Sunday, January 12, 2014

SEBIJAK-BIJAK KHALID, TERPEDAYA JUGA DENGAN KERAJAAN PUSAT

Rakyat Selangor terperanjat besar apabila Menteri Besar (MB) Selangor membuat 'U-Turn' memberi kelulusan bagi pembinaan Loji Langat 2 pada Rabu lepas.

MB memberi alasan ianya disebabkan Kerajaan Pusat menguatkuasakan Seksyen 114, Akta Perkhidmatan Industri Air (WSIA 2006) ekoran kegagalan Kerajaan Negeri memuktamadkan rundingan dengan empat syarikat konsesi air yang berakhir 31 Disember 2013 yang lau.

Rakyat Selangor khususnya harus diperjelaskan apa itu "Seksyen 114" Akta WSIA 2006 itu.

Definasi ringkasnya seksyen tersebut memberi kuasa kepada Menteri Tenaga, Air dan Teknoloji Hijau (Kerajaan Pusat) untuk 'merampas' hak kawalan, pengurusan, harta dan aset serta lesen perniagaan PEMEGANG LESEN AIR demi kepentingan negara. Dalam kes Negeri Selangor pemegang lesen tersebut ialah empat syarikat konsesi air iaitu Puncak Niaga, Syabas, Splash dan Konsortium Abbas.

Selepas 'dirampas' atau terma yang lebih sopan disebut 'diambil alih', Kerajaan Pusat akan menyerahkannya untuk diurus selia oleh Suruhanjaya Pengurusan Air Negara (SPAN).

Disebutkan juga oleh seksyen tersebut bahawa pemegang lesen tadi akan dibayar pampasan ekoran pengambilalihan tersebut dan jumlahnya (kuantum) ditetapkan oleh Kerajaan Pusat.

Seksyen 114 ini adalah mirip kepada konsep 'Milik Negara' (Nationalisation) yang diamalkan oleh Cuba dan beberapa negara sosialis, cuma bezanya di sini ialah pemilik perniagaan tadi dibayar pampasan.

Jadi apa kaitan Seksyen 114 tadi dengan Kerajaan Negeri Selangor?

Secara jelas Kerajaan Negeri TIDAK TERIKAT untuk patuh kepada seksyen ini kerana Kerajaan Negeri BUKAN 'Pemegang Perniagaan Lesen Air'. Di Selangor dan W.P Kuala Lumpur dan Putrajaya - Syabas adalah pemegang lesen dan pembekal air hinggakan bil air itu sendiri dibayar kepada Syabas dan bukan kepada Kerajaan Negeri.

Ramai yang tidak mengetahui bahawa Kerajaan Negeri adalah pemilik kepada 33 dari 38 buah loji rawatan dan 8 buah empangan besar seluruh negeri Selangor. Jelas di sini Kerajaan Negeri adalah pemilik aset air dan bukannya pemegang lesen perniagaan air, lantaran itu ia tidak sama sekali terikat langsung dengan seksyen ini.

Lantaran, kita keliru bagaimana Kerajaan Negeri tidak memahami seksyen tersebut sebaliknya mengambil keputusan untuk "memberikan kerjasama penuh kepada Kerajaan Pusat" untuk meberikan kelulusan pembinaan Loji Langat 2.

Sentimen rakyat Selangor begitu sensetif terhadap pembinaan Langat 2 yang kontroversi itu. Mereka telah menyatakan bantahan sejak lima tahun yang lalu lantaran diterjemahkan dalam PRU13 yang lalu dengan memberikan mandat dua pertiga kepada Kerajaan Pakatan Rakyat untuk terus ,menerajui Selangor bagi penggal kedua.

Pendirian rakyat dan kepimpinan Pakatan Rakyat di Selangor ialah projek Langat 2 adalah projek 'pelengkap' kepada satu rangkaian projek 'mega' oleh pemimpin-pemimpin Kerajaan Pusat Umno/BN.

Kita tafsirkan bahawa kos keseluruhan projek ini mencecah RM16 Bilion dan menganggap ianya merupakan satu pembaziran wang rakyat untuk meng'kaya' kan kroni-kroni dan pemimpin Umno/BN.

