Friday, September 13, 2013

Sejarah Sang Saka Negara

Perjuangan menuntut kemerdekaan telah bermula sejak:

1511 – 1641 Perang menentang Portugis
1782 - 1784 Perang menentang Belanda
1786 – 1928 Perang kaum tani menentang British

Peringkat kedua perjuangan:
1941 - 1945 Perjuangan bersenjata revolusioner menentang Jepun
1946 - 1948 Perjuangan berperlembagaan menentang British
1948 - 1957 Perjuangan bersenjata revolusioner menentang British
1951- UMNO menukar semboyan 'Hidup Melayu' kepada 'Merdeka'
1957- Penjajah British terpaksa mengiktiraf kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu

Secara halus menerusi jarum British tahun 1946 UMNO ditubuhkan bagi membendung gelombang tuntutan kemerdekaan yang begitu lantang dengan slogan "MERDEKA", UMNO dengan slogan "HIDUP MELAYU".

Dengan slogan "Hidup Melayu" UMNO masih tidak mampu menyekat gelombang kebangkitan rakyat yang hendakkan kemerdekaan secara mutlak, British yang begitu tertekan terpaksan menggunakan undang2 darurat pada Jun 1948. Semua aktivis dan parti politik yang menuntut kemerdekaan telah ditangkap dan dipenjarakan kecuali UMNO!!!

Pada tahun 1947 Bendera Rakyat (gambar yang dilampirkan) telah dinaikkan di semua bandar dan pekan2 di Tanah Melayu termasuk Melaka, Johor Bahru, Kuantan, Sungai Siput, Alor Setar dan Singapura dengan mengadakan istiadat menaikkan bendera tersebut.

"Bendera Rakyat yang baru kita naikkan ini ialah sebagai cogan persatuan rakyat yang berjiwa maju progresif. Bendera ini telah sama² diukir dan diputuskan oleh dua badan gabungan yang besar di Malaya, iaitu Pusat Tenaga Rakyat dan Majlis Bergerak Serentak Se-Malaya. Bendera ini kita namakan Bendera Rakyat, kerana ia adalah satu gambaran atau satu tanda, tegasnya satu cogan merupakan persatuan rakyat seluruh Malaya. Persatuan yang kita yakini akan bertahan kuat perdiriannya tiap² hari." Ujar Taha Kalu, Setiausaha Agung Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA) semasa istiadat mengibarkan Bendera Rakyat di bangunan Malayan Democratic Union (MDU) di Singapura pada pagi 10 Dis 1947.

Bendera Rakyat membawa maksud seperti berikut:

12 biji bintang:

12 negeri yang bergabung di Malaya
9 Negeri Melayu (Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Pahang, Terengganu, Perlis, Kelantan, Kedah, Johor)
3 Negeri Selat (Pulau Pinang, Melaka, Singapura)

Warna kuning bintang:

Keadilan dan kedaulatan rakyat
Perlembagaan Rakyat diiktiraf Membayangkan semua negeri dalam keadaan aman dan makmur

Bintang berbucu lima:

Ketuhanan
Kedaulatan rakyat
Keadilan sosial
Kebajikan
Kebangsaan

Warna merah:

Keberanian dan kuasa kemahuan rakyat untuk menentang semua rintangan² supaya tercipta keadilan dan demokrasi di Malaya

Warna putih:

Perjuangan yang didasarkan kepada kejujuran dan kesucian untuk mencapai kebebasan yang teratur dan tidak berdasarkan kepada haloba dan tamak, tetapi hanya dengan membawa cita² yang satu iaitu pemerintahan sendiri yang berdasarkan kepada kedaulatan rakyat

Hari ini, kita telah dimerdekakan hasil dari darah dan keringat para pejuang terdahulu, kerana British telah sedar ketidak mampuan mereka membendung hasrat dan cita-cita anak watan untuk memerdekan tanah air, akhirnya British telah beralilh taktik dari kolonial kepada new kolonial, insyaAllah kita akan runtuhkan 'new kolonial' ini untuk melengkapkan kemerdekaan 100% negara ini. InsyaAllah.- Apek

(1) Laporan Zhanyou Bao Tentang Hari Malaya dan Bendera Rakyat

Pada 7 November 1947, Zhanyou Bao telah memuat berita melaporkan dua keputusan Jawatankuasa Kerja Bersama PUTERA –AMCJA yang ditetapkan dalam persidangannya pada 3 November 1947. Dua keputusan itu dipetik sebagai berikut:

