Saturday, September 27, 2014

Pengkalan Kubor - Bn menang dengan majoriti 2,635 undi.

Keputusan rasmi menunjukkan BN mengekalkan kerusi Pengkalan Kubor dengan majoriti 2,635 undi.

Bernama melaporkan, mengikut keputusan rasmi, BN mendapat 9,960 undi manakala PAS mendapat 7,335 undi. Calon Bebas pula mendapat 37 undi.

Seramai 73 peratus daripada 23,929 pemilih berdaftar keluar mengundi apabila pusat pengundian ditutup pada jam 5 petang tadi.

Peratusan keluar mengundi itu, seperti yang dijangkakan, adalah lebih rendah daripada 80 peratus yang keluar mengundi pada pilihan raya umum lepas.

PRK itu menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN Mat Razi Mat Ail, calon PAS Wan Rosdi Wan Ibrahim dan calon Bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary.

PRK itu diadakan susulan kematian wakil rakyat DUN itu daripada BN Datuk Noor Zahidi Omar pada 20 Ogos lepas.

Dalam pilihan raya umum ke-13 pada Mei tahun lalu, Noor Zahidi mengalahkan calon PKR Saharun Ibrahim dan calon Bebas, Izat Bukhary dengan majoriti 1,736 undi.

Sebelum ini, 11 pusat mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor dibuka mulai 8 pagi ini bagi membolehkan sebanyak 23,929 orang pengundi biasa menunaikan tanggungjawab mereka.

Kesemua pusat mengundi itu ditutup tepat jam 5 petang ini dengan 73 peratus pengundi keluar menunaikan tanggungjawab mereka.

Calon Pas Wan Rosdi Wan Ibrahim mengundi di Sekolah kebangsaan Bendang Pak Yong pada jam 8.03 pagi.

Manakala calon BN Mat Razi Mat Ail mengundi di Sekolah Kebangsaan Simpangan pada jam 8.30pagi.

Sementara itu, Bernama melaporkan, penjumlahan undi dijangka bermula sebaik pusat mengundi ditutup dan akan dilakukan di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Biji Wangsa.

Pengundian awal pada 21 September lepas, menyaksikan sebanyak 96.3 peratus atau 105 orang daripada 109 pengundi awal telah menunaikan tanggungjawab mereka di Dewan Delima, Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat. -petikan mkini

No comments:

Post a Comment