Tuesday, August 12, 2014

Izham Hashim Dipercayai YDP PAS Kelana Jaya Dedah Perbuatan Khalid Ibrahim

Saya terima nota ini melalui whatsapp. Saya dimaklum penulis ialah YDP PAS Kelana Jaya. Selepas membacanya, saya yakin bacaan dan aturan kronologi peristiwa yang saya fikir berdasarkan pengalaman bekerja sebagai Pegawai kepada Dato' Menteri Besar Selangor (2010-2012) adalah cocok dengan keterangan ini. Mungkin ramai tidak tahu beberapa langkah dalaman yang telah diambil oleh Keadilan sendiri berdasarkan aduan wakil-wakil rakyat dan aktivis setiap parti (bukan semua, tapi banyak). Tapi perkongsian tulisan ini saya percaya dapat membantu mendudukkan perkara sebenar di sebalik keinginan menukar TSKI.

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (TSKI) Tidak Menghormati PKR dan PR

Keputusan PKR untuk menggantikan TSKI bukanlah baru. Ketika PR menang dalam PRU-13, PKR telah meminta PAS dan DAP untuk memberi pertimbangan calon baru sebagai MB baru Selangor. PAS dan DAP Selangor telah berbincang dan bersetuju supaya TSKI disambung semula sebagai MB Selangor atas beberapa sebab:

Di bawah kepimpinan TSKI, PR Selangor telah berjaya mencapai kejayaan sangat cemerlang dalam PRU-13 dan kelihatan amat buruk di mata rakyat jika beliau ditamatkan serta merta walaupun PAS dan DAP Selangor memandang serius beberapa tindak tanduknya yang tidak selari dengan kehendak PR. Ketika itu PAS dan DAP Selangor berkeyakinan TSKI masih boleh diperbetulkan.

Tidak begitu selesa dengan calon pengganti MB iaitu Azmin Ali kerana walaupun Azmin adalah Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Selangor, beliau jarang berinteraksi dengan PAS dan DAP Selangor. PR Selangor boleh dilihat seolah-olah ‘berpengerusikan’ TSKI kerana saban minggu bermesyuarat bersama beliau terutama setahun menjelang PRU-13.

Masih yakin bahawa TSKI boleh diperbaiki sikapnya. PAS dan DAP bersetuju walaupun TSKI disambung, prestasi beliau akan dikaji semula setahun selepas khidmatnya disambung.

PKR yang agak keberatan pada mulanya untuk menyambung khidmat TSKI sebagai MB Selangor akhirnya bersetuju dengan desakan PAS dan DAP dengan syarat akan dikaji semula prestasi beliau selepas 1 tahun. PAS Selangor juga telah mengingatkan TSKI berkali-kali supaya mesyuarat mingguan PR Selangor dijadikan forum untuk memperkukuhkan PR Selangor dan mencapai kata sepakat dalam merangka dasar-dasar kerajaan negeri. Kita juga telah mengingatkan beliau berkali-kali bahawa sokongan kepadanya adalah bersyarat dan jika tiada perubahan drastik kepada sikapnya yang suka m embelakangi arahan parti, PKR dan PR, maka sokongan terhadapnya akan ditarik balik.

Sikap TSKI yang membelakangi parti, PKR dan PR, bukanlah baru dan banyak berlaku ketika beliau menjadi MB di penggal pertama lagi. Sememangnya hal ini dimaklumi semua parti komponen PR. Beliau boleh dikatakan langsung tidak menghadiri mesyuarat MPN Selangor sejak Azmin Ali dilantik menjadi pengerusinya menggantikan beliau. Kadang-kadang dihantar Faekah (SETPOL MB) sebagai wakil ke mesyuarat. Arahan daripada MPN PKR Selangor tidak langsung diendahkannya. Malah arahan daripada PKR Pusat pun bukan semua dituruti. Antaranya berhubung status SETPOLnya, Faekah yang diarahkan supaya diberhentikan perkhidmatannya kerana membawa banyak masalah kepada parti telah tidak dipedulikannya untuk sekian lama. Faekah ini seolah-olah diberi pula lampu hijau oleh MB untuk terus membuat kenyataan-kenyataan terbuka menghentam kepimpinan tertinggi PKR hingga menyebabkan tercalar kredibiliti PKR termasuk Datuk Seri Anwar (DSAI) sendiri. Akhirnya Faekah bukan diberhentikan daripada jawatan SETPOL MB, malah ia dinaikkan pangkat menjadi Ketua Pegawai Eksekuti Menteri Besar Incorporated (MBI), satu jawatan yang jauh lebih penting daripada SETPOL MB. Tindakan sebegini tentu amat memalukan PKR kerana Faekah ini telah dikenakan tindakan tatatertib oleh PKR.

