Thursday, February 12, 2015

Kalau Nak Pecah 2 PAS Malam Ni Kita Pecahlah - TGNA

Pasca PRU2008, UMNOBN buat pertama kalinya gagal mendapat 2/3 Kerusi Parlimen, kalah di 5 buah negeri, Kelantan, Pulau Pinang, Perak, Kedah dan Selangor mula "merisik khabar" pimpinan PAS. Khabarnya, pada mulanya UMNO tawar Kerajaan Perpaduan di Perak dan Selangor. Ini dikatakan punca berlaku kelewatan perlantikan Menteri Besar Perak dan Selangor.

Di Perak, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria khabarnya menjadi agen perunding kepada UMNO untuk menggabungkan PAS dan UMNO. Mufti Perak khabarnya mendakwa sudah dapat persetujuan Presiden PAS, tapi gagal mendapat persetujuan Mursyidul Am PAS, TGNA. Khabarnya juga, pujukan UMNO bukan setakat di Selangor dan Perak, tetapi juga ke Peringkat Pusat, membentuk Kerajaan Perpaduan (UG).

Rentetan kepada idea UG inilah menyebabkan berlakunya Mesyuarat Tergempar Majlis Syura dan Pas Pusat yang dipanggil oleh Mursyidul Am, Tok Guru Nik Aziz Nik Mat. Ia berlaku pada 31 Julai 2008. Khabarnya, dalam mesyuarat tersebut TGNA dengan tegas ada menyebut, "Kalau nak pecah 2 PAS malam ni kita pecahlah". Sejauh mana kebenaran ini tidak dapat dipastikan.

Pasca AGM tersebut menyebabkan kredibiliti Presiden terus dipertikai, dan spekulasi bahawa Presiden dikaitkan dengan agenda UG mula menjadi meluas. PAS mengalami sekali lagi sejarah hitam apabila Ustaz Nasharudin Mat Isa,Timbalan Presiden PAS dan Pesuruhjaya PAS Selangor, merangkap Exco Agama Kerajaan Negeri Selangor dipecat dari parti PAS kerana dikaitkan dengan agenda UG. Kedua-dua tokoh ini sedikit sebanyak membongkarkan kronologi ke arah kerjasama PAS-UMNO (UG), sedikit sebanyak menambahkan kuah persepsi bahawa Presiden juga terlibat sama. Ini adalah "Episod Dingin" dalam PAS. Cakap-cakap kedai kopi mula menyatakan "flip-flop" Hj Hadi sebagai Pak Lah-Versi PAS, tidak lagi digeruni oleh UMNO seperti zaman Pemudanya.

Pada tahun 2010, Utusan Malaysia melapurkan, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, UMNO kini melalui satu perubahan yang baik apabila parti itu tidak lagi menganggap agama dan politik sebagai dua perkara berbeza. Katanya, ia juga merupakan satu proses anjakan paradigma kepada UMNO. Sesetengah bercakap seolah-olah Hj Hadi meludah ke langit dengan merujuk kepada Amanat Hadi 1981.

Kenyataan HjHadi itu mendapat perhatian besar semua masyarakat khususnya aktivis PAS. PAS dikatakan masih keliru dan berada di persimpangan ke mana halatujunya terutama dalam menghadapi PRU13. "Episod Dingin" dalam PAS terus berlaku seolah-olah ada "PERTEMBUNGAN IJTIHAD" antara TGHH dengan TGNA. Bagi mencerahkan keadaan kusut masai tersebut, Akhbar Harakah telah memewancara Presiden Hj Hadi isu lapuran Utusan Malaysia. Kandungan penuh wawancara yang disiarkan dalam akhbar Harakah pada bil 1514, 15-18 Februari 2010 di muka surat N10 yang bertajuk 'Tiada percanggahan dengan MB Kelantan - Presiden PAS'.

Soalan: Dahulunya, PAS pernah kata Umno kafir. Dalam isu penyatuan ini macam mana hendak betulkan keadaannya?

Jawapan: ………..Apa yang berlaku ialah anjakan paradigma dalam Umno sendiri yang tidak lagi mengatakan politik suku agama suku. Dan tidak lagi menghina hukum-hukum Islam, tidak ada lagi budaya dalam Umno. Ini kejayaan yang dapat kita (PAS) laksanakan. Ini kejayaan dakwah yang kita (PAS) sampaikan bagi menyedarkan umat kita, bangsa kita dalam perkara (batas iman dan kufur) ini. Sepatutnya, kita tidak boleh bertelingkah dalam masalah ini dan PAS sendiri pernah minta diadakan muzakarah secara ilmu.

