Friday, September 27, 2013

Tahaaluf siyasi: Menantikan pengisian bukan kajian

Syor kajian semula kedudukan PAS dalam muafakat politik Pakatan Rakyat khasnya dengan PKR, atau ‘Tahaaluf Siyasi’ dalam bahasa Arabnya menarik perhatian ramai. Akhirnya saya juga rasa terpanggil untuk menulis.

Untuk peringatan, mengadakan sesuatu muafakat atau koalisi (tahaaluf) adalah satu pendekatan strategik yang pernah dilaksanakan Rasulullah dalam sejarah perjuangan baginda mengikut perhitungan kepentingan "maslahah" perjuangan, serentak bagi mengelak atau mengurangkan kemudaratan "mafsadah".

‘Tahaaluf’ adalah satu perkara ‘ijtihad politik’ yang dilakukan sesebuah kepimpinan gerakan Islam dalam mengemudi perjuangan parti atau organisasinya. Ia antara pendekatan dalam bidang ‘siyasah syariah’ yang diharuskan oleh syariat. Ia tentunya bukan perkara prinsip yang ‘tetap’ bahkan sebaliknya sentiasa tertakluk kepada perhitungan baik-buruk (maslahah-mafsadah) dalam sesuatu masa, realiti keadaan serta tahap perjuangan.

Dalam bahasa fiqhnya, ia tergolong dalam hal ‘ijtihadiyyah’ dan terangkum dalam perkara ‘Mutaghayyirat’ atau yang ‘boleh berubah atau tidak tetap’.

Justeru cadangan menilai semula sesuatu pendirian tentang pendekatan strategi politik adalah menasabah. Namun perlu ada kesediaan pihak pembentang untuk menyatakan secara terbuka, apakah perkara ‘mafsadah syar'iyyah’ – ‘kemudaratan syariah’ yang menjadikan kerjasama dengan PKR dan DAP itu menjadi ‘mudarat’ kepada perjuangan PAS.

Kalimat seperti memudaratkan perjuangan atau mafsadah syariah memang emotif dan sensasi. Penulis setelah membuat tinjauan mendapati ‘mafsadah’ (keburukan) yang dimaskudkan adalah kerana ‘kelemahan’ PAS tidak dapat banyak peruntukan kerusi, kurang kerusi menang dan tidak diberikan kerusi bertindih.

Perbincangan yang lebih ilmiah dan teliti mesti bermula dengan menyebutkan tentang baik-buruk (maslahah dan mafsadah) kedudukan ‘tahaaluf’ itu.

Secara mudah, tahaaluf dimanfaatkan gerakan Islam, contohnya PAS, Ikhwan Muslimin dan lain-lain, setelah pimpinan tertinggi parti bermasyawwarah lalu ‘berijtihad’ dan membuat keputusan bahawa mereka mahu mewujudkan tahaaluf dengan pihak tertentu berdasarkan matlamat tertentu.
Ia tentunya sebahagian daripada matlamat besar perjuangan. Tidak timbul keperluan bertahaaluf kalau matlamat tersebut mampu dicapai ‘bersendirian’.

Tegasnya, mengadakan tahaaluf adalah untuk mencapai ‘sebahagian’ daripada matlamat besar perjuangan Islam itu sendiri atau dengan kata lain ‘maslahah kulliy’. Inilah yang cuba dirumuskan dalam huraian ‘Dasar-dasar Bersama Pakatan Rakyat’ (Common Policy Framework, CPF).
Dalam bahasa umumnya CPF ‘bermatlamatkan untuk menegakkan prinsip keadilan dan menyebarluaskan kebaikan atau makruf, kebajikan dan kemakmuran bagi seluruh rakyat Malaysia’. Sekaligus bersama membanteras segala kebejatan rasuah, salah guna kuasa, pembolotan kekayaaan dan pembaziran sumber atau ‘resources’ negara.

Semua ini dapat kita lakukan bersama dalam negeri-negeri yang berjaya Pakatan tawan dan tadbir bersama dengan dasar yang kita sepakati.

Di samping itu, secara lebih khusus atau maslahah juz’iy yang dikecapi antaranya seperti berikut. Sementara pimpinan yang menduduki jawatan MB, EXCO, Ahli Parlimen dan ADUN, ahli biasa juga mendapat kebaikan di segi mendedahkan pengalaman menjadi Ahli Majlis kerajaan tempatan sementara yang berkelayakan memimpin kariah dikampung sebagai ketua kampung dan ahli jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung.

Usaha dakwah dan bimbingan agama dapat didayakan lagi dengan peranan selaku iman, nazir dan penceramah bebas di masjid, surau di seluruh negeri Pakatan Rakyat.

Telah mula runtuh segala tembok prajudis dan fobia terhadap Islam dan PAS. Kebaikan dan natijah ini adalah hasil positif yang diperkuatkan oleh tahaaluf siyasi. Sikap dan pendirian yang konsisten menjadikan keyakinan bertambah kepada PAS. Semua ini adalah kebaikan serta terus menyerlahkan erti dan penghayatan Islam sebagai “Rahmatan Lil ‘Alamin” sekaligus memperkukuhkan persepsi positif terhadap Islam dan PAS.

Harapnya kita tidak terlepas pandang perkara ini apabila kita bercakap tentang kebaikan atau ‘maslahah’ kerjasama ini.

Penulis perhatikan tatkala dibincangkan tentang kelemahan dan tahaaluf siyasi khasnya dengan PKR, kita berhujah sekitar isu ‘kerusi’. Penulis pendekkan perbahasan ini dengan menyatakan bahawa tentunya ada kemaslahatan yang cuba dibangkitkan oleh Ketua Dewan Ulama itu.

