Sunday, August 10, 2014

Majlis Syura Ulamak PAS salah randuk?


Gua pun tak pasti kandungan tulisan ini benar atau tidak . Nampak gayanya penulis ini tahu benar akan protokol dalam PAS.Gua kongsikan juga agar membuka mata para sahabat yang berada dalam PAS untuk sama-sama berfikir kewajaran tindakan MSU

KEPUTUSAN MAJLIS SYURA ULAMAK (MSU) PAS KEDUDUKANNYA MENGIKUT PERLEMBAGAAN PAS

Dengan nama ALLAH yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Salawat dan salam ke atas junjungan besar Rasulullah SAW.

PAS merupakan sebuah parti yang cukup demokratik. PAS dipacu berpandukan Kitabullah, Sunnah Rasul, ijma’ ulamak dan qias yang terang dan nyata. Dalam masa yang sama setiap perjalanan PAS kekuasaannya dipegang oleh Muktamar Tahunan PAS. Ini dengan jelas disebutkan dalam Perkara 7 Perlembagaan PAS.

Fasal 7. Hukum dan Kekuasaan

(1) Adapun hukum yang tertinggi sekali dalam pegangan PAS ialah KITABULLAH dan SUNNAH RASUL serta IJMAK 'ULAMAK dan QIAS yang terang dan nyata, degan tertakluk kepada hukum yang tertinggi itu, kekuasaan PAS adalah dipegang oleh Muktamar Tahunan.

(2) Dengan tertakluk kepada hukum-hukum dalam ceraian (1) itu segala gerakan dan pentadbiran PAS adalah dijalankan di bawah perintah dan kekuasaan Muktamar, akan tetapi Muktamar itu sendiri tertakluk di bawah syarat-syarat yang terkandung dalam Perlembagaan PAS dan aturan peraturan muktamar atau mesyuarat Agung PAS.

Fasal 7(2) dengan jelas memperuntukkan bahawa segala gerakan dan pentadbiran PAS dijalankan di bawah perintah dan kekuasaan Muktamar.

Kekuasaan Muktamar telah mewujudkan suatu Perlembagaan yang jelas mewujudkan
a) Majlis Syura Ulamak (MSU); Fasal 8,
b) Jawatankuasa Kerja PAS Pusat (JKPP); Fasal 25,
c) Dewan Ulamak Pas Pusat (DUPP); Fasal 43,
d) Dewan Pemuda Pas Pusat (DPPP); Fasal 51,
e) Dewan Muslimat Pas Pusat (DMPP), Fasal 63, serta
f) Perhubungan Pas Negeri, Fasal 40

yang masing-masing mempunyai tugas dan tanggungjawab tersendiri.

Majlis Syura Ulamak (MSU) diwujudkan melalui Fasal 8 yang bertujuan dan berfungsi sebagai institusi pemandu dan badan penyemak kepada semua badan-badan lain di dalam PAS dalam menjalankan kuasa dan tugas mereka.

Fasal 8 Majlis Syura Ulamak

(1) “Bagi menjamin kekuasaan PAS yang diperuntukan dalam Fasal 7(2) di atas dan badan-badan yang diberikan kepadanya kuasa oleh Muktamar Tahunan PAS dan oleh mana-mana peruntukan dalam Perlembagaan ini, tidak terkeluar daripada kehendak-kehendak yang diperuntukan dalam Fasal 7 (1) dan tidak berlawanan dengan dasar PAS seperti yang diperuntukan dalam Fasal 3 Perlembagaan ini, maka hendaklah ditubuhkan sebuah majlis yang dinamakan "Majlis Syura 'Ulamak".

Berpandukan peruntukkan Fasal 8 (1) kewujudan MSU adalah untuk memandu dan mengawasi badan-badan yang diberi kuasa oleh Muktamar menjalankan kuasa mereka agar tidak terkeluar daripada hukum Kitabullah, Sunnah Rasul, Ijma’ Ulamak dan Qias dan tidak berlawanan dengan dasar PAS. Inilah tugas utama MSU. Seterusnya Fasal 8 (1) memberikan MSU kuasa untuk :

(a) Menghurai, menjelas dan mentafsirkan dasar PAS dan mana-mana peruntukan di dalam Perlembagaan ini yang menimbulkan kesamaran mengenai maksud dan tujuannya dan membuat ketetapan mengenainya.

(b) Mengeluarkan arahan dan perintah supaya dasar dan ketetapan itu dipatuhi dan dilaksanakan oleh mana-mana pihak atau badan di dalam PAS dan mengawasi serta memelihara supaya dasar dan ketetapan serta kehendak-kehendak dalam 8 Perlembagaan ini dipatuhi dalam kegiatan, gerakan dan pentadbiran PAS.

(c) Mendengar dan memutuskan semua rayuan semula tatatertib yang dikemukakan oleh ahli PAS mengikut Fasal 83 Perlembagaan ini.

Fasal 8(1)(a) memberikan kuasa kepada MSU menghurai, menjelaskan dan mentafsir dasar PAS dan mana-mana peruntukan yang samar di dalam Perlembagaan dan seterusnya membuat ketetapan.

