Wednesday, September 18, 2013

Kubur PAS digali lagi - Jabat bersambut salam bersahut

kat dahi tu tanda apa ustaz?
Cadangan Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Harun Taib di Multaqa Ulama Se-Malaysia di Alor Setar, Kedah minggu lalu, supaya PAS mengkaji semula tahaluf siyasi atau hubungannya dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP harus diberikan perhatian serius oleh semua pimpinan PAS.

Walaupun PAS kini sudah pun diperalatkan, tetapi masih belum terlambat. Saya harap Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz NIk Mat jelas dalam soal ini.

Kerap kali saya mengingatkan PAS supaya berhati-hati dalam kerjasama dalam pakatan pembangkang. Nampaknya, ingatan saya mula menjadi kenyataan. Tidak ada guna berkawan dengan orang yang tidak suka pada Islam atau tidak beramal dengan Islam, apatah lagi menentang Islam, meskipun telah lama dipujuk. Tidakkah lebih baik kita berkawan dengan orang yang sudah sedia Islam dan bersedia untuk berbincang melaksanakan agenda Islam, iaitu Umno. Umno dahulu berbeza dengan Umno kini.
Mereka yang mahukan Islam semakin ramai, walaupun mungkin ada sedikit kalangan pimpinannya yang tidak mahu. Apatah lagi Umno hari ini berada dalam keadaan tersepit.

Tidakkah keadaan 'tersepit' itu boleh juga dimanipulasikan demi kepentingan Islam? Tidakkah tahaluf siyasi boleh dilaksanakan di sini daripada bersama penentang Islam.

Saya tidak nampak pakatan pembangkang boleh menjadi medan dakwah kepada Pas kerana PKR dan DAP tidak pernah berubah pendekatan terhadap Islam. PKR tidak mahukan Islam menjadi dasar, manakala DAP terang-terang menolak dan menentang Islam.......TMI

Lihatlah pada cara mereka membela kes di mahkamah, apabila berlaku pertentangan dengan Islam atau Islam lawan bukan Islam. Mereka langsung tidak menampakkan rasa hormat terhadap Islam. Sama juga isu rumah ibadat baru-baru ini. Tidak perlu saya sebut siapa dan di mana. Semua telah maklum.
Jika berhujah pasal hak, berapa banyak lagi rumah berhala diperlukan, sehingga bilangannya menenggelamkan surau dan masjid. Bilangan bukan sedikit, tetapi berkali-kali ganda. Statistiknya telah saya paparkan sebelum ini, sama ada yang sah atau tidak sah.

Ingin saya bertanya kepada PAS berapa ramai orang PKR dan DAP memeluk Islam setelah sekian lama berkawan? Atau sekurang-kurangnya berlembut dengan Islam? Boleh dikatakan tidak ada. Yang amat ketara, 'hak' mereka, walaupun bukan hak, pantang diusik sama sekali.

Paling tidak, hormatilah pendirian PAS mengenai Islam dan negara Islam. Ini tidak, pantang disebut sahaja nilai-nilai Islam dan negara Islam, maka DAP dan PKR tidak senang duduk, menunjukkan betapa antinya mereka terhadap Islam.

Kita mahu lihat betapa kuatnya pakatan pembangkang tanpa PAs. Jangan mimpilah untuk berkuasa jika Pas tidak berada dalam pakatan. Jangan mimpi juga untuk mengugut atau menggertak umat Islam.
Sejak sekian lama, sebahagian ulama dalam PAS mengkritik sesetengah pucuk pimpinan PAS kerana rapat dengan pimpinan pakatan pembangkang dengan pelbagai gelaran diberikan.

Gelaran demi gelaran diberikan oleh mereka yang telah keluar daripada PAS. Anwarinas, golongan parasit dan virus dalam PAS adalah gelaran yang popular.

Datuk Hasan Ali ketika dipecat daripada PAS, menggelar orang PAS yang rapat dengan pimpinan PKR sebagai parasit-parasit PAS.

Nasharudin Mat Isa sebelum disingkirkan daripada Majlis Syura ulama berulang kali mengingatkan PAS mengkaji balik kedudukannya dalam pakatan pembangkang. Beliau secara lantang menganjurkan PAS keluar daripada pakatan pembangkang kerana PKR dan DAP telah belot dalam tahalus siyasi.
Apabila idea ini dicadangkan, orang yang paling kuat menentang adalah Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad yang menyifatkan idea-idea sebegini adalah daripada musuh PAS sendiri yakni Umno. Sejak dahulu lagi beliau berpendirian sedemikian.

Menurut Sayuti Omar, penyokong kuat pakatan pembangkang tahalus siyasi itu bukan bersifat macam ayam mengawan (sekejap) tetapi bersifat angin berjimak (lama). Jika PAS beralih angin kepada bekerjasama dengan Umno, apakah Umno akan bersikap jujur dan ikhlas dengan PAS?

Dan sejauh manakah PAS dapat meyakinkan Umno memperjuangkan Islam dan Melayu, sedangkan dasar-dasarnya yang jelas bertentangan dengan kehendak dasar perlembagaan PAS.