Hari Malaya

Bagi persidangan Jawatankuasa Kerja Bersama, apa yang paling menimbulkan minat umum adalah perkara menetapkan Hari Malaya dan Bendera Rakyat. Persidangan mencapai keputusan menetapkan 10 Ogos setiap tahun sebagai Hari Malaya (Kerana 10 Ogos ini adalah hari di mana Rang Perlembagaan Baru diluluskan di Singapura, yang juga hari terakhir semua negeri Malaya meluluskan Rang Perlembagaan itu) , dan menetapkan akan mengadakan perhimpunan massa pada 10 Disember tahun ini (1947) dan melangsungkan upacara menaikkan bendera satu upacara agung yang tidak pernah ada sebelumnya. Dan pada tanggal 10 setiap bulan kemudian akan diadakan upacara menaikan bendera untuk menggalakkan rakyat seantero daerah berjuang terus-menerus untuk pewujudan perlembagaan itu.

Bendera Rakyat

Persidangan dengan sebulat suara meluluskan Bendera Rakyat Malaya. Nisbah bidangnya ialah 10 terhadap 7, tanah bahagian atas berwarna merah, bahagian bawah berwarna putih, dan 12 biji bintang kuning teratur 3 baris di sebelah sudut kiri. Persidangan telah membuat pertimbangan amat teliti atas bendera itu, akhirnya telah diluluskan dengan sebulat suara.

(2) Fakta tentang upacara menaikkan Bendera Rakyat — Sang Saka Merah Putih dalam laporan berita Zhanyou Bao (Akhbar Rakan Veteran Tentera Anti-Jepun)

Upacara Menaikkan Bendera Rakyat

10 Disember 1947,berita Zhanyou Bao (Akhbar Rakan Veteran Tentera Anti-Jepun)

Jarum jam pada Menara Jam Victoria Singapura menunjuk Pada 8.30 pagi (10 Dis.), Sang Saka Merah Putih — Bendera Rakyat Malaya dinaikkan oleh Yang Dipertua Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) Singapura, Encik Taha, bendera itu menaik perlahan-lahan ke atas bangunan Liga Demokrasi Malaya. Bendera Rakyat ini julung-julung kali berkibar-kibar di udara Singapura, warna merah dan putihnya kelihatan lebih cerah disinari cahaya suria pagi, bintang-bitang yang menyilaukan pada bendera merupakan simbol yang melambangkan demokrasi dan kebebasan Malaya baru akan datang.

Ratusan perwakilan pertubuhan-pertubuhan rakyat dan tokoh-tokoh kenamaan berdiri tegak di bawah bendera, kesemuanya menengadah serentak dan memakukan mata pada bendera.

Antara ahli-ahli Presidium, Incek Taha (PKMM), Ibel (LDM), Jiang Lee (Persatuan Wanita) dan Dasyenzula memberi ucapan masing-masing dalam bahasa Melayu, Inggeris, Cina dan Tamil. Setelah upacara itu selesai, para perwakilan segera berkejar balik ke tempat bangunan pertubuhan masing-masing dan terus menaikkan Bendera Rakyat — Sang Saka Merah Putih. Bendera yang dinaikkan itu berkibar-kibar di udara.

Ucapan Yang Dipertua PKMM Singapura

“Para sahabat

“Hari ini kesemua kita berhimpun di sini menyaksikan Bendera Rakyat Malaya berkibar-kibar di udara, tambahan lagi di semua bandar raya segenap Malaya mengadakan upacara yang sama menaikkan dan menjulang tinggi-tinggi simbol yang melambangkan perpaduan rakyat. Malah perpaduan rakyat makin hari semakin bertambah kukuh dan bertambah kuat. Di dalam perjuangan menentang kekuatan reaksioner, pergerakan demokrasi Malaya telah mencapai kemajuan amat besar. Jadi, kekuatan reaksioner pun melakukan percubaan hendak mengekalkan status quonya dan menghalang rakyat Malaya daripada maju berkembang ke jalan demokrasi. Tidak peduli betapa banyak pun kesukaran dalam pekerjaan kita, namun kita tetap yakin perjuangan demokrasi akan maju terus-menerus ke hadapan. Amat banyak pengalaman yang diperoleh dalam perjuangan beberapa tahun yang lalu telah memperkuat keteguhan dan keyakinan kita. Bendera Rakyat akan membuktikan kepercayaan kita yang tak kunjung padam dan teguh terhadap kekuatan, perpaduan dan keberanian rakyat.

Pergerakan demokrasi rakyat Malaya memerlukan suatu lambang agung dan kuat yang boleh mewakili bangsa yang baru membangun, Sang Saka Merah Putih direkabentuk adalah untuk memenuhi keperluan ini.

“........”

