Monday, August 26, 2013

Khalid Samad jawab semua tuduhan terhadapnya

Respon saya terhadap tuduhan mereka akan saya kemukakan dalam 4 bahagian:

BAHAGIAN PERTAMA: FITNAH YANG DILEMPARKAN TERHADAP SAYA

Oleh kerana ketegasan saya mempertahankan kerjasama dalam PR maka saya sering dijadikan sasaran. Ini sesuatu yang pelik memandangkan kerjasama PR adalah keputusan muktamar sendiri!

Kali pertama saya dilanda fitnah adalah selepas PRU 2008 apabila usaha untuk gagalkan PR melalui kaedah mencetuskan perbalahan dengan DAP khususnya telah saya dan beberapa sahabat lain gagalkan. Akhirnya kami digelar ‘Kumpulan Erdogan’, ‘Anwarinas’, ‘Parasit’ dan lain lagi oleh golongan yang ingin gagalkan PR dan berdamping dengan UMNO.

Kali ini, hasil dari pertembungan di Kota Damansara, yang tidak diketahui atau dirujuk kepada pihak Negeri Selangor, maka saya dituduh ‘lebih PKR dari PAS’, ‘telah menjatuhkan Almarhum Hassan Shukri’, ‘mahu jatuhkan Presiden’, ‘mahu jatuhkan ulama’, ‘tidak wala’ dan thiqah’ dan sebagainya! Ditambah pula dengan tuduhan yang dilemparkan terhadap saya dalam kes pertama yang diulang tayang oleh kumpulan baru pula. Adakah mereka ‘pewaris Hassan Ali’?

Sedangkan keputusan bertanding di Kota Damansara, bagi saya, merupakan tindakan mungkir janji yang tidak wajar dilakukan oleh sebuah parti Islam. Janji telah dibuat oleh PAS Negeri dan PAS Pusat sepertimana dijelaskan oleh Mustapha Ali sendiri selaku wakil PAS dalam perundingan kerusi di peringkat Pusat.

Pandangan saya untuk mengingatkan pimpinan akan janji kita bersama serta kerugian yang terhasil dilihat sebagai tindakan ingin ‘menjatuhkan Presiden’ walaupun tiada sebarang kecaman terhadap Presiden telah saya lakukan dalam tulisan saya. Dan kemenangan calon UMNO di KD dipandang sebagai ‘tidak mengapa’.

Seterusnya dilebarkan lagi fitnah terhadap saya dengan menuduh saya ingin jatuhkan kepimpinan ulama’. Ekoran dari itu maka telah disebarkan beberapa ‘poster’ melalui FB khususnya, yang mengandungi tuduhan dan fitnah yang perlu saya jawab secara ringkas.

Mereka yang membuat ‘poster’ ini tahu ianya tidak benar dan adalah fitnah. Bagi mereka balasan atas kerja-tangan mereka. Yang memanjangkannya pula mungkin tidak tahu ianya fitnah dan penjelasan ini adalah untuk mereka ini, supaya mereka tidak menempah dosa tanpa disedari.

Poster fitnah yang disebar-luas melalui FB tertentu.

a) “Saya akan masuk PKR jika MB Selangor bukan dari PKR”.
Ini kononnya yang saya kata untuk mengugut pimpinan PAS, khususnya Presiden, supaya TSKI kekal sebagai MB Selangor selepas PRU ke-13. Sedangkan Presiden sendiri telah mengarahkan sedemikian melalui panggilan telefon kepada PJ PAS Selangor, Dr. Abdul Rani, sehari selepas keputusan PRU diketahui. Surat yang ditandatangani DS Presiden berhubung perkara yang sama menyusul selepas itu.

Saya sendiri bersetuju supaya TSKI kekal sebagai MB tetapi bukan kerana dia dari PKR tetapi kerana kepimpinannya telah menyumbang kepada kemenangan PR di Selangor. Agak peliklah pula kalau MB bukan dari PKR maka saya akan masuk PKR. Kalau MB dari PAS lagi baiklah saya kekal dalam PAS! Aduhaai...Mengarut!

b) “Tuan Guru Presiden Merupakan Punca Pertembungan Antara Golongan Ulama’ Dan Golongan Anti Ulama’.”
Ini kononnya disebut oleh saya dalam wacana ‘Kemenangan Yang Ditangguh’ di Melaka pada 6Julai 2013. Sesiapa yang menonton video program berkenaan akan mengetahui bahawa saya tidak mendakwa sedemikian dan tuduhan ini merupakan fitnah yang jelas dan nyata. Malahan istilah ‘anti-ulama’ pun tidak saya sebut kerana dalam PAS tidak mungkin ada yang ‘anti-ulama’ setelah menerima konsep kepimpinan ulama’! Mengarut lagi...