Pada beliau, paling kurang, PAS perlu mengambil iktibar daripada politik Turki. Di Turki, parti Islam berpecah kepada dua kumpulan apabila kumpulan pimpinan Recip Tayyip Erdogan membentuk AKP dan meninggalkan penyokong Necmetin Erbakan dalam Saadet. AKP terbukti berjaya dan menjadi parti yang memerintah Turki sejak tiga penggal lalu dan Erdogan kini adalah Perdana Menteri Turki yang berpengaruh.

Dalam PAS, kumpulan yang dinamakan sebagai Erdogan mahu bersama pakatan pembangkang, manakala kumpulan penyokong Harun Taib ini mahu mengkajinya.
Pada saya, andaian ayam mengawan dan angin berjimak tidak boleh dipakai jika kawan-kawan itu jenis yang menentang Islam.

Malaysia tidak boleh disamakan dengan Turki dan sebagainya. Malaysia adalah Malaysia. Negara lain kebanyakan masyarakatnya adalah sebangsa (homogeous society). Pi mai pi mai tang tu juga. Negara mereka tetap terlepas kepada bangsa mereka.

Apakah kita tidak belajar daripada keadaan di Fiji. Apakah orang Fiji memerintah Fiji atau diperintah hari ini? Orang Fiji mengemis di bumi sendiri. Saya tidak perlu bercerita lanjut. Buatlah kajian atau sekurang-kurangnya bacalah politik Fiji. Seksanya orang Fiji apabila diperintah orang lain.

Kita adalah masyarakat berbilang bangsa. Lebih malangnya pecahan Islam dengan bukan Islam, tidak besar. Konsep majoriti-minoriti seolah-olah tidak wujud sebab penduduknya hampir seimbang.
Jika terlepas, sukar untuk dikembalikan. Justeru, sebelum terlepas, perlu berhati-hati. Sebelum nasi menjadi bubur. Menangis air mata darah sekalipun tidak ada gunanya jika tanah air yang berasaskan kepada payung anak watan (indigenous canopy) terlepas kepada orang lain.

Sebab itu dalam memahami politik Malaysia, ia bukan sekadar mengawan ayam atau berjimak angin. Tetapi lebih daripada itu. Masa depan dan survival umat Islam.

Selama-lamanya saya tidak akan percaya kepada PKR dan DAP jika mereka tidak lembut dan menerima Islam selaku agama persekutuan di negara ini. Selamanya mereka menentang, selama itu juga saya tidak akan berlembut dengan mereka.

Rayuan saya kepada PAS. Buanglah rasa buruk sangka terhadap Umno. Begitu juga Umno terhadap PAS. Mulakan langkah pertama. Perbincangan kerajaan perpaduan.

Jika kuasa yang menjadi matlamat, berapakah bilangan kerusi Kabinet yang boleh diberikan oleh Umno kepada PAS. Jika tidak bersetuju, berbincang lagi. Belum pun muktamad. Pokoknya kita mahukan segala keputusan menguntungkan Islam. Biar DAP kecut perut.

Lihatlah bagaimana bersatunya orang lain. Kerajaan begitu tegas dalam melaksanakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM), yang berkaitan rapat dengan penambahan masa pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu (BM) kepada 240 minit di SJKC.

Sebaik-baik sahaja idea ini dilontarkan, NGO-NGO Cina dan parti politik Cina begitu kuat menentang. Kita ingatkan MCA akan menasihatkan ultra kiasu ini dan bersama kerajaan. Rupa-rupanya tidak. MCA serupa dan senada dengan mereka. Bila tiba bab mempertahankan bangsa, semua bersatu.

Tidak cukup dengan itu, mereka begitu lantang mengkritik agenda Bumiputera yang dilancarkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini. Alasan mereka, GLC itu wujud hasil cukai-cukai yang dibayar oleh rakyat Malaysia berbilang kaum. Kenapa perlu ada agenda Bumiputera?

Setelah lebih 56 tahun merdeka, parti komponen BN sendiri dan pakatan pembangkang, begitu jahil tentang Perlembagaan. Bagaimana ia boleh diharap untuk memerintah negara.

Kita pula bagaimana? Kita bukan hanya bercakap soal bangsa, tetapi soal agama iaitu agama Allah SWT, Islam sebagai cara hidup. Kita perlu mengambil iktibar sebelum terlambat.

Memang mudah untuk berkata atau terpengaruh dengan kata-kata, sesiapa pun memerintah, kedudukan Islam, Melayu dan Raja pasti akan selamat.

Apakah keyakinan itu boleh kita harapkan kepada pakatan pembangkang, terutama DAP? Mereka bila-bila masa boleh bekerjasama dengan musuh-musuh Islam untuk memusnahkan kita.

PAS tidak perlu masuk ke dalam Umno untuk saling bekerjasama. Begitu juga dengan Umno. Mereka boleh kekal dengan parti masing-masing. Apa yang penting perlu ada kerjasama dalam isu-isu berkaitan agama, bangsa dan negara. – utusan.com.my, 18 September, 2013.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
adios

Disclaimer
"Semua artikel dalam blog ini disiar untuk tujuan pendedahan dan pengetahuan am untuk diperdebat dan dibincangkan. Ketepatan maklumat dalam blog ini perlu dibandingkan dengan sumber-sumber lain agar tidak terjadi anggapan penyebaran maklumat palsu atau fitnah. Bagi mereka yang mahukan sesuatu dalam blog ini didelete kerana akta harta intelek sila email gua di atimuda@gmail.com"

No comments:

Post a Comment