Friday, March 21, 2014

MH 370 Australia pulak dakwa jumpa objek bersaiz kapal jumbo



Australian Maritime Safety Authority (AMSA) memerlukan imej-imej satelit yang lebih jelas serta analisis pakar sebelum dapat mengesahkan dua objek yang ditemui pada imej satelit sebelum ini mempunyai kaitan dengan kehilangan pesawat MH370.

Pengurus Besar Jabatan Respon Kecemasan AMSA, John Young berkata, objek terbesar yang dikesan menerusi imej satelit tersebut berukuran kira-kira 24 meter panjang, cukup untuk pasukan pencari dan penyelamat (SAR) mengubah arah pencarian ke kawasan tersebut.

Empat pesawat telah dikerahkan untuk mencari lokasi objek berkenaan walaupun AMSA menyedari ia sebuah misi yang sukar dan mungkin tidak mempunyai kaitan dengan pesawat yang hilang sejak 8 Mac lalu.

"Penemuan tersebut merupakan satu petunjuk baharu dan ia mungkin merupakan petunjuk terbaik yang kita pernah temui setakat ini.

Tetapi kita masih perlu ke sana, temui objek tersebut dan melakukan kajian terhadapnya. "Objek-objek tersebut mungkin sangat sukar untuk ditemui dan ia mungkin tidak mempunyai kaitan dengan pesawat berkenaan tetapi nasihat pakar-pakar menyebut bahawa imej tersebut adalah kredibel.

"Jadi saya menasihatkan AMSA untuk melakukan yang terbaik bagi mencari sesiapa sahaja yang mungkin terselamat," katanya semasa sidang media khas di Cranberra, Australia hari ini.
Young berkata, objek tersebut dikesan 2,500 kilometer di barat daya Perth dan sebuah pesawat Orion Royal Australian Air Force telah tiba di kawasan tersebut pada jam 1.50 petang waktu tempatan kemudian tiga lagi pesawat telah dikerahkan ke sana.

Pesawat tentera laut Amerika Syarikat, P8 Poseidon dijangka tiba pada 3 petang manakala pesawat Orion kedua milik Australia dijangka tiba pada jam 6 petang. Pesawat Orion New Zealand dijangka berlepas pada 8 malam. - MalaysiaGazette

No comments:

Post a Comment