Tuesday, February 4, 2014

PAS AKAN HANTAR JENTERA PILIHANRAYA TERKUAT KE KAJANG

Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS, Dr. Hatta Mohd Ramli, berkata semua jentera parti di setiap peringkat dan negeri-negeri akan bergerak semaksima mungkin, khususnya jentera PAS Selangor bagi memenangkan calon PKR di Dun Kajang.

"Kita sokong dan sememangnya memberikan komitmen untuk membantu semaksima mungkin sepanjang kempen PRK ini. Saya nasihatkan semua jentera di peringkat dewan-dewan dan juga negeri-negeri untuk turun membantu dan mengikut perancangan yang diatur," tegas beliau ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Selain itu, Dr. Hatta yang turut dilantik sebagai pengarah pilihan raya bagi PRK itu turut mengingatkan jentera parti membantu selagi boleh untuk PRK ini, sama ada dari bentuk kewangan, buah fikiran, kerja-kerja kempen dan sebagainya bagi mempertahankan kerusi tersebut.

Katanya, beliau akan membentuk satu jawatankuasa pilihan raya di peringkat pusat, selain satu jawatankuasa di peringkat negeri yang akan dikendalikan dari kalangan PAS Selangor.

Pada 27 Jan lalu, Speaker Dun Selangor, Hannah Yeoh mengumumkan Adun Kajang, Lee Chin Cheh telah meletakkan jawatan.

Dun itu mempunyai 38,965 pemilih, merangkumi 48 peratus Melayu, 41 peratus Cina dan 10 peratus India.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2004, MCA memenangi kerusi itu tetapi tewas pada PRU 2008 dan PRU 2013 kepada PKR.

No comments:

Post a Comment