Arahan supaya Saifuddin Nasution dilantik sebagai ‘Ketua Staf’ pejabat MB yang bertujuan untuk menasihati MB atas perkara-perkara melibatkan parti dan politik juga telah tidak dipatuhi dan sebaliknya beliau diberikan jawatan sebagai Pegawai Liason pejabat MB sahaja dan kemudiannya dituruntaraf ke Pegawai Pembangunan Desa. Itu pun terbengkalai begitu saja kerana tiada peruntukan dan kerangka kerja yang bersesuaian.

Beberapa arahan penting PR juga tidak patuhi oleh TSKI. Antaranya isu jawatankuasa yang dibentuk untuk menasihati beliau dalam menanggani aspek penstrukturan industri air Selangor. Majlis tertinggi PR telah mengarahkan TSKI supaya memastikan JK berkaitan yang terdiri daripada Rafizi, Dr Dzulkefly dan Tony Pua dilibatkan dalam sebarang urusan berkaitan penstrukturan industri air Selangor. TSKI tidak mempedulikan perkara ini walaupun dia berjanji di hadapan pemimpin tertinggi PR untuk mematuhinya menyebabkan urusan berkaitan penstrukturan industri air Selangor berlaku dalam keadaan kelam kabut dan penuh tanda tanya di kalangan pemimpin PR.

Satu lagi contoh ialah berhubung status JK tender PBT Selangor. Selama ini beberapa orang ahli majlis merupakan ajk tetap JK Tender dan Sebutharga di semua PBT Selangor dan merupakan langkah wajar sebagai ‘check and balance’ kepada sebarang keputusan pegawai-pegawai kerajaan. Apabila keluar arahan daripada MB bahawa status ahli majlis telah dituruntaraf kepada pemerhati sahaja dalam JK berkenaan maka ia telah dibantah oleh semua parti kerana alasan yang beliau berikan ialah tidak mahu membebankan ahli-ahli majlis. Beberapa siri perbincangan panas berlaku dalam mesyuarat PR negeri. Malah PAS Selangor telah menghantar surat rasmi kepada MB Selangor meminta beliau supaya mengembalikan status asal ahli majlis dalam JK berkaitan tetapi telah tidak dipedulikannya.

Banyak lagi isu-isu lain yang diarahkan oleh parti, samada PKR dan PR, yang membawa kesan besar dalam pentadbiran negeri telah dibelakangi oleh TSKI. Antaranya isu pertukaran Datuk Bandar Shah Alam, penyusunan semula GLC Selangor yang masih ramai dijawat oleh suku-sakat UMNO, masalah besar ahli-ahli majlis MPKj dan YDP mereka, dan sebagainya.

Apa yang hendak ditekankan di sini bahawa TSKI telah seringkali membakulsampahkan arahan parti (PKR dan PR) dan ini amat tidak wajar sebagai seorang yang diberi mandat oleh parti. Sebenarnya ketaatan ahli (lebih-lebih lagi pemimpin) ke atas keputusan parti adalah syarat penting kepada keutuhan dan integriti parti dan keenganan mematuhi arahan parti dalam perkara yang jelas disepakati adalah merupakan satu kesalahan berat. Sokongan PAS ke atas seorang pemimpin parti rakan yang jelas bukan saja sentiasa membelakangi arahan partinya tetapi juga parti rakan komponen adalah tidak wajar dan akan menjadi ‘precedent’ kepada pemimpin akan datang. Budaya tidak sihat ini akan menular membarah jika tiada tindakan segera dibuat.

Persetujuan Asas Pakatan Rakyat

Persetujuan di peringkat tertinggi PR bahawa jawatan MB untuk Kedah, Kelantan dan Terengganu adalah hak PAS, Pulau Pinang hak DAP dan Selangor hak PKR. Perkara ini dipertegaskan lagi oleh Setiausaha Agung PAS dan DAP baru-baru ini bahawa mereka tidak akan menuntut kerusi MB Selangor dan PKR berhak menamakan MB daripada PKR. TSKI, asalnya adalah calon PKR untuk MB, maka sewajarnya mereka berhak memberi pandangan berhubung prestasi dan kedudukan MB dari masa ke semasa. Dalam masa yang sama kita tidak menolak peranan PAS dan DAP dalam hal ini. Sebagaimana yang telah dijelaskan di atas, TSKI telah berulangkali membelakangkan keputusan parti berhubung aspek pentadbiran negeri dan telah berterusan buat sekian lama. Ini menjadi hujah kukuh PKR untuk menggantikan MB. DAP dan PAS, sebagai rakan dalam PR, perlu beri perhatian serius kepada permintaan PKR mengikut kerangka kerjasama PR yang dipersetujui.

