Monday, April 14, 2014

MH370: Jawatankuasa Pilihan Parlimen badan terbaik untuk siasat laporan CNN

KUALA LUMPUR, 11 APR: Penubuhan Jawatankuasa Pilihan Parlimen (PSC) merupakan jalan paling berkesan untuk menyiasat kebenaran laporan bahawa Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah melakukan kerja mencari pesawat MH370 pada awal pagi ia dilaporkan hilang.

Demikian kata Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang dalam sidang media di Ibu Pejabat DAP sebagai respons kepada penafian Menteri Pertahanan Dato’ Seri Hishammuddin Hussein berhubung laporan terbabit.

“Jika PSC berjaya ditubuhkan di Dewan Rakyat semalam sebelum persidangan Parlimen ditangguhkan, ia akan menjadi badan sesuai untuk menyiasat kesahihan laporan CNN.

“PSC bukan saja boleh menyiasat kebenaran laporan tapi memastikan kebenaran adanya pesawat TUDM dikejarkan setelah MH370 melencong dari laluan asal atau mengapa ia tidak dikejarkan sejurus melencong antara jam 1:40 dan 1:45 pagi.

Kit Siang turut mempertikaikan mengapa dua pesawat Sukhoi-30 milik TUDM tidak diterbangkan dari Gong Kedak untuk memintas MH370 di ruang udara Kelantan dan juga mengapa ia tidak dipintas sewaktu menghampiri Pulau Pinang walaupun skuadron jet F/A berada dalam keadaan siap-bersedia di pangkalan udara Butterworth.

CNN kelmarin melaporkan seorang pegawai tinggi kerajaan Malaysia dan satu lagi sumber yang terlibat dalam siasatan menyatakan bahawa “pesawat pencari pasukan tentera udara Malaysia telah dikejarkan sekitar jam 8 pagi, sejurus Malaysia Airlines (MAS) melaporkan pesawatnya hilang pada awal 8 Mac.”

Hishammuddin menafikan laporan tersebut dan menyifatkannya sebagai dakwaan palsu.

Menurut Kit Siang yang juga Ahli Parlimen DAP Gelang Patah, penafian itu menambahkan lagi keraguan rakyat mengenai ketelusan kerajaan dalam usaha mencari MH370.

“Sukar untuk mempercayai laporan CNN, melainkan jika mereka sanggup mendedahkan nama ‘pegawai kanan kerajaan Malaysia dan sumber lain’ seperti yang dinyatakan.

“Namun, melihat pada penyaluran maklumat yang tidak sekata selama ini, selain bermacam kekeliruan dan percanggahan, serta jurang maklumat besar sejak 35 hari lalu, penafian Hishammuddin sangat tidak memadai, tidak memuaskan dan sukar untuk diterima.

“Selepas 35 hari, saya percaya kita telah sampai ke tahap di mana keluarga 239 penumpang dan anak kapal MH370 mahukan jawapan kepada seribu-satu persoalan yang timbul, maka proses mencari jawapan perlu dimulakan segera tanpa lengah,” katanya.

Pada masa yang sama, Kit Siang mengulangi gesaan agar kerajaan memenuhi janji untuk mengadakan taklimat kepada Ahli Parlimen Pakatan Rakyat dan menubuhkan PSC.

“Laporan CNN dan penafian Hishammuddin memarakkan lagi keraguan tentang kesanggupan kerajaan untuk bersikap telus sepenuhnya, apatahlagi sebelum ini mereka telah mengingkari janji memberi maklumat kepada Ahli Parlimen Pakatan Rakyat dan enggan menubuhkan PSC.

“Saya meminta Perdana Menteri mengotakan kata-katanya bahawa Malaysia tidak cuba menyembunyikan sesuatu dengan sekurang-kurangnya memenuhi dua janij yang setakat ini telah dimungkiri,” tegasnya. – Roketkini

No comments:

Post a Comment