“Warna tanah Sang Saka Merah Putih ini mempunyai makna bersejarah bagi rakyat Malaya. Sebab musabab PUTERA-AMCJA memilih Merah Putih ini adalah kerana bentuk warna ini telah digunapakai oleh Kerajaan Majapahit (Catatan pengarang: sebenarnya Kerajaan Melaka) yang makmur di Semenanjung Malaya. Pada masa penjajahan Portugal dan penjajahan Belanda, Sang Saka Merah Putih merupakan lambang perlawanan rakyat negara ini. Oleh itu, Merah Putih yang bersinambungan dengan sejarah mulia masa silam Malaya ini adalah paling cocok dijadikan sebagai warna dasar Bendera Rakyat.

“Oleh sebab itu, pada tanggal 10 Ogos setiap tahun, sudah seharusnya kita mengingat semula kebebasan dan kebahagian Malaya dan mengadakan ikrar perjuangan. Pada 10 Ogos (1947), PUTERA-AMCJA telah membuat keputusan menggunakan Bendera Rakyat dan 10 Ogos sebagai “Hari Malaya” untuk menyatakan secara luas tuntutan rakyat bagi satu Malaya yang baharu dan yang lebih baik. Sejak sekian lama ini pergerakan demokrasi Malaya telah memerlukan satu lambang yang agung dan kuat yang boleh mewakili bangsa baru berkembang, maka Bendera Rakyat ini dihasilkan demi memenuhi keperluan itu. Kita dengan hangat mengharapkan agar lambang perpaduan ini akan merangsangkan setiap orang melancarkan perjuangan suci yang sudah berada di ambang dengan keazaman paling gigih.”

x x x x

(Bandar-bandar yang diadakan upacara itu pada pagi itu sebagai beriikut.)

Di Negeri Melaka, Pada pagi 10 Disember, Bendera Rakyat telah muncul di udara Melaka. Jam 9.45 pagi, perwakilan berbagai-bagai pertubuhan mengadakan upacara menaikkan bendera. Para hadirin selain dari Tan Cheng Lock dan Dr. Burhanudin, terdapat juga wakil-wakil dari pelbagai parti dan pertubuhan dalam gabungan PUTERA-AMCJA yang kesemuanya berjumlah 400 orang. Setelah Bendera Rakyat dinaikkan oleh wakil PKMM, ahli-ahli Presidium menyampaikan ucapan masing-masing, setelah acara ucapan selesai, perhimpunan berkejayaan penuh dan para hadirin bersurai.

Di kawasan Kuala Lumpur, waktu pagi, berbagai-bagai pertubuhan serentak menaikkan Bendera Rakyat. Jam 7.30 malam, persidangan perwakilan diadakan di dalam rumah Liga Pemuda Demokrasi Baru, bilangan hadirin kira-kira seratus wakil. Pengerusi persidangan (Setiausaha Jawatankuasa Kerja, Wahi Anuar memberi ucapan dan disusuli ucapan oleh wakil Persekutuan Kesatuan-Kesatuan Buruh SeMalaya, Abdullah C. D.. Kemudian Lee Youyui dan Rahman (seorang India) memberi ucapan. Tatkala itu Dr. Burhanudin sempat berkejar balik dari Melaka, dan Presiden MIC, Bahshing juga sempat hadir, kedua-duanya dijemput membuat ucapan dulu dan kemudian. Akhirnya persidangan meluluskan bantahan menerusi telegram pos membantah tindakan pengusiran kerajaan Australia ke atas 14 pelaut Melayu.

Para ahli API dan AWAS memungut derma dengan menjual bunga, puluhan Ringgit pendapatan jualan itu dijadikan sebagai dana mencetak semula Perlembagaan Rakyat dalam bahasa Melayu.

Di Kajang, pelbagai pertubuhan daerah Kajang juga mengadakan upacara menaikkan bendera di bangungan pejabat PKMM di Kajang, kira-kira seratus wakil dari pelbagai parti dan pertubuhan menghadiri upacara itu.

Dalam perlangsungan upacara itu, para ahli API dan AWAS mengadakan persembahan menyanyi dan menjual bunga memungut derma.
Dicatat oleh Mat Amin pada 9:54 PTG

Hishamuddin Rais kempen naikkan Sang Saka Negara


adios

Disclaimer
"Semua artikel dalam blog ini disiar untuk tujuan pendedahan dan pengetahuan am untuk diperdebat dan dibincangkan. Ketepatan maklumat dalam blog ini perlu dibandingkan dengan sumber-sumber lain agar tidak terjadi anggapan penyebaran maklumat palsu atau fitnah. Bagi mereka yang mahukan sesuatu dalam blog ini didelete kerana akta harta intelek sila email gua di atimuda@gmail.com"

No comments:

Post a Comment