Ramai yang tidak mengetahui bahawa bagi menyudahkan projek Langat 2 ini tadi, Kerajaan Pusat harus melaksanakan tiga lagi projek besar di sebelah Negeri Pahang iaitu :

a) Empangan Kelau di sempadan Raub/ Bentong;

b) Pembinaan Rumah Pam dan Muka Sauk di Sungai Semantan;

c) Membina terowong sepanjang 44km di bawah banjaran Titiiwangsa dari Karak, Pahang ke Hulu Langat, Selangor untuk menyalur air mentah dari Sungai Semangan tadi; dan

d) Akhirnya pembinaan Loji Langat Air itu sendiri.

Kita persoalkan apakah keperluan meng'import' air mentah dari Sungai Semangan itu sedangkan kita mempunyai sumber air yang mencukupi dan boleh dipertingkatkan penggunaannya dengan kaedah menaiktaraf dan memperbesarkan infrastruktur loji-loji air yang sedia ada.

Isunya di sini yang sering kita perkatakan sebelum ini ialah kita bukan tidak mempunyai simpanan air bersih yang mencukupi tetapi sebaliknya disebabkan kegagalan syarikat pembekal air iaitu Syabas untuk menurunkan 30 peratus Air Yang Tidak Berhasil (NRW).

Tidak ada maknanya kita berjaya memperolehi 2,260 Juta Liter Sehari (JLH) kononnya dari Loji Langat 2 setelah siap dibina kelak tetapi kehilangan 30 peratus (NRW) disebabkan kebocoran paip dan sebagainya.

Rakyat juga harus diberitahu bahawa apabila Langat 2 ini siap, Kerajaan negeri terpaksa membayar RM80 juta setahun kepada Kerajaan Pahang sebagai royalti pengambilan 'air mentah' dari Sungai Semantan tadi dan lebih menekan lagi ianya dinaikkan setiap lima tahun sekali.

Pendirian kita mudah bahawa hak dan kuasa terhadap tanah adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan perkara ini tiada kaitan langsung dengan Seksyen 114 tersebut.

Jadi ianya bukan fakta kukuh meluluskan projek Langat 2 dengan mengaitkannya dengan Seksyen 114 itu. Ia adalah dua perkara berbeza yang tiada kaitan antara satu sama lain.

Kita juga berpendapat bahawa keputusan meletakkan 'dua wakil Negeri' kononnya sebagai 'pentadbir' di dalam SPAN bukanlah pendekatan terbaik untuk menjaga kepentingan enam juta rakyat Selangor.

Sebaliknya ianya menjadi bahan ketawa (laughing stalk) kepada orang ramai. Seksyen tersebut memperjelaskan bahawa mereka yang dilantik oleh Kerajaan Pusat untuk menganggotai SPAN adalah atas budi bicara Kerajaan Pusat dan 'bukannya' hak Kerajaan Negeri untuk menentukannya.

Tambahan pula apa gunanya meletakkan dua orang wakil negeri yang kemudiannya akan 'dikeronyok' dan dipinggirkan oleh majoriti anggota yang memihak kepada Kerajaan Pusat di dalam SPAN itu.

Kita ingin bertanya kepada Kerajaan Negeri sama ada Kerajaan Negeri ada meletakkan syarat agar tarif air tidak dinaikkan dalam satu tempoh yang panjang ekoran pengambilalihan industri air di Selangor oleh SPAN nanti.

Secara peribadi saya berani mengatakan bahawa rakyat Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya akan terpaksa membayar harga air yang naik secara mendadak dalam masa terdekat.

Ringkasnya Kerajaan Pusat harus mengutip balik hasil pelaburan mereka dari kos keseluruhan projek yang bernilai RM16 bilion tersebut.
DR XAVIER JAYAKUMAR adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Andalas. mk

adios

Disclaimer
"Semua artikel dalam blog ini disiar untuk tujuan pendedahan dan pengetahuan am untuk diperdebat dan dibincangkan. Ketepatan maklumat dalam blog ini perlu dibandingkan dengan sumber-sumber lain agar tidak terjadi anggapan penyebaran maklumat palsu atau fitnah. Bagi mereka yang mahukan sesuatu dalam blog ini didelete kerana akta harta intelek sila email gua di atimuda@gmail.com"

No comments:

Post a Comment