewangan 1MDB mula dipersoal apabila ia dikatakan menaggung beban hutang sebanyak RM41.9 bilion yang memungkinkan syarikat terbabit berhadapan dengan kebankrapan lapor Free Malaysia Today

No comments:

Post a Comment