Thursday, January 30, 2014

TIADA ALASAN BOLEH MELACUR KERANA DARURAT

Disiarkana adalah sepucuk surat yang ditulis oleh Sdr ZAMRI HASHIM, Pegawai Istinbat, Jabatan Mufti Negeri Perak kepada Saudara Rozmal Malakan dari Senawang, seorang insan yang memninta penjelasan tentang 'melacur ketika darurat'

Tiada alasan boleh melacur kerana darurat

Saudara Pengarang,

MERUJUK kepada surat Saudara Rozmal Malakan dari Senawang yang meminta Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan memberikan penjelasan terhadap isu bekerja sebagai pelacur atas alasan darurat, saya terpanggil untuk memberi pandangan walaupun bukan ahli Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan.

Beberapa ulama memberikan ulasan mengenai takrif darurat berdasarkan maksud dalam ayat 3, surah al Maidah:

Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya), dan binatang- binatang yang disembelih kerana yang lain daripada Allah, dan yang mati tercekik, dan yang mati dipukul, dan yang mati jatuh dari tempat yang tinggi, dan yang mati ditanduk, dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya), dan yang disembelih atas nama berhala; dan (diharamkan juga) kamu merenung nasib dengan undi batang-batang anak panah.

Yang demikian itu adalah perbuatan fasik. Pada hari ini, orang-orang kafir telah putus asa (daripada memesongkan kamu) daripada agama kamu (setelah mereka melihat perkembangan Islam dan umatnya). Sebab itu janganlah kamu takut dan gentar kepada mereka, sebaliknya hendaklah kamu takut dan gentar kepadaKu.

Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu. Maka sesiapa yang terpaksa kerana kelaparan (memakan benda-benda yang diharamkan) sedang ia tidak cenderung hendak melakukan dosa (maka bolehlah ia memakannya), kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Menurut Imam Abu Bakar Al Jasas, darurat itu adalah satu keadaan ditakuti atau dikhuatiri akan berlaku kemusnahan ke atas nyawa atau beberapa bahagian anggota badan apabila tidak memakan makanan yang haram itu.

Al Bazdawi pula mengatakan bahawa darurat itu ialah keadaan di mana jika keengganan untuk memakan makanan yang haram itu akan menyebabkan kemusnahan nyawa dan anggota.

Ulama mazhab As Syafie (as Syafiyyah ) mengatakan skop darurat itu bukan sekadar takut kehilangan nyawa jika tidak memakan makanan yang haram itu, tetapi ditakuti juga akan berlaku kesakitan atau sakitnya bertambah teruk atau sakitnya itu akan berpanjangan.

Mereka juga meletakkan kekhuatiran akan ditinggalkan oleh rakan seperjalanan dan ketidakmampuan untuk mengendalikan kenderaan jika tidak memakan makanan yang haram itu mahupun melakukan perkara yang terlarang.

Imam Abu Zuhrah pula mendefinisikan darurat pula sebagai satu keadaan ditakuti akan kehilangan nyawa ataupun kehilangan harta keseluruhannya ataupun masahat dharurinya (agama, nyawa, maruah, akal dan harta) terancam jika tidak memakan yang haram atau tidak melakukan perkara yang terlarang dengan syarat tidak menyentuh hak orang lain.

Sesungguhnya syarak telah menetapkan beberapa syarat yang membolehkan seseorang itu memakan makanan yang diharamkan atau melakukan perkara yang dilarang mahupun meninggal atau menangguh perkara yang diwajibkan ke atasnya.

Berikut adalah beberapa syarat yang telah ditetapkan oleh Islam dalam meletakkan sempadan daerah darurat itu sendiri. Jika menepati kriteria ini barulah terpakai kaedah syarak seperti darurat mengharuskan perkara yang dilarang:

* Darurat itu memang benar-benar berlaku bukan lagi hanya sangkaan semata-mata ke atas kemusnahan nyawa ataupun harta benda. Kalau pun kekhuatiran itu didasarkan andaian, andaian itu hendaklah andaian yang kuat seperti telah melalui proses pengalaman dan pemerhatian.

