Saturday, March 15, 2014

Pesawat tidak dikenali dikesan menuju Kepulauan Andaman, India


Bukti daripada radar Tentera membayangkan kemungkinan pesawat MH370 yang hampir seminggu hilang, telah sengaja diterbangkan melintas Semenanjung Tanah Melayu ke arah Kepulauan Andaman, lapor Reuters yang memetik sumber yang biasa dengan penyiasatan itu hari ini.

Dua sumber tu iberkata sebuah pesawat yang tidak dikenali yang penyiasat percaya ialah MH370, telah mengikuti laluan di antara titik laluan penerbangan - yang menunjukkan ia sedang diterbangkan oleh seseorang yang terlatih dalam bidang penerbangan - ketika kali terakhir ia diplotkan pada radar tentera di luar pantai barat laut negara ini.

Plot terakhir pada radar tentera membayangkan kemungkinan pesawat itu terbang ke arah Kepulauan Andaman di India, yang terletak di antara Laut Andaman dan Teluk Bengal, kata mereka.

Titik laluan adalah lokasi geografi, berdasarkan kiraan longitud dan latitud, yang membantu juruterbang sepanjang koridor udara.

Sumber ketiga yang biasa dengan penyiasatan itu berkata persoalannya semakin tertumpu kepada teori bahawa seseorang yang tahu menerbangkan pesawat itu telah sengaja mengubah haluan penerbangan, yang membawa 239 orang, beratus-ratus kilometer melencong dari kursus destinasi asalnya dari Kuala Lumpur ke Beijing.

"Apa yang kita boleh katakan ialah kemungkinan perbuatan sabotaj, dan begitu juga kemungkinan berlaku rampasan," kata sumber itu yang merupakan seorang pegawai kanan polis Malaysia.

Ketiga-tiga sumber itu yang enggan dinamakan kerana mereka tidak dibenarkan bercakap kepada media dan kerana sensitiviti siasatan.

Pegawai-pegawai di Kementerian Pengangkutan Malaysia, yang menjadi kontak rasmi maklumat mengenai penyiasatan itu, tidak membalas panggilan untuk mendapatkan komen.

Polis Malaysia sebelum ini berkata, mereka sedang menyiasat sama ada penumpang atau kru yang mempunyai masalah peribadi atau psikologi yang mungkin dapat memberi petunjuk terhadap misteri itu, bersama-sama dengan kemungkinan berlaku rampasan, sabotaj atau kegagalan mekanikal.

Komen oleh tiga sumber merupakan petunjuk jelas yang pertama bahawa perbuatan jenayah disyaki berlaku dan menjadi fokus siasatan berkaitan kehilangan Boeing 777 itu.

Hasil daripada bukti terbaru itu, sumber-sumber berkata, usaha mencari telah dipergiatkan lagi di Laut Andaman dan juga Lautan Hindi.

Dianggap misteri yang paling membingungkan dalam sejarah penerbangan moden, tidak ada kesan pesawat atau mana-mana tanda bangkai kapal terbang itu yang ditemui walaupun usaha mencarinya membabitkan pasukan tentera laut dan pesawat tentera pelbagai negara.

Kali terakhir pesawat itu dilihat skrin radar awam ialah sebelum jam 1.30 pagi Sabtu waktu Malaysia, kurang satu jam selepas ia berlepas dari Kuala Lumpur, ketika ia terbang ke arah timur laut melintas muara Teluk Thailand.

1 comment: