Friday, January 31, 2014

KESAN AWAL TINDAKAN ANWAR IBRAHIM - BN DAH BERTELAGAH LETAK CALON

Walaupun para pemimpin BN termasuk Pengerusinya menyifatkan tindakan mengosongkan kerusi Dun Kajang itu sebagai ‘penghinaan terhadap proses demokrasi’ dan ‘satu pembaziran’, tiada tanda-tanda bahawa BN akan menuruti nasihat Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat agar tidak bertanding.

calon yang boleh mengalahkan Anwar Ibrahim

"Saya suka mencabar Umno dan Barisan Nasional, jika mereka berpandangan pengosongan kerusi di DUN Kajang itu satu pembaziran dan penghinaan terhadap proses demokrasi, jangan sekali-kali mereka meletakkan calon di dalam pilihan raya kecil itu nanti," kata Tuan Guru Nik Aziz dalam entrinya di laman Facebook.

Malah Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin 28 Januari lalu awal-awal lagi mahu pemilihan calon BN bagi PRK Dun Kajang tidak terikat dengan ‘formula lama’.

Beliau membayangkan calon bakal dipilih BN mungkin tidak datang dari MCA walaupun Dun Kajang merupakan kerusi tradisi parti Cina itu.

"Kita perlu bertanding. Tapi kita berharap calon yang dipilih bukan dipilih berdasarkan 'formula lama'," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Pemuda Umno di Kuala Lumpur.

"Saya tidak kata MCA tak baik... Beri kita calon yang terbaik."

Pandangan Khairy itu mengundang kemarahan MCA. Ketua Pemudanya, Chong Sin Woon mengingatkan Khairy supaya tetap menghormati semangat kebersamaan dalam gabungan 14 parti itu.

“Kita mempunyai matlamat sama, tetapi (Khairy) tidak patut secara terbuka berkata ia tidak akan mengikut formula lama (pemilihan calon),” kata Chong berang.

“Dia (Khairy) jelas kata (Kajang) tidak semestinya akan ditandingi oleh MCA,” kata Chong dalam satu sidang media.

Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai pula menegaskan pendirian MCA untuk sekali lagi meletakkan calonnya di Dun Kajang.

Menurut Liow, selaras dengan semangat dan formula (lama) BN, DUN Kajang akan sentiasa menjadi kerusi MCA dan parti perlu bekerja keras jika ingin menawan semula Dun berkenaan yang terlepas ke tangan PKR pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) Mei tahun lalu.

"Kita (MCA) akan cadangkan nama calon kepada parti komponen BN yang lain selepas SPR umumkan bila tarikh (penamaan calon dan) pengundian," katanya dalam sidang media selepas mesyuarat Majlis Presiden MCA di Wisma MCA di sini, 29 Januari lalu.

Liow yakin MCA mampu memenangi semula kerusi Kajang dan parti pimpinannya telah menubuhkan jawatankuasa khas peringkat pusat, negeri dan bahagian untuk mengatur strategi dan membuat segala persiapan bagi menghadapi PRK itu.

Menurutnya, jawatankuasa peringkat pusat akan dipengerusikan Timbalan Presiden Datuk Dr Wee Ka Siong, manakala Datuk Donald Lim Siang Chai dan Lee Ban Seng masing-masing mempengerusikan jawatankuasa peringkat negeri dan bahagian.

Semangat dan keyakinan MCA itu bagaimanapun tidak dikongsi Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau malah secara terbuka menyokong cadangan Khairy supaya BN mengubah formula memilih calonnya bagi PRK Dun Kajang.

Zahid berkata kepimpinan BN perlu mengubah kaedah pemilihan calon itu untuk membolehkan BN menawan semula kawasan itu kerana ia mempunyai lebih 40 peratus pengundi Melayu.

Menteri Dalam Negeri itu mendakwa langkah ini penting bagi menjamin kemenangan BN selain menimbang faktor Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon PKR.

Lee Chin Cheh memenangi kerusi Dun Kajang pada PRU lalu dengan majoriti 6,824 undi dalam persaingan enam penjuru dengan BN, Berjasa dan tiga calon bebas.

Statistik Daftar Pemilih SPR menunjukkan komposisi pengundi Dun Kajang adalah Melayu sebanyak 48.48 peratus, Cina (40.46 peratus) dan India (10.15 peratus).

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim 28 Januari lalu mengumumkan Anwar sebagai calon PKR bagi PRK Dun Kajang.

Perbalahan antara Umno dan MCA dalam menentukan parti yang paling layak mewakili BN dalam PRK Dun Kajang menunjukkan BN masih gagal melepaskan diri daripada sentimen politik kaum dan bangsa.

Umno yang masih mengekalkan penguasaan dalam BN (dengan dokongan pengundi Melayu luar bandar dan masyarakat Felda) yakin bahawa parti itu akan berjaya meraih sokongan 48.48 peratus pengundi Melayu di Dun Kajang berbanding calon Melayu PKR jika diberi peluang bertanding di kerusi marginal itu.

Malah para pemimpin parti Melayu itu tetap mencurigai kemampuan MCA bagi meraih sokongan pengundi Cina yang dilihat masih cenderung kepada Pakatan Rakyat.

Baru pulih daripada krisis kepimpinan, kemampuan MCA bagi meraih sokongan masyarakat Melayu juga diragui Umno apatah lagi dengan kemunculan kumpulan-kumpulan pendesak Melayu pro-Umno seperti Perkasa.

PRK Dun Kajang akan menjadi medan untuk Pakatan Rakyat dan BN menguji sejauh mana kesepaduan pakatan politik masing-masing. Ia bukan sekadar PRK yang bakal menentukan corak pentadbiran Selangor; malah ia memberi isyarat kepada pihak mana yang lebih dipercayai rakyat untuk membentuk kerajaan pusat dalam tempoh empat tahun akan datang.

adios
Disclaimer
"Semua artikel dalam blog ini terutama yang berunsur agama disiar untuk tujuan pendedahan dan pengetahuan am untuk diperdebat dan dibincangkan. Ketepatan maklumat dalam blog ini perlu dibandingkan dengan sumber-sumber lain agar tidak terjadi anggapan penyebaran maklumat palsu atau fitnah. Bagi mereka yang mahukan sesuatu dalam blog ini didelete kerana akta harta intelek sila email gua di atimuda@gmail.com"

No comments:

Post a Comment