* Orang yang berada dalam keadaan darurat itu tidak ada jalan lain yang dibenarkan oleh syarak untuk mengelakkan kemudaratan itu. Contohnya seseorang yang amat perlu untuk meminjam wang maka ia mesti memilih pinjaman tanpa riba kerana zaman ini sudah ada alternatif untuk melakukan pinjaman dengan tidak menggunakan sistem riba.

* Orang yang dalam keadaan darurat (terpaksa) itu mestilah berusaha jangan memilih perkara yang terang-terang melanggar prinsip-prinsip asasi Syariat Islamiah dan usul akidah Islamiah seperti tidak halalnya ia memilih untuk berzina, membunuh, memilih kufur dan mengambil hak orang lain kerana perkara-perkara berkenaan pada hakikatnya adalah mafsadah (kerosakan).

Ini bererti jika dalam melepaskan keadaan terpaksa itu tiada jalan yang halal, cuma yang ada beberapa jalan yang haram, maka ia mesti memilih mudarat yang lebih ringan dan tidak terang-terang melanggar perkara perkara asasi dalam Islam.

* Ketika melepaskan keadaan daruratnya seseorang itu mestilah sekadar melakukannya kadar yang perlu sahaja, bukan untuk berselesa melakukan perkara yang terlarang berkenaan berdasarkan kaedah keadaan darurat diukur dengan tingkatannya

* Dalam isu terpaksa memakan ubat dari produk haram untuk menjaga kepentingan nyawa, syarat tambahan yang perlu dipenuhi ialah pengambilan ubat berkenaan hendaklah disyorkan oleh doktor yang dipercayai pegangan dan amalan agamanya serta mempunyai kepakaran di samping terbukti tiada ubat lain yang halal untuk diambil.

* Dalam pemerintahan negara, pemimpin perlu memastikan kepentingan awam dan negara didahulukan walaupun kadang-kadang terpaksa mengambil jalan yang terlarang apabila jalan yang halal tiada atau kurang berkesan dalam menjaga kepentingan negaranya seperti pandangan beberapa orang ulama yang berpandangan harus membayar hutang negara kepada badan-badan dunia atau negara-negara kuasa besar bersama dengan faedah pinjaman walaupun pada asasnya riba itu haram kerana menjaga kepentingan negara daripada terjual atau tergadai kepada kuasa asing.

Daripada sedikit ulasan di atas, alasan melakukan perkara yang diharamkan kerana darurat tidak semudah seperti ia diungkapkan kerana pada hakikatnya ia masih terikat dengan beberapa syarat yang telah ditetapkan oleh syarak.

Fenomena yang berlaku di masyarakat kita ialah ramai di kalangan umat Islam menggunakan alasan darurat dengan melakukan perkara yang haram dalam perkara peminjaman secara riba sedangkan peminjam berkenaan bukannya dalam perkara `daruriyyat' tetapi hanya dalam perkara `tahsiniyyat' sahaja.

Saya berpandangan alasan melacur kerana darurat tidak dapat diterimasama sekali oleh syarak mahupun akal dan adat masyarakat kerana masih banyak lagi Jalan lain yang boleh dilakukan untuk menyelesaikan masalahnya lebih-lebih lagi disokong dengan statistic peluang pekerjaan yang banyak dikaut oleh pekerja asing di negara ini, di samping masih terdapat badan-badan kebajikan kerajaan mahupun swasta dan masih ramai warga negara ini yang berjiwa mulia bersikap suka menolong orang yang dalam kesusahan. -

ZAMRI HASHIM, Pegawai Istinbat, Jabatan Mufti Negeri Perak.

SUMBER https://www.mail-archive.com/hidayahnet@yahoogroups.com/msg04323.html

Diharap pecinta ostajah tersebut mendapat manfaat daripada penjelasan di atas.

adios

Disclaimer
"Semua artikel dalam blog ini terutama yang berunsur agama disiar untuk tujuan pendedahan dan pengetahuan am untuk diperdebat dan dibincangkan. Ketepatan maklumat dalam blog ini perlu dibandingkan dengan sumber-sumber lain agar tidak terjadi anggapan penyebaran maklumat palsu atau fitnah. Bagi mereka yang mahukan sesuatu dalam blog ini didelete kerana akta harta intelek sila email gua di atimuda@gmail.com"

1 comment: