Wednesday, August 28, 2013

Mengenali Asy Syahid Syed Qutb


Asy Syahid Syed Qutb, lahir pada 9 Oktober 1906. Mendapat pendidikan pertama di rumah orang tuanya, yang kuat beragama. Pada usia 6 tahun, Asy Syahid Syed Qutb di hantar ke sekolah rendah di kampungnya, Assiyut. Pada usia 7 tahun ia mulai menghafal Al-Qur'an, dan akhirnya berjaya menghafal seluruh Al-Qur`an. Diperakui sebagai intelektual Mesir, pendidik, aktivis Islam, penyair, penulis revolusioner dan ahli gerakan Ikhwanul Muslimin setelah wafatnya Hasan Al-Banna. Salah satu arkitek utama dalam kebangkitan Islam terkini, bersama Abul A'la Maududi pendiri Jamaat Islami Pakistan.

Asy Syahid Syed Qutb sebenarnya adalah sumber inspirasi, pencetus buah fikiran, motivasi bagi jutaan pendokong Islam seluruh dunia bagi kembali menghayati sebenar-benarnya ajaran Islam dalam kehidupan, merubah teras politik dan sosial, mencerminkan prinsip-prinsip Islam hakiki. Beliau adalah tokoh sebenar yang bulat berjuang untuk agama, menyerahkan seluruh hidupnya untuk Allah, seorang Mukmin yang begitu kuat keyakinannya, sehingga berupaya mempersembahkan nyawanya kepada keyakinan dan akidah yang diyakininya.

Karya tulisannya masih di hirup segar hingga kini, sedia diterjemahkan ke dalam berbagai bahasa di dunia. Antara tulisannya yang terkenal awalnya berjudul 'Keadilan Sosial Dalam Islam', 'Masyahidul Qiamah Fil Qur'an', 'Al-Adalah Al-Ijtima'iyyah Fil Islam',. Beberapa karya Asy Syahid Syed Qutb lainnya adalah: 'Haaza ad Din', 'Al-Mustaqbal Li Hadza Ad-diin', 'Khashaish Tashawwur Al-Islami', 'Ma'alim Fi Thariq', dan tafsir 'Fii Zilalil-Qur`a'n'.

Asy Syahid Syed Qutb menghabiskan bertahun tahun usia terakhirnya dalam penjara. Mencurahkan seluruh jiwa dan fikirannya yang luar biasa dalam tulisan- tulisannya dengan ungkapan kata indah, penuh makna dengan nilai sastra yang tinggi. Semua yang membacanya, dapat merasakan semangat hebat , lantunan fikiran serta getar rohaninya yang segar bertenga, tercantum hebat dalam karya-karya tulisannya. Semuanya berputar dan berhubungkait dengan konsep al-Tauhid Uluhiyyah, yakni hak Allah dari sudut Al-Hakimiyyah dan Al-Tasyri' (pembuatan peraturan). Kerananya,( ikrar 'Lailaha ilalLah') adalah pernyataan revolusi terhadap seluruh kedaulatan yang berkuasa di atas muka bumiNya. Seluruhnya itu mesti dikembalikan kepada hakNya.

Pada 13 Januari 1954, Revolusi Mesir mengharamkan Al-Ikhwan Muslimun dan pimpinannya ditangkap, difitnah merancang rampasan kuasa. Tanpa bukti yang jelas, 7 orang pimpinan tertinggi Al-Ikhwan dijatuhi hukuman mati, termasuk Hasan Hudhaibi, Abdul Qadir Audah dan Syeikh Muhammad Farghali, ketua sukarelawan Mujahidin Ikhwan Muslimin di dalam Perang Suez 1948. Tetapi hukuman terhadap Hasan Hudhaibi diubah menjadi penjara seumur hidup dan Asy Syahid Syed Qutb dihukum penjara 15 tahun dengan kerja berat.

