Sunday, November 24, 2013

Kongres Khas PKR hari ini akan tentukan nasib Anwar Ibrahim



PKR mengadakan satu kongres khas hari ini di Kompleks Kebudayaan Negeri Selangor bermula dari jam 7.00 pagi hingga jam 5.00 petang. Kongres tersebut disebut-sebut akan menentukan sama ada Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) kekal sebagai Ketua Umum tidak dipilih, atau mengambil alih jawatan presiden parti, satu isu yang menimbulkan perpecahan di kalangan pemimpin utama, kata sumber dalaman parti itu.

Mereka berkata, pada ketika ini jawatan Ketua Umum tidak berada dalam perlembagaan dan PKR tidak akan memasukkannya dalam perlembagaan parti itu untuk Anwar.

“Jika jawatan Ketua Umum diperlembagakan dalam parti, PKR akan berhadapan dengan RoS yang ‘kejam’ dengan parti komponen Pakatan Rakyat (PR),” kata seorang pemimpin PKR kepada The Malaysian Insider di Kuala Lumpur merujuk kepada Pendaftar Pertubuhan.

“Ini akan memaksa Anwar untuk mengambil alih jawatan Presiden PKR daripada isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail,” katanya.

Peranan Anwar menjadi topik perdebatan di antara dua kumpulan dalam PKR, dengan ramai berkata beliau perlu membuat keputusan untuk mengelakkan pertembungan lebih besar dalam parti itu.

Sumber itu memberitahu, satu kumpulan mahu Anwar terus kekal sebagai Ketua Umum dan jawatan itu dijadikan sebagai jawatan rasmi dalam pindaan perlembagaan kali ini.

Ini akan menyebabkan Dr Wan Azizah terus kekal sebagai presiden.

Sementara kumpulan kedua mahu Anwar menjadi presiden parti itu dan Dr Wan Azizah direhatkan selepas sekian lama memegang pucuk pimpinan sejak Ketua Pembangkang itu dipenjarakan pada 1998.

Bagaimanapun, sesetengah pemimpin parti percaya, mengambil alih jawatan presiden PKR akan menimbulkan kerumitan kepada Anwar dalam struktur kepimpinan PR.

“Sesetengah pihak percaya, kedudukannya akan tergugat sebaik sahaja mengambil alih jawatan presiden kerana pada ketika ini, kedudukannya di atas semua pihak. Jika beliau menjadi presiden PKR, kedudukan Anwar akan menjadi sama taraf dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng,” kata sumber itu lagi.

Sementara kumpulan kedua percaya Anwar sebagai presiden PKR tidak akan menimbulkan masalah kerana PAS dan DAP sudah menerima Anwar sebagai calon Perdana Menteri jika PR berjaya menawan Putrajaya.

Seorang wakil rakyat PKR memberitahu, kebanyakan ahli parti mahu melihat Anwar menjadi presiden supaya parti itu lebih mantap dan kukuh kerana jawatan Ketua Umum tidak jelas dan terikut-ikut dengan struktur parti politik di Indonesia.

PKR menang 30 kerusi Parlimen dalam pilihan raya umum 5 Mei lalu, kurang satu kerusi berbanding pencapaian mereka pada 2008.

Sementara DAP mempunyai 38 kerusi dan PAS mendapat 21 kerusi di Dewan Rakyat. – 23 November, 2013.




Keputusan penuh AJK PAS pusat - Perwakilan beri isyarat supaya Hassan Ali 'jangan sibuk' 


adios

Disclaimer
"Semua artikel dalam blog ini disiar untuk tujuan pendedahan dan pengetahuan am untuk diperdebat dan dibincangkan. Ketepatan maklumat dalam blog ini perlu dibandingkan dengan sumber-sumber lain agar tidak terjadi anggapan penyebaran maklumat palsu atau fitnah. Bagi mereka yang mahukan sesuatu dalam blog ini didelete kerana akta harta intelek sila email gua di atimuda@gmail.com"

No comments:

Post a Comment