Friday, April 4, 2014

Spekulasi Diego Garcia terus berada di tempat pertama

Antara teori yang menarik berhubung Diego Garcia adalah spekulasi bahawa tentera AS telah mengawal MH370 sebaik sahaja pesawat itu hilang dari radar.

Spekulasi tersebut mengaitkan dakwaan tentang wujud peralatan ketenteraan yang menjadi rebutan kuasa besar dunia dalam pesawat tersebut.

Alat tersebut dikatakan berkemampuan untuk mengmengawal Drone tanpa pemandu yang pernah digunakan ketika AS berperang di Afghanistan.

Difahamkan, China berusaha untuk membawa pulang sistem ketenteraan ini menerusi laluan pesawat komersil yang dianggap lebih selamat.

Namun, AS berjaya memintas pesawat ini dan membawa MH370 keluar dari radar Malaysia menuju ke Lautan Hindi bagi mengelak di kesan radar mana-mana negara dan kemudiannya dibawa ke Diego Garcia untuk disimpan di sana.

Nasib penumpang tidak diketahui tetapi pesawat MH370 itu dikatakan diterbangkan semula untuk terhempas Lautan Hindi menggunakan sistem kawalan jarak jauh.

Apa yang paling menarik dalam spekulasi ini adalah landasan lapangan terbang Diego Garcia adalh antara lima penemuan pasukan penyiasat dalam program simulator milik Kapten Zaharie Ahmad Shah yang diambil dari rumahnya di Shah Alam.

Selain Diego Garcia, antara perisian landasan yang diperiksa setakat ini ialah Lapangan Terbang Antarabangsa Male di Maldives serta tiga lagi landasan di India dan Sri Lanka, yang semuanya mempunyai jarak landasan lebih 1,500 meter.

Namun, pihak penyiasat sehingga kini masih menafikan dakwaan MH370 mendarat di Diego Garcia dan pasukan penyiasat berpegang kepada maklumat bahawa MH370 berakhir di Selatan Lautan Hindi.

Berakhir, bukannya terhempas di Lautan Hindi

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa pesawat MH370 berakhir di Lautan Hindi berdasarkan kepada siasatan syarikat satelit Inmarsat dan Air Accident Investigation Branch (AAIB) di Britain.

Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam temubual bersama media tempatan memberitahu berhubung persoalan mengenai Diego Garcia, beliau sendiri akan bertanya kepada AS dalam Forum Pertahanan Amerika Syarikat-Asean yang bermula kelmarin.

Spekulasi sentiasa wujud, selagi operasi SAR di selatan Laut Hindi tidak berjaya menjumpai sebarang objek yang boleh dikaitkan dengan MH370.

Sehingga kini operasi SAR yang diketuai Australia masih gagal menemui petunjuk yang jelas di mana pesawat ini berada dan mereka kini sedang berusaha untuk mengesan perakam kotak hitam milik MH370 sebelum kuasa baterinya habis.

Menteri Pertahanan Australia, David Johnston mengakui, usaha mencari kotak hitam itu hanya mempunyai peluang tipis berikutan serpihan pesawat perlu dikenal pasti terlebih dahulu bagi mengesan lokasi kemalangan pesawat tersebut.

"Kami mempunyai kira-kira seminggu sahaja untuk mengesan kotak hitam pesawat MH370. Malah, ia juga bergantung kepada suhu, kedalaman dan tekanan laut, berapa lama kuasa baterinya boleh bertahan," katanya.

Tumpuan siasatan kini masih tertumpu kepada empat elemen iaitu melibatkan rampasan, sabotaj, masalah peribadi kru dan penumpang.

Sehingga kini siasatan polis telah selesai dan polis mendapati semua penumpang pesawat MAS yang hilang "bersih" daripada elemen rampas, sabotaj dan masalah psikologi dan peribadi.

Namun, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, siasatan terhadap anak kapal termasuk juruterbang dan pembantu juruterbang masih dijalankan.

Menurut sumber yang enggan dikenali, arah tuju pesawat yang menghala ke Lautan Hindi itu sendiri telah jelas menunjukkan pesawat itu dirampas dan bukan akibat masalah pada pesawat ataupun dikawal dari jarak jauh.

“Pesawat itu menuju ke Lautan Hindi iaitu lautan yang amat sunyi dan sudah tentu ia menuju ke suatu tempat yang tidak diketahui.

“Saya percaya ia melibatkan rampasan tetapi yang menjadi persoalan ialah siapa dan mengapa pesawat itu dirampas,” katanya kepada Sinar Harian.

Spekulasi-spekulasi yang timbul tidak wajar ditolak mentah-mentah kerana sehingga kini bukti atau petunjuk yang boleh dikaitkan dengan MH370 masih belum ada.

Apa sahaja yang dibangkitkan di internet masih boleh diterima, sekiranya teori tersebut mempunyai fakta atau hujah sokongan yang relevan.

Kini, kesemua persoalan berhubung 'di mana MH370' tertumpu kepada operasi SAR yang diketuai oleh Australia, sama ada jawapan ini terjawab dalam masa terdekat ataupun tidak, ia bergantung kepada ketentuan Tuhan, kita manusia hanya mampu merancang sahaja ~ Sinar Harian


Baca juga spekulasi Bekas Editor Japan Times mengenai kehilangan MH370 ini di SINI

No comments:

Post a Comment