Pada tahun 1964, Asy Syahid Syed Qutb telah dibebaskan atas permintaan peribadi Abdul Salam Arif, Presiden Iraq. Tetapi Pemerintahan Revolusi Mesir belum menerima pembebasan tersebut. Setelah Presiden Abdul Salam Arif meninggal dalam satu musibah pesawat udara, Asy Syahid Syed Qutb ditangkap semula pada tahun berikutnya. Alasannya adalah kerana Asy Syahid Syed Qutb dituduh kembali merancang rampasan kuasa. Selain itu, Mahkamah Revolusi merujuk pada buku-buku Asy Syahid Syed Qutb terutama Maalim Fit Thariq, yang mendasari pernyataan seruan revolusi terhadap seluruh kedaulatan yang tidak berdasarkan Syari'at Allah.

Asy Syahid Syed Qutb ditahan bersama seluruh anggota keluarganya. Sebelum hukuman gantung dilaksanakan, Presiden Naser menghantar utusan menemui Asy Syahid Syed Qutb. Melalui utusan itu Presiden Naser meminta agar Asy Syahid Syed Qutb menulis pernyataan meminta ampun agar beliau dibebaskan. Tetapi Asy Syahid Syed Qutb dengan tegas menjawab;
" Telunjuk yang bersyahadah setiap kali dalam solat menegaskan bahawa Tiada ILah yang disembah dengan sesungguhnya melainkan Allah dan Muhamad adalah Rasulullah, dan aku takkan menulis satu perkataan yang hina. Jika aku dipenjara kerana kebenaran aku redha. Jika aku dipenjara secara batil, aku tidak akan menuntut rahmat daripada kebatilan. "

Beliau juga mengatakan; " Ketahuilah, kami mati dan mengorbankan diri demi membela dan meninggikan kalimat La Illaha illa Allah, sementara engkau mencari makan dengan La Ilaha illa Allah!," ketika agamawan suruhan pemerintah Mesir meminta beliau mengingati Allah s.w.t sementara menunggu untuk dihukum gantung.

Pagi hari Isnin, 29 Ogos 1966, Asy Syahid Syed Qutb digantung bersama-sama sahabat seperjuangannya, Muhamad Yusuf Hawwash dan Abdul Fatah Ismail.

Sungguh dunia Islam telah kehilangan sebuah permata, pejuang yang telah mempertaruhkan nyawanya untuk membela tauhid. Menjual harta dan dirinya kerana Allah, jual beli yang pasti untung, sebagaimana janjiNYA.

Firman Allah swt bermaksud;
" Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah kamu Aku tunjukkan satu jenis perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu daripada azab yang pedih. Kamu beriman kepada Allah SWT dan berjihad pada jalan-Nya dengan harta benda dan diri kamu, yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu mengetahui."
(Surah As-Shaf ayat 10)

Untuk kita Asy Syahid Syed Qutb memesan;

SAUDARA!
SEANDAINYA KAU TANGISI KEMATIANKU,
DAN KAU SIRAM PUSARAKU DENGAN AIRMATAMU
MAKA DI ATAS TULANG-TULANGKU
YANG HANCUR LULUH,
NYALAKANLAH OBOR BUAT UMMAT INI DAN........
TERUSKAN PERJALANAN KE GERBANG JAYA

SAUDARA!
KEMATIANKU ADALAH SUATU PERJALANAN
MENDAPATKAN KEKASIH YANG SEDANG MERINDU
TAMAN-TAMAN DI SYURGA
TUHANKU BANGGA MENERIMAKU
BURUNG-BURUNGNYA BERKICAU RIANG MENYAMBUTKU
BAHAGIALAH HIDUPKU DI ALAM ABADI

SAUDARA!
PUAKA KEGELAPAN PASTI AKAN HANCUR
DAN ALAM INI AKAN DISINARI FAJAR LAGI
BIARLAH ROHKU TERBANG MENDAPATKAN RINDUNYA
JANGANLAH GENTAR BERKELANA DI ALAM ABADI
NUN DI SANA FAJAR SEDANG MEMANCAR........
kredit - Ahmady Tiryaqi



adios
Disclaimer
"Semua artikel dalam blog ini disiar untuk tujuan pendedahan dan pengetahuan am untuk diperdebat dan dibincangkan. Ketepatan maklumat dalam blog ini perlu dibandingkan dengan sumber-sumber lain agar tidak terjadi anggapan penyebaran maklumat palsu atau fitnah. Bagi mereka yang mahukan sesuatu dalam blog ini didelete kerana akta harta intelek sila email gua di atimuda@gmail.com"

No comments:

Post a Comment