Monday, November 4, 2013

Dr Agus rayu kerajaan agar kasihani para guru

Dua minggu lagi cuti sekolah bermula.

Biasanya guru-guru cukup gembira dengan percutian ini kerana mereka mempunyai masa untuk berehat dan bercuti bersama keluarga.

Tapi kali ini kegembiraan tersebut suram kerana ramai dari mereka tertekan dengan sistem baru yang digunakan oleh Kementerian, iaitu Sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).

Betul sistem ini diperkenalkan oleh Kementerian setelah beberapa kali mesyuarat diadakan.

Betul sistem ini diperkenalkan kerajaan setelah mengambil kira kebaikannya untuk guru, murid-murid dan sistem pendidikan negara.

Betul tujuan sistem ini baik untuk transformasi sistem pendidikan negara, iaitu “untuk menilai potensi murid dan kesediaan untuk belajar, selain menguji penguasaan dan pencapaian.”

Tetapi apakah sistem ini betul-betul baik untuk meningkatkan mutu pendidikan negara? Apakah sistem ini betul-betul boleh diterima oleh para guru? Pertanyaan ini perlu diteliti sebelum mendapat jawapannya.

Saya sudah mendengar lama rungutan para guru tentang hal in sejak ia mula dilaksanakan pada tahun 2011 di peringkat sekolah rendah dan pada tahun lepas bagi peringkat sekolah menengah.

Ada yang menulis secara peribadi meminta saya membangkitkan hal ini.

Tetapi saya diam sehinggalah saya dapati kelemahan pelaksanaan sistem ini semakin ketara.

Apa yang lemahnya dengan sistem ini?

Lemahnya bukanlah pada tujuannya yang baik:

(i) untuk menilai potensi murid,
(ii) memantau pertumbuhan dan membantu meningkatkan potensi murid; dan
(iii) membuat pelaporan bermakna tentang pembelajaran individu.

Tetapi lemahnya sistem ini adalah pada penggunaan sistem memasukkan datanya yang tidak boleh ‘comply’ dengan beban data semasa.

Sistem Pangkalan Data PBS Lemah Justeru lemahnya sistem data PBS ini, maka guru perlu memasukkan data pada waktu lewat malam.

Akibatnya, pada waktu pagi guru mengantuk menyebabkan mutu mengajar menjadi lemah, sekali gus menjejas mutu pengajaran dan pembelajaran.

Akibatnya, murid tidak mendapat pembelajaran yang sempurna kerana waktu guru dihabiskan pada tugas perkeranian, bukan pada tugas hakikinya. Ini kerana selain sibuk memasukkan data, guru juga sibuk mengemaskan rekod.

Aduh!!! Apa lagi? Guru juga terpaksa menyiapkan kerja-kerja PBS sendiri seperti membina instrumen soalan, menanda dan menyemak kertas soalan.

Selepas itu, guru perlu mengadakan aktiviti bilik darjah untuk menyelesaikan segala keperluan kurikulum dan kemahiran insaniah yang lain.

Guru kadang-kadang terpaksa lepaskan murid ke aras band yang lebih tinggi biarpun arasnya belum dicapai.

Selain itu, guru perlu mengurus fail pelajar yang mungkin mencecah angka ribu dan puluhan unit almari untuk penyimpanan fail berkenaan serta memasukkan ratusan band pelajar ke dalam sistem.

Bayangkan bagaimana susah dan tertekannya guru jika internet hang?

Bayangkan bagaimana lelahnya guru setelah disemak semula dalam sistem, data yang dimasukkan sebelum ini tidak ada dalam pangkalan?

Maka dari sinilah, guru selalu bertanya, siapakah yang membangunkan sistem ini?

Mengapa diberi kepada pembekal yang tidak berkelayakan untuk menyediakan sistem ini kepada sekolah dan guru?

Mengapa kerajaan boleh melaksanakan sistem ini dikala sistem ini masih belum mesra pengguna? Bilakah mutu sistem ini akan dipertingkatkan? Dan bermacam persoalan lagi.

Saya pernah menceritakan kelemahan sistem ini kepada kawan saya, seorang pegawai di PPD.

Beliau kata kepada saya guru yang merungut dengan sistem PBS ini adalah guru yang malas dan tidak ada semangat untuk berjaya dalam bidang keguruan.