Apabila PKR memohon digantikan TSKI sebagai MB, sewajarnya DAP dan PAS memberi perhatian atas alasan dan sebab. Dan jika didapati munasabah maka perlu bersama mengambil tindakan perlu. Ini semangat setiakawan yang perlu ada jika kita ingin melihat PR makin kukuh dan kuat. Kesepaduan dalam PR ini juga akan menghalang daripada berlaku natijah yang tidak elok jika TSKI enggan melepaskan jawatan MB secara sukarela.

Keadaan menjadi lebih mendesak apabila DAP turut memberi sokongan penuh kepada PKR supaya MB ditukar. PAS ketiadaan hujah untuk menolak permintaan 2 rakan kita dalam PR jika kita mahu PR terus bersatu. Apa hujah yang kita ada untuk mengekalkan TSKI sedangkan calon ini adalah calon daripada PKR? Malah PAS Selangor sendiri dalam Mesyuarat Khas BPPNS ketika menjelang PRK Kajang telah menggundi atas 3 pilihan;

i. Anwar sebagai MB Selangor (ketika itu belum diputuskan bersalah oleh mahkamah)

ii. TSKI kekal sebagai MB

iii. Menggantikan TSKI dengan calon PAS sebagai MB

BPPNS telah memilih (iii.) sebulat suara mewakili semua 22 kawasan di Selangor. Walaupun kita nak calon PAS sebagai MB tetapi yang pentingnya semua mahukan TSKI digantikan. Isu di sini ialah TSKI digantikan kerana beliau membawa masalah kepada PR. Samada calon PAS dapat jadi MB atau tidak itu soal kedua.

Kita cuba bayangkan jika perkara yang sama berlaku kepada PAS yakni MB daripada PAS kemudian menghadapi masalah dengan parti seperti TSKI sekarang, kemudian dalam masa yang sama MB berkenaan disokong pula oleh PKR. Tentu kita rasa terluka dengan tindakan rakan kita itu. Ini sebenarnya apa yang sedang dirasai oleh PKR.

Sebagaimana yang telah diterangkan di atas, PAS Selangor bersetuju dengan DAP selepas menang PRU-13 bahawa kita ada ‘reservation’ tentang sikap TSKI. Tetapi memandangkan PR telah menang besar di bawah pimpinannya serta ada prospek untuk kita desak beliau supaya berubah kepada stail pengurusan yang lebih ‘sesuai’, dan kebimbangan PAS dan DAP kemungkinan Azmin Ali pula jadi MB, maka kita bersetuju untuk menyokong lanjutan khidmat TSKI sebagai MB Selangor DENGAN SYARAT KITA ‘REVIEW’ PRESTASINYA SELEPAS SETAHUN. Kini sudah.

Banyak isu hanya dibincang dalam mesyuarat EXCO disebabkan ketiadaan lagi mesyuarat PR negeri. Masalahnya hubungan MB dengan EXCO-EXCO adalah hubungan umpama majikan dan kakitangan menyebabkan keputusan perlu cocok dengan citarasa MB. Kebanyakkan EXCO hanya menjadi pak turut kepada kehendak MB. Malah diakui oleh EXCO-EXCO bahawa MB seringkali memberi kataputus dalam mesyuarat jika perbincangan tidak selari dengan kehendaknya. Tanpa mesyuarat PR sukar untuk kita mempengaruhi keputusan MB.

Keputusan meluluskan projek lebuhraya KIDEX (dan 5 lagi konsessi lebuhraya di Selangor) walaupun secara prinsip, tanpa merujuk kepada pimpinan PR, juga merupakan pelanggaran kepada janji PR kepada rakyat untuk mengkaji semula sebarang permohonan lebuhraya bertol. Walaupun ditegur berkali-kali oleh pimpinan PR, TSKI tetap berdegil dengan keputusannya untuk terus membenarkan projek be rkenaan dilaksanakan tanpa sebarang kajian semula. Malah beliau pada awalnya tidak sudi untuk bertemu rakyat yang membantah pelaksanaan projek berkenaan.