Namun kalau diteliti dengan cermat berdasarkan penyampaian pembentang, dakwaan tentang ‘pengurangan kerusi’ itu pun masih ada ruang pertikaian dan mensabitkan wujud kelemahan dan ‘mafsadah syariah’ atas perkara itu perlu kepada cara berhujah yang mesti bersifat ‘pengetahuan’ atau ‘data’ atau maklumat yang tepat.

Sebagai contoh, kerusi parlimen yang ditandingi PAS meningkat dari 66 pada PRU ke-12 ke 73 dalam ke-13. Ini sudah menjadi sepertiga daripada keseluruhan kerusi parlimen (222). Maka ia bertambah dan bukan berkurang.

Daripada tujuh kerusi yang PAS bertindih dengan PKR, PAS akhirnya hanya dapat tiga dan PKR empat. Hal banyak kerusi kalah atau tidak mencapai sasaran memerlukan wacana atau diskusi khusus bahkan sebuah post-mortem.

Saya mahu memetik kajian sebuah kumpulan analsis yang membuat kajian ke atas 32 kerusi majoriti Melayu di Selangor iaitu melebihi 51% pengundi Melayu - secara ‘pertandingan semula’ atau ‘rematch’ dengan perlawanan tiga penjuru dalam PRU ke-13. Sandaran dibuat kepada prestasi di Kota Damansara dan ujian perebutan peratus undian sokongan kaum Melayu/Cina/India secara ‘empirikal’ (metodologi tidak ditunjukkan di sini).

Dalam ‘best-case scenario’ sekalipun, sayugia diingatkan PAS akan kehilangan banyak kerusi dan begitu juga PKR. Yang menang besar ialah Umno.

Benar, mungkin ada yang akan mengingatkan saya, kemenangan bukan segala-galanya. Betul tetapi tentunya yang bertanya faham sebaliknya, segala-galanya menantikan kemenangan untuk memungkinkan kita melaksanakan sebahagian daripada cita-cita perjuangan.

Ini tentunya termasuk membenteras penyelewangan, rasuah, pembolotan kekayaan dan pembaziran negara. Semua ini merupakan tuntutan Allah SWT dalam rangka memakmur muka bumi ini serta mengangkat serta mengangkat ‘Karamah Insaniyyah’. Lanjutan daripada mengajak manusia mentaati Allah serta menjaga hak dan kebebasan agama lain untuk mengamalkan agama dan kepercayaan mereka.

Dalam menangani isu yang kontroversi serta membawa keberantakan kaum dan pertentangan agama, PAS teguh dengan pendirian berlandaskan al-Quran dan as-Sunnah Rasulullah termasuklah isu kalimah Allah. PAS terus konsisten dengan pendekatan ‘murunah’ (flexible) dengan tidak bermudah-mudah (tasaahul), tidak juga ekstrem (tasyaadud) dan juga tidak memberat-berat (takaaluf). Cantik sebenarnya pendirian Mursyidul Am dan Presiden PAS iaitu pendekatan ‘Ummatan Wasotan’ – sangat berimbang, bijak, sederhana sesuai dengan mengambil kudwah sifat al-fatonah bijaksana Rasulullah.

Semua ini dapat kita serIahkan dalam penghayatan muafakat politik Pakatan Rakyat. Ketika PAS menunjukkan semangat kesederhanaan Islam, begitu juga DAP yang dulu dilabel ekstremis Cina juga mengambil pendekatan yang sama dalam semangat setiakawan. Hari ini kerja buat Ketua Menteri disanjungi umat Islam di Pulau Pinang dengan peruntukan dana yang besar kepada MAIPP. Kini kita bersedia untuk memerintah kerajaan Persekutuan dengan pendekatan Pakatan Rakyat yang cocok dengan kehendak rakyat “Malaysia Baru” dalam ‘Politik Baru”.

Kalau ada yang menerjah saya dengan soalan seperti biasa iaitu PAS tidak dapat melaksanakan hudud dalam Pakatan, maka jawapan saya amat mudah dengan satu persoalan lain. Apakah PAS dapat melaksanakan semua itu ketika keluar Pakatan nanti? Inilah perangkap dan makar jahat lawan yang sentiasa mereka adudombakan.

Secara rumusan keseluruhan, adalah dikhuatiri ketika mana-mana pihak terutama pimpinan tertinggi melafazkan sesuatu yang boleh membawa kepada perubahan pendirian atau polisi yang disepakati dalam muktamar, maka wajar ia diteliti dengan lebih cermat. Berfikir secara menyeluruh adalah satu sifat kepimpinan yang dihajati Islam.

Ini adalah sesuai dengan tuntutan prinsip “MaAlat Al-Af’al” yang mentakrifkan bahawa…”Menghitung kepada risiko atau kesan dari perbuatan atau kata-kata (khasnya pimpinan) adalah satu asas hukum yang mesti diambil kira".

Pimpinan termasuk yang menulis ini, wajar mengambil peringatan sekaligus meletakkan 'allignment' mereka selari dan sejajar dengan dasar dan pendekatan parti.
Tahaaluf siyasi yang dipelopori PAS, sebagai satu mata-rantai penting gerakan Islam, sesungguhnya menantikan perancangan pengisian yang lebih mapan dan bukan kajian yang menimbulkan pelbagai kegusaran.- HD

adios

Disclaimer
"Semua artikel dalam blog ini disiar untuk tujuan pendedahan dan pengetahuan am untuk diperdebat dan dibincangkan. Ketepatan maklumat dalam blog ini perlu dibandingkan dengan sumber-sumber lain agar tidak terjadi anggapan penyebaran maklumat palsu atau fitnah. Bagi mereka yang mahukan sesuatu dalam blog ini didelete kerana akta harta intelek sila email gua di atimuda@gmail.com"

No comments:

Post a Comment