Apakah dasar PAS yang perlu dihurai, dijelaskan dan ditafsir oleh MSU? Fasal 3 Perlembagaan PAS memperuntukkan bahawa dasar PAS ialah ISLAM. Justeru MSU hanya berkuasa untuk menghuraikan, menjelaskan dan mentafsirkan ISLAM yang merupakan dasar PAS. Tiada orang lain atau badan lain yang diberikuasa menghurai, menjelaskan dan mentafsir ISLAM yang menjadi dasar PAS selain daripada MSU, kerana itulah setiap ahli MSU hendaklah merupakan seorang yang mengetahui masalah pokok (al-usul) dalam syariat Islam dan hukum-hukumnya atau/dan dapat merujuk sebarang masalah kepada Al-quran, as-sunnah, ijmak dan qias seperti yang diperuntukkan dalam Fasal 8(3).

Fasal 8(1)(a) juga memberikuasa kepada MSU menghurai, menjelaskan dan mentafsirkan mana-mana peruntukkan yang samar di dalam Perlembagaan PAS dan membuat ketetapan mengenainya.

Fasal 8(1)(b) memberikuasa kepada MSU mengeluarkan arahan dan perintah supaya dasar dan ketetapan itu dipatuhi dan dilaksanakan oleh mana-mana pihak atau badan di dalam PAS. Ayat nyata di dalam peruntukkan Fasal 8(1)(b) ialah mengeluarkan arahan dan perintah supaya dasar itu dipatuhi dan dilaksanakan. Apakah maksud “supaya dasar itu dipatuhi dan dilaksanakan”? Jawapannya perlu dirujuk kembali Fasal 8(1)(a) iaitu apabila MSU menghuraikan, menjelaskan dan mentafsirkan dasar PAS dan kemudian membuat ketetapan, maka huraian, penjelasan dan pentafsiran itulah yang akan dikeluarkan perintah serta arahan agar ianya dipatuhi dan dilaksanakan oleh badan-badan lain. Maksudnya dasar (ISLAM) setelah dihuraikan, dijelaskan, dan ditafsirkan serta kemudiannya dibuat ketetapan, maka ketetapan daripada huraian, penjelasan dan pentafsiran itulah yang akan dikeluarkan arahan dan perintah supaya dipatuhi dan dilaksanakan oleh badan-badan lain. Contohnya adakah boleh bekerjasama dengan bukan Islam. Maka MSU akan menghuraikan, menjelaskan dan mentafsirkan dasar ISLAM bolehkah dilakukan. Apabila ISLAM membolehkan kerjasama dengan bukan Islam, maka MSU membuat ketetapan dan seterusnya mengeluarkan arahan dan perintah kepada badan-badang lain agar kerjasama itu dilakukan.

PAS ditadbir oleh Jawatankuasa Kerja PAS Pusat (JKPP) yang diketuai oleh Presiden. Tugas-tugas JKPP dengan jelas disebutkan di dalam Fasal 26 (1) hingga (9). Fasal 26 (1) memperuntukkan bahawa Presiden bertanggungjawab sebagai ketua bagi melaksanakan pentadbiran, gerakan dan kegiatan PAS bagi mencapai tujuan-tujuan yang termaktub dalam Perlembagaan ini mengikut dasar yang diperuntukannya dan yang diputuskan oleh mana-mana badan yang diberi kuasa oleh Perlembagaan ini bagi menghurai, menjelas dan mentafsirkan dasar PAS serta membuat ketetapan-ketetapan mengenainya dan bertanggungjawab ke atas semua kerja dan urusan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat serta menyelaraskan tugas-tugas Jawatankuasa Kerja PAS Pusat. Maka jelas bahawa tugas mentadbir PAS ialah terletak hak kepada Presiden bersama Ahli-Ahli JKPP yang lain yang dipilih melalui Muktamar dan dilantik melalui Mesyuarat JKPP.

Fasal 26 (9) seterusnya dengan jelas memberikan bidang tugas JKPP dalam menggerakkan PAS. Fasal 26(9) (a) hingga (m).

PAS tidak boleh bergerak tanpa JKPP manakala MSU merupakan pemandu arah JKPP bergerak agar tidak terkeluar daripada dasar PAS iaitu ISLAM. Ini yang dimahukan oleh Perlembagaan PAS.

Kelmarin MSU telah bermesyuarat dan kemudiannya mengeluarkan suatu kenyataan seperti berikut :-

Merujuk kepada Fasal 3 Perlembagaan PAS, bahawa dasar PAS ialah Islam, dan Fasal 6(2) bahawa antara usaha PAS adalah "memperjuangkan Islam sebagai aqidah dan syariat serta menjadikannya sebagai panduan berpolitik dan bernegara",

Maka, Majlis Syura Ulamak PAS yang telah bersidang pada 9 Syawal 1435 bersamaan 6 Ogos 2014 di Kota Bharu telah membuat keputusan berasaskan hukum syarak dan melihat kepentingan rakyat yang mesti mendahului kepentingan individu dan parti seperti berikut:

"Bahawa jawatan Menteri Besar Selangor adalah hak bersama yang telah dipersetujui oleh ketiga-tiga parti komponen Pakatan Rakyat untuk meneruskan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar di Selangor bagi penggal kedua selepas Pilihanraya Umum ke-13. Maka selagi tidak disabitkan sebarang pelanggaran terhadap amanah yang mewajarkan Menteri Besar itu digugurkan, Majlis Syura Ulamak PAS memutuskan untuk mengekalkan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor.

