Wednesday, October 23, 2013

Berita Harian cuba musnahkan kerjaya politik Husam - Dr Kamarul

Kritikan terbuka Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa (gambar) ke atas pentadbiran kerajaan negeri Kelantan merupakan perkara biasa dalam amalan demokrasi dan ia tidak seharusnya diperbesarkan dan digambarkan secara negatif, kata pengkaji politik Dr Kamarul Zaman Yusoff.

Kamarul membidas laporan Berita Harian yang mengatakan kononnya Husam diminta memberi penjelasan kepada pucuk pimpinan PAS ekoran kenyataannnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan dalam satu perjumpaan hari ini.

"Bagi saya, ia tindakan penakut tidak amanah dan tidak beretika apabila seorang sumber dalaman PAS yang cuba menyerang dengan secara terbuka ke atas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Salor," katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Kamarul yang mempunyai Ijazah Sarjana melalui tesis “PAS di bawah Kepimpinan Ulama” berkata, perbuatan sumber mendedahkan perjumpaan yang berlaku hari ini kepada media juga disifatkan pendedahan berat sebelah yang tidak adil.

“Dalam laporan tersebut sumber cuba mengkritik Husam dengan berkata Husam sebagai bekas Exco kanan negeri sepatutnya lebih memahami dan mengikut prosedur teguran ketika dalam Sidang Dewan Rakyat (DUN).

“Namun adakah sumber itu sendiri mengikut prosedur yang betul mendedahkan perjumpaan tanpa kebenaran pemimpin parti kepada media?” soalnya.

Pengkaji politik itu berkata lagi, laporan tersebut cuba memberi gambaran buruk dan memusnahkan kerjaya politik Husam seolah-olah pemimpin itu melakukan kesalahan dan bakal dihukum kerana kritikan terbuka.

"Pada pendapat saya Husam cuba membawa pembaharuan bersuara dengan lantangnya demi kebaikan, itu perkara biasa dan ia mencerminkan ketelusan pentadbiran.

"Mungkin kerana budaya kita yang tidak biasa begitu, bila kita cuba mengkritik meluahkan kebimbanga mereka akan anggap kita menentang tapi saya pasti niat Husam ingin meningkatkan lagi kecemerlangan pentadbiran kerajaan negeri namun ia telah disalah anggap," katanya.

Malah kata Kamarul sumber juga tidak amanah kerana dengan beraninya mendedahkan kandungan perbincangan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat 10 Oktober lalu biarpun tidak diberikan mandat untuk berbuat perkara demikian.

Hari ini dalam laporan akhbar Berita Harian bertajuk "PAS minta penjelasan Husam: Kritikan terbuka Adun Salor terhadap Kerajaan Kelantan cetus kontroversi" memetik sumber yang berkata Husam telah diminta untuk membuat penjelasan dalam perjumpaan khas hari ini di Kota Bahru di mana ia akan diketuai Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Am Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

“Nada suaranya (Husam) seolah-olah beliau menjadi ketua pembangkang, parti tidak kisah berdepan teguran ahli sendiri, tetapi sekurang-kurangnya buatlah dengan cara lebih berhemah," katanya.

Sumber berkata lagi, serangan secara terbuka bekas Exco kanan kerajaan negeri itu merupakan kecaman pertama oleh pemimpin sendiri sejak PAS memerintah negeri itu selama 23 tahun.

Pada 8 dan 9 Oktober Husam dikatakan mengkritik kerajaan negeri secara lantang ketika membahaskan belanjawan negeri 2014 dan mencelah penggulunggan pada sidang DUN.

Beliau menyentuh beberapa isu membabitkan kepincangan pengurusan Syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB), kelulusan 1,400 hektar tanah di Hutan SImpan Kekal Ulu Sat di Machang, projek pembinaan lebuh raya rakyat, pelaksanaan hukum syariah dan pelantikan anggota Jawatankuasa Kira-kira Wang (PAC) negeri.

Kamarul pernah menulis tesis bertajuk "PAS Dalam Era Kepimpinan Ulama, 1982-2004" manakala untuk tesis master beliau bertajuk "PAS Dalam Era Mohd Asri Muda, 1965-1982". – 22 Oktober, 2013.

Sumber; Portal Berita Malaysia Insider;

http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/berita-harian-cuba-musnahkan-kerjaya-politik-husam-kata-penganalisis

adios

Disclaimer
"Semua artikel dalam blog ini disiar untuk tujuan pendedahan dan pengetahuan am untuk diperdebat dan dibincangkan. Ketepatan maklumat dalam blog ini perlu dibandingkan dengan sumber-sumber lain agar tidak terjadi anggapan penyebaran maklumat palsu atau fitnah. Bagi mereka yang mahukan sesuatu dalam blog ini didelete kerana akta harta intelek sila email gua di atimuda@gmail.com"

No comments:

Post a Comment