Tuesday, April 15, 2014

MH370 - 54% rakyat Malaysia percaya kerajaan sembunyi maklumat


Lebih daripada separuh rakyat Malaysia yang mengambil bahagian dalam satu tinjauan kajian bulan lalu percaya kerajaan Barisan Nasional (BN) menyembunyikan maklumat mengenai kehilangan pesawat MH370, menurut satu kajian terbaru oleh The Malaysian Insider.

Daripada 1,029 responden dalam kajian yang dijalankan Merdeka Center itu, 54% berkata Putrajaya tidak telus dalam memberi maklumat mengenai pesawat MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu.

Dalam respon kepada soalan sama ada mereka menyangka Putrajaya jujur atau menyembunyikan sesuatu mengenai MH370, 54% daripada responden berpendapat Malaysia menyembunyikan maklumat, 26% berkata kerajaan jujur manakala 20% tidak pasti.

Sejak pesawat Malaysia Airlines (MAS)hilang pada 8 Mac, dakwaan ini dibuat beberapa kali oleh ahli keluarga daripada China bagi 229 penumpang dalam pesawat Boeing 777-200ER itu.

Selepas lebih lima minggu pesawat hilang, ternyata rakyat Malaysia juga cenderung mempercayai Putrajaya tidak jujur berhubung maklumat berkenaan pesawat itu.Sekali lagi, responden kaum Cina hampir sebulat suara tidak memberi komen yang positif terhadap kerajaan persekutuan yang dipimpin BN.

Angka tinjauan menunjukkan sedikit majoriti daripada responden India dan Melayu juga mempercayai Putrajaya menyembunyikan maklumat.Kali ini, responden dari kedua-dua kawasan bandar dan luar bandar bersatu dalam mempercayai Putrajaya kurang jujur dalam mendedahkan maklumat berkenaan MH370.

Responden dipilih melalui kaedah persampelan rawak berstrata mengikut etnik, jantina dan umur, serta meliputi semua kawasan Parlimen di Semenanjung Malaysia.Kajian itu dijalankan dari 24-30 Mac dengan pemilihan responden berkadar dengan penduduk di setiap kawasan Parlimen.

Berhubung prestasi menteri Malaysia dalam menangani krisis MH370, 21% daripada responden berkata mereka sangat tidak berpuas hati manakala 19% sangat berpuas hati.

Walaupun Putrajaya menerima pelbagai kritikan daripada pihak tempatan dan antarabangsa sejak krisis MH370 itu, 51% responden berkata mereka yakin terhadap kerajaan.

Bagaimanapun, 45% responden berkata mereka hilang keyakinan terhadap Putrajaya selepas krisis MH370.Responden turut ditanya sama ada prestasi Putrajaya dalam menangani krisis MH370 yang menyebabkan mereka lebih/kurang yakin terhadap kerajaan.

Beberapa hari selepas kehilangan MH370, Kementerian Luar China menggesa Malaysia mempercepatkan siasatan dan menyediakan maklumat yang lebih tepat.Bagaimanapun, kritikan China terhadap penyiasatan Malaysia berhubung MH370 juga turut melepaskan keburukan tentang nasionalisme.

Kemarahan terhadap pengendalian penyiasatan Malaysia meletus di media sosial China, dan juga di jalanan dengan demonstrasi di luar Kedutaan Malaysia di Beijing.

Agensi Berita Xinhua milik kerajaan mereka mengatakan adalah sesuatu " yang tidak boleh dimaafkan " terhadap kekurangan kapasiti, usaha atau ketelusan di pihak Putrajaya.“Orang Malaysia” menjadi perkataan popular bagi menggambarkan sikap tidak bertanggungjawab dan ketidakpercayaan; penyanyi Cina-Malaysia turut dikecam di internet.

Selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi, ahli keluarga dan saudara mara di Beijing tersentak.

Berdukacita dan marah tentang apa yang mereka namakan sebagai tempoh dua minggu yang penuh dengan "pembohongan dan maklumat mengelirukan " selepas MH370 hilang, ahli keluarga berarak ke kedutaan Malaysia.

Mereka membawa sepanduk dengan perkataan "Malaysia Airlines, anda berhutang penjelasan kepada kami”, "kerajaan Malaysia rasuah" dan "Mama, pulanglah".

Satu lagi perbalahan adalah laporan CNN pada Khamis yang memetik seorang pegawai kanan kerajaan Malaysia sebagai berkata tentera udara melancarkan pencarian jam 8 pagi pada 8 Mac tidak lama selepas MH370 dilaporkan hilang.

Kedua-dua, pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia menafikan laporan itu. Bagaimanapun, CNN berkata ia berpegang kepada laporan itu lapor The Malaysian Insider

No comments:

Post a Comment