Pengurusan tapak pasar malam yang selama ini diuruskan dengan baik oleh JKKK atau Persatuan Penduduk di mana hasil kutipan digunakan untuk pelaksanaan projek kemasyarakatan setempat telah diserahkan kepada PBT semata-mata kerana satu atau dua JKKK atau Persatuan Penduduk yang bermasalah menyebabkan kemarahan ramai. Ini kerana selain daripada hasil kepada penduduk untuk program kemasyarakatan, ia juga membantu mengurangkan beban PBT dalam mengendalikan pasar-pasar malam ini. Keputusan TSKI ini amat merugikan dari semua aspek termasuk politik dan belaiu tetap berdegil dengan keputusannya walaupun protes daripada semua pihak.

Tiada Perancangan Strategik

Antara ciri utama seorang pemimpin korporat yang baik ialah keupayaan membuat perancangan strategik yang berkesan. Sehingga kini Selangor tidak mempunyai perancangan strategik yang lengkap untuk dijadikan panduan. Pengurusan kewangan yang baik hanyalah sebahagian daripada pentadbiran yang baik dan tidak memadai untuk menjadikan Selangor hebat.

Masalah besar yang timbul hari ini berpunca daripada kegagalan merancang dengan baik terutama perancangan jangka panjang (strategik) termasuk isu air, pelupusan sampah, menara telekomunikasi haram, dsbnya. Isu ditanggani secara ad-hoc, ‘memadamkan api apabila berlaku kebakaran’. Kebanyakan daripada program strategik negeri (terutama yang melibatkan infrastruktur dan kemudahan awam) memerlukan masa yang panjang untuk merancang dan melaksanakannya. Kegagalan dalam perancangan ini dapat dilihat apabila langkah-langkah sementara terpaksa dibuat. Ini dapat dilihat dalam krisis bekalan air Selangor dan masalah pelupusan sampah yang berlaku baru-baru ini.

Tidak Percayakan Orang-Orang Politik

Pemerhatian selama ini mendapati bahawa TSKI tidak percayakan orang-orang politik atau aktivis parti. Setiap orang politik yang menemui beliau untuk mengadu masalah rakyat dianggap ‘ada ke pentingan peribadi’. Ini diakui oleh SETPOLnya yang baru, Azman. Banyak kes yang diadukan kepada beliau seperti isu premium tanah, pampasan yang tidak dibayar oleh kerajaan negeri, dsbnya tidak dilayan sehingga hari ini. Ini juga antara sebab kenapa ramai nama-nama ahli atau penyokong parti ditolak daripada menjadi ahli-ahli lembaga pengarah GLC Selangor walaupun mereka layak.

Ketidakpercayaan beliau kepada orang-orang politik bermakna beliau meletakkan lebih kepercayaan kepada pegawai-pegawai kerajaan. Itu sebabnya pegawai-pegawai kerajaan sangat berkuasa dan mereka hanya ‘takut’ kepada MB sahaja. EXCO dan wakil rakyat boleh dipermain-mainkan oleh mereka. Sebagai contoh isu bajet Pembangunan Desa yang dikawal oleh UPEN dan EXCO tak ada kuasa langsung. Ini diakui oleh EXCO berkaitan, Ustaz Sallehin Mokyi.

Malah di peringkat PBT pun keadaan agak teruk dengan Datuk Bandar dan YDP berkuasa penuh. Bukan setakat memperkotak-katikkan ahli-ahli majlis seperti di Majlis Perbandaran Kajang, malah ahli parlimen dan adun di Shah Alam tidak dilayan sewajarnya oleh Datuk Bandar Shah Alam.

Fenomena ini amat merbahaya dan jika tak dibendung akan menghakis keyakinan pegawai kerajaan dan rakyat ke atas kemampuan pimpinan parti bekerja sebagai satu kumpulan.

Mungkin ada lagi perkara-parkara yang boleh diperincikan lagi berhubung kegagalan TSKI dalam menguruskan pentadbiran Selangor dengan baik. Dengan pendedahan ini pun sudah memadai untuk Majlis Pimpinan PR mengambil langkah-langkah untuk menamatkan khidmat beliau sebagai MB Selangor jika kita masih mahu mempertahankan Selangor dan memburu juga Putrajaya.


Izham Hashim

Nota: Saya difahamkan penulis merupakan YDP Parti Islam Se-Malaysia (PAS) di Bahagian Kelana Jaya. Rujuk pautan ini untuk pengesahan http://www.pas.org.my/v2/index.php/direktori-kawasan/1297-direktori-kawasan-selangor.

Artikel dikutip dari
http://wfauzdin.blogspot.com/2014/08/lagi-sebab-kenapa-ts-khalid-wajar.html

No comments:

Post a Comment