Saturday, January 11, 2014

Azmin dipinggir Khalid?

Tidak diketahui punca namun itulah kenyataan yang berlaku dalam pentadbiran negeri Selangor. Apa pun keputusan Khalid diharap segalanya dilakukan demi kebaikan rakyat negeri Selangor dan bukan kerana dendam politik.

Dalam laporan Sinar Harian hari ini, Azmin dilaporkan menerima surat tidak dilantik semula sebagai ahli lembaga pengarah."Ya," kata Azmin kepada Sinar Harian hari ini selepas ditanya tentang khabar angin mengenai surat tersebut.

Bagaimanapun, Sinar Harian dalam laporannya berkata, keputusan muktamad akan diputuskan pada 20 Januari dalam satu mesyuarat Lembaga Pengarah PKNS yang akan dipengerusikan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Azmin dan Abdul Khalid sememangnya diketahui berbeza pandangan dalam banyak perkara.Malah, pelantikan Abdul Khalid sebagai MB bagi penggal kedua sememangnya tidak disenangi oleh PKR Selangor yang dipimpin oleh Azmin.

Namun, PKR juga tidak boleh melakukan apa-apa kerana PAS dan DAP yang masing-masing mempunyai 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) mahukan Abdul Khalid kekal dan tidak bersedia menerima Azmin.

Azmin sebelum ini juga merungut apabila pimpinan pusat PKR tidak melakukan perbincangan dengan parti di peringkat negeri dalam urusan pelantikan MB Selangor bagi penggal kedua.

Hasilnya, hubungan keruh di antara kerajaan negeri Selangor pimpinan Abdul Khalid dengan PKR negeri pimpinan Azmin semakin membarah.

Ahli Parlimen Gombak itu juga dilihat banyak mengkritik pendekatan pentadbiran Abdul Khalid, sebagai contoh dalam bajet kerajaan negeri apabila beliau membidas Abdul Khalid kerana hanya memfokuskan kepada perbelanjaan mengurus semata-mata dan tidak perbelanjaan pembangunan.

Selain itu, Azmin membidas Abdul Khalid dalam isu kenaikan gaji yang termasuk dalam belanja mengurus bagi menteri besar, exco, speaker, timbalan speaker dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) negeri itu.Azmin menggesa pelaksanaan kenaikan gaji itu ditangguhkan.

Penasihat Ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilihat sebagai menyebelahi Azmin, turut mengulas mengenai kenaikan berkenaan dengan menyifatkan ia terlalu tinggi dan mendadak.

PKNS, sebuah konglomerat milik kerajaan negeri, adalah pemaju hartanah dan pelabur utama dalam perniagaan di Selangor. ~tmi

adios
Disclaimer
"Semua artikel dalam blog ini disiar untuk tujuan pendedahan dan pengetahuan am untuk diperdebat dan dibincangkan. Ketepatan maklumat dalam blog ini perlu dibandingkan dengan sumber-sumber lain agar tidak terjadi anggapan penyebaran maklumat palsu atau fitnah. Bagi mereka yang mahukan sesuatu dalam blog ini didelete kerana akta harta intelek sila email gua di atimuda@gmail.com"

No comments:

Post a Comment