Dalam PAS ada Majlis Syura Ulama’ PAS dan dalam Umno ada Biro Agama Umno. Dan kerajaan sendiri mempunyai Majlis Fatwa, ada mufti-mufti dalam kerajaan, ada IKIM ada macam-macam. Jika dalam Umno ada mereka yang membawa ijazah PhD dalam bidang Islam. Dalam PAS juga ada dan dengan sebab itu perbincangan secara ilmu adalah penting.

Walau pun demikian, saya melihat telah berlaku anjakan paradigma dalam Umno tidak lagi mengatakan agama berpisah dari politik. Ini satu perubahan yang positif dan apa yang penting kita terjemahkan secara praktikal dan dilaksanakan dengan cara yang baik. Antaranya, sekurang-kurangnya memberi ruang kepada negeri-negeri yang dipimpin oleh PAS dan Pakatan Rakyat.Tidak ada gangguan-gangguan dari segi semangat federalisma.


Ramai melihat jawapan Presiden bukan menafikan lapuran Utusan Malaysia, tetapi sebaliknya senada seirama dengan Utusan Malaysia. Ianya tidak mencerahkan suasana muram tetapi menambah luka kepada sebahagian ahli. Cakap-cakap kedai kopi mula mengatakan Hj Hadi semakin lunak dan mesra dengan UMNO. Hj Hadi yang suatu masa dulu dianggap "Singa PAS" sudah mula berubah, tidak seperti dulu. Persepsi HjHadi adalah Pak Lah-versi PAS terus diperkatakan di kedai-kedai kopi.

Bagaimanapun, muktamar demi muktamar, penegasan dibuat bahawa PAS komited dengan Tahaluf-Siyasi gagasan Pakatan Rakyat. Ramai berpendapat, Hj Hadi "terpaksa" menerima ketetapan tersebut demi menjaga hubungan dengan Mursyidul-Am, TG Nik Aziz. Anwar Ibrahim pula dikatakan lebih mesra dan senang bertemu TGNA. Keadaan ini seolah-olah mengajak dan mengimbau kisah-kisah lama di zaman pemuda Anwar dan Hj Hadi, "bertemu di ABIM, bertempur di medan politik".

PRU13, sepertimana ramai sediamaklum, PAS menyusut di Parlimen dari 23 kerusi (2008) kepada 21 kerusi walaupun digembar gemburkan PAS mampu menang sekurang-kurangnya 30 kerusi Parlimen.

Jatuhnya Kerajaan PAS Kedah mengulangi sejarah Kerajaan Pas Terengganu di bawah HjHadi. Tidak kurang juga suara-suara nakal menyalahkan HjHadi yang mengekalkan Ustaz Azizan sebagai punca PAS kalah di Kedah. Dalam keadaan momentum yang kuat dan terbaik Pakatan Rakyat, kegagalan PAS merampas kembali Terengganu dari UMNO juga bagaikan menambah gula dan garam sejauh mana kredibiliti PAS.

Isu Kota Damansara dikatakan punca masyarakat umum melihat tiada persefahaman yang kukuh dan kuat dalam ikatan Pakatan Rakyat. Ada yang menyatakan HjHadi "terpaksa" menerima Tahaluf-Siyasi dengan DAP,PKR, tapi sebenarnya "tiada di hati", salah satu penyebab Pakatan Rakyat tewas dalam PRU13.

Kehadiran menantu Hj Hadi dalam Majlis Syura PAS Pusat dikatakan "mengeruhkan" lagi suasana "Episod Dingin" dalam Pas. Dalam hal ini, khabarnya pemimpin PAS dikatakan tidak mampu bersuara demi menjaga maruah Presiden. Namun, Khalid Samad mengambil pendekatan berbeza dengan "menyanggah" menantu Hj Hadi, Ustaz Zaharudin dalam isu Kota Damansara. Ustaz Zaharudin bersama Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hassan bangkit melawan Khalid Samad dengan menyatakan sasaran sebenar Khalid Samad adalah Presiden sendiri dengan membuat analogi Khairy-Pak Lah-Mahathir.

Bagaimanakah kesudahan "Episod Dingin" ini dalam PAS?. Mampukah Presiden Parti, Hj Hadi menyelesaikan gelombang dalam cawan yang sudah melimpah keluar? Apakah bintang Hj Hadi semakin pudar? Apakah peralihan kuasa HjHadi kepada pengganti Ulama baru satu penyelesaian?
kredit - MalaysianInsaf

No comments:

Post a Comment