Maka beliau pun mulalah bercerita kepada saya tentang kejayaan sistem ini di negara-negara lain.

Saya tidak nafikan kejayaan sistem ini di negara lain, tetapi saya katakan sistem di sini tidak mesra guru kerana sistemnya selalu 'hanged' sehingga menyebabkan guru tertekan.

Ada guru yang terpaksa bangun pada jam 3 pagi semata-mata untuk memasukkan data. Jadi kata saya, sistem PBS ini mungkin sesuai di negara lain, tapi belum tentu sesuai di negara kita.

Anggur yang sesuai ditanam di Perancis belum tentu sesuai ditanam di Cameron Highlands.

Akhirnya, setelah mendengar keluhan para guru sejak sistem ini diperkenalkan, saya cuma ingin katakan guru yang mengeluh bukan kerana mereka tidak ‘love teaching’. Tapi mereka mengeluh kerana sistem PBS ini membebankan dan tidak mesra pengguna.

Oleh itu, jika kerajaan mahu juga meneruskan penggunaan sistem ini, teruskanlah dengan membaiki dan meningkatkan sistemnya supaya para guru tidak lagi tertekan dengan sistem yang tidak mesra pengguna.

Tugas mengajar ini seronok dan mulia. Maka, jangan bebankan para guru dengan perkara yang tidak sepatutnya.

adios

Disclaimer
"Semua artikel dalam blog ini disiar untuk tujuan pendedahan dan pengetahuan am untuk diperdebat dan dibincangkan. Ketepatan maklumat dalam blog ini perlu dibandingkan dengan sumber-sumber lain agar tidak terjadi anggapan penyebaran maklumat palsu atau fitnah. Bagi mereka yang mahukan sesuatu dalam blog ini didelete kerana akta harta intelek sila email gua di atimuda@gmail.com"

6 comments:

  1. Yang jelasnya PBS seperti juga berpuluh2 program yang diperkenalkan semenjak Najib menjadi menteri pendidikan dulu cuma indah dari segi bunyi saja tetapi tidak banyak mendatangkan faedah baik kepada guru lebih2 lagi murid. Apa yang dilaung2kan sebagai innovasi baru hanyalah sebagai gelembung ego menteri berkenaan yang cuba nak tinggalkan trademark mereka . Tujuan sebenarnya ialah buat projek baru yang boleh kumpul duit dan bagi kroni2 buncikkan perut mereka. Selalunya program/projek2 ini bolehlah diibaratkan seorang petani memimpikan lembu2 nya gemuk bugar tapi tempat dan padang ragutnya tidak disediakan. Sampai hari ini masih ada sekolah2 di pendalaman Sabah dan sarawak yang masih menyimpan peti2 tv dan komputer2 yang dibekalkan di bawah projek pengkumputaran sekolah di atas alamari2 guru2 besar! Bila ditanya kenapa tak guna, jawab mereka ringkas " Tak ada letrik. Ba".

    ReplyDelete
  2. Sokong 200 peratus...Itu baru beban pada guru...beban pada murid camana..beban pada ibubapa camana....yang jelas anak anak melayu di sekolah harian biasa semakin melayu lentok dan tiada semangat untuk mengejar dan berlumba lumba lagi..apa kan jadi kalau mereka dah tak bersemangat untuk mengejar kehidupan yang lebih baik bila dah dewasa nanti...Melayu akan ketinggalan jauh di belakang, yang sekarang ni pun dah ketinggalan..PBS boleh menyebabakan Melayuj semakin mundur kebelakang.."Bluberri kat Austalia tak akan dapat hidup subur di bumi Malaysia ini."

    ReplyDelete
  3. "Bluberri yang hidup subur kat bumi Australia tak akan mungkin hidup subur di bumi Malaysia." Saya nampak anak anak Melayu semakin melayu lentok, tiada lagi semangat untuk berlumba mengejar dalam kelas, Bagi saya PBS semakin merosotkan prestasi anak anak Melayu.

    ReplyDelete
  4. negara maju buat online, kita nk bt, tp guna brg tk sama mcm negara maju, lembap nk mampos, x blh msk lgsg

    ReplyDelete
  5. Ada menteri2 ambik peduli ker?

    ReplyDelete
  6. Yang nak tolong pjuangkan ni sembang boleh..

    ReplyDelete