Jika sekiranya ada pertuduhan yang disabitkan bersalah kemudiannya oleh pihak yang berautoriti seperti SPRM atau Mahkamah maka Majlis Syura Ulamak bersedia untuk menilai kembali kedudukan beliau.

Majlis Syura Ulamak menegaskan sekali lagi bahawa PAS akan tetap istiqamah dengan dasar dan prinsip perjuangan Islam sebagaimana yang termaktub di dalam perlembagaannya dan terus memberi komitmen bersama Pakatan Rakyat

Kenyataan tersebut menyatakan bahawa MSU bermesyuarat dan membuat keputusan serta kenyataan berdasarkan Fasal 3 iaitu dasar PAS ialah Islam dan seterusnya merujuk kepada Fasal 6(2) iaitu "memperjuangkan Islam sebagai aqidah dan syariat serta menjadikannya sebagai panduan berpolitik dan bernegara”.

Rujukan pertama kepada Fasal 3 adalah betul kerana memang menjadi tugas MSU yang diperuntukkan oleh Fasal 8(1)(a) iaitu menghurai, menjelaskan dan mentafsirkan dasar PAS. Tetapi MSU telah terkhilaf apabila mengaitkan Fasal 6(2) dalam membuat keputusan kerana Fasal 6 adalah tugas JKPP bukannya tugas MSU. Fasal 6 menerangkan usaha-usaha PAS bagi mencapai tujuan PAS yang diperuntukkan dalam Fasal 5. Usaha-usaha PAS tersebut adalah terletak hak kepada JKPP yang diketuai oleh Presiden menggerakkannya bukannya tugas MSU. Ini jelas apabila Fasal 26(9) dengan terang memperincikan tugasan JKPP dalam memacu usaha-usaha PAS yang terkandung di dalam Fasal 6 tersebut. Fasal 8 tidak memperuntukkan tugasan kepada MSU melakukan usaha-usaha di dalam Fasal 6.

Inilah niat Perlembagaan apabila mewujudkan MSU, JKPP dan badan-badan lain di dalam PAS iaitu setiap badan mempunyai tugas dan fungsi masing-masing.

Perlembagaan PAS meletakkan Muktamar Tahunan PAS sebagai kuasa tertinggi dalam senarai hiraki organisasi. Kemudian diikuti oleh MSU dan seterusnya JKPP.

Dalam konteks kenyataan MSU tersebut, adalah sangat janggal apabila MSU telah mengambil kuasa JKPP dalam keadaan JKPP masih belum menjalankan kuasanya memutuskan sebarang ketetapan dan tindakan, MSU telah terlebih dahulu membuat keputusan dan ketetapan.

Dalam keadaan itu, adakah tindakan MSU dan kenyataan MSU itu mengikat badan-badan lain di dalam PAS dan adakah berperlembagaan?

Jawapannya perlu dirujuk kepada huraian awai tentang kuasa dan fungsi asal mengikut Perlembagaan. Berdasarkan peruntukkan Perlembagaan adalah jelas bahawa tindakan MSU telah ultra virus kerana telah mengambilkuasa badan lain yang tidak diperuntukkan kepada mereka. Kuasa mentadbir dan menggerakkan PAS untuk menjalankan usaha-usaha PAS di dalam Fasal 6 untuk mencapai tujuan PAS di Fasal 5 adalah bukan di dalam bidangkuasa MSU.

Dalam keadaan MSU telah melanggar bidangkuasa maka kenyataan MSU tersebut adalah tidak sah dan tidak mengikat badan-badan lain. Malah jika dibaca dengan teliti kenyataan MSU tersebut, tiada sebarang arahan atau perintah yang dikeluarkan kepada badan-badan lain. Kenyataan tersebut tidak lebih daripada sekadar pandangan MSU berkaitan isu tersebut.

JKPP masih boleh bermesyuarat memutuskan isu tersebut berasingan dan jika keputusan JKPP dirujuk kepada MSU, barulah fungsi MSU diaktifkan. Selagi tiada sebarang rujukan maka MSU tiada kuasa untuk menjalankan kuasa mereka mengikut Perlembagaan.

Akhirnya, jika masih keliru dan tidak boleh bersetuju dengan mana-mana keputusan, maka Perlembagaan memperuntukkan bahawa kekuasaan tertinggi Pas ialah Muktamar. Justeru Muktamar lah tempat untuk menyelesaikan semuanya.

Sekadar itu dulu.

ZULHAZMI SHARIFF
8/8/2014

No comments:

Post a Comment