Sebenarnya fitnah asal menggunakan ungkapan ‘...antara golongan ulama’ dan profesional’ tetapi diubah-suai kepada ‘...antara ulama’ dan anti ualama’...’ mungkin atas sebab lebih dramatik. Dasar penipu memang begitu: ubah ikut suka.

Apa yang saya sebut ialah bahawa selepas 2008 golongan Hassan Ali telah berusaha untuk menggambarkan bahawa adanya pertembungan di antara ulama’ dan profesional dan usaha ini dipertingkatkan sehingga menjadi meruncing apabila ide ‘Unity Government’ dicampakkan oleh Tuan Guru Presiden secara mendadak. Apabila ramai dari golongan profesional menolak ide ini maka penyokong Hassan Ali mengambil kesempatan untuk mendakwa adanya pertembungan profesional dan ulama’. Sebenarnya, dalam video program berkenaan saya telah menyebut secara jelas bahawa pertembungan berkenaan tidak wujud.

Sebenarnya bagi saya, agenda ‘pertembungan ulama’ dan profesional’ adalah rekaan UMNO dan media BN untuk menimbulkan pergeseran dalaman PAS. Mereka yang memanjangkan isu ini hanya memanjangkan agenda UMNO dalam PAS samada sedar atau tidak.

Untuk pengetahuan semua, saya tidak pernah persalahkan Tuan Guru Presiden dalam soal mencampakkan ide ‘Unity Government’. Bagi saya ianya satu tindakan untuk mencetuskan perbahasan berhubung satu pilihan yang mungkin tidak difikirkan oleh yang lain sebelum itu. Ianya dicampakkan untuk dibahas dan apabila ianya ditolak maka Tuan Guru Presiden pun menerimanya dengan baik dan menerima juga hakikat bahawa ianya satu pilihan yang sukar diterima pada masa itu.

Tulisan saya dalam blog pada ketika itu juga tidak menyerang Tuan Guru Presiden tetapi menjelaskan, dari hemat saya, mengapa ianya dicadangkan dan sebab mengapa ianya ditolak.

c) “Ahli PAS Tidak Wajib Wala’ Kepada Keputusan Majlis Syura, Mereka Bukan Dapat Wahyu Pun.”
Ini juga kononnya apa yang saya ucapkan dalam program wacana di Melaka yang sama. Sekali lagi sesiapa yang mendengar video program berkenaan akan mengetahui bahawa saya tidak sebut kata-kata sedemikian rupa! Semakin mengarut!

Yang saya sebut ialah adanya perbezaan di antara pandangan dan wahyu. Dalam soal wahyu kita tidak boleh bahas dan kita perlu sami’na wa ata’na. Dalam soal pandangan kita boleh berbincang dan berbahas. Saya berikan contoh kisah Hubarb dan Rasulullah (SAW) di Badr.

Tidak pernah saya sebut bahawa apabila sesuatu keputusan telah dibuat melalui proses Syura, termasuk keputusan Majlis Syura, maka tidak wajib untuk kita patuh.

d) “Wala’ Dan Thiqah Konsep Yang Bercanggah Dengan Islam Dan Macam Teokrasi, Semua Dari Paderi Dari Tuhan, Kamu Bantah Kamu Sesat.”
Ini juga kononnya apa yang saya ucapkan dalam program wacana di Melaka yang sama. Sekali lagi sesiapa yang mendengar video program berkenaan akan mengetahui bahawa saya tidak sebut kata-kata sedemikian rupa. Apa yang saya nyatakan ialah jangan jadikan wala’ dan thiqah itu seperti amalan teokrasi dalam erti-kata memberikan kepatuhan membuta-tuli tanpa mengenali mana pandangan dan mana wahyu, atau mana yang boleh ditegur dan dibincang dan mana yang tidak boleh.

Berhubung isu wala’ dan thiqah ini, amat jelas bahawa apabila sesuatu keputusan telah dibuat oleh jemaah melalui syura, semua kena patuh. Itu adalah disiplin berjemaah dan hukumnya ‘wajib jamaii’. Kalau tidak sudah pasti akan berlaku kecelaruan. Namun, keputusan yang dibuat melalui proses syura sekalipun boleh dikaji kembali selepas perlaksanaannya dari sudut keberkesanannya dan ketepatannya. Ini dinamakan sebagai ‘post-mortem’ dan ianya merupakan kebiasaan dalam PAS selama ini.

Dalam soal Kota Damansara, bagi yang mengikuti apa yang berlaku, mereka akan sedar bahawa PAS Selangor dan saya tidak mengeluarkan sebarang pendirian sehingga Dato’ Mustapha Ali (SUA) sendiri turun ke KD dan mengisytiharkan calon PKR sebagai calon PR. Selepas itu dan hanya selepas itu barulah PAS Selangor membuat PC menyokong kenyataan SUA kerana itulah apa yang telah dipersetujui di peringkat Negeri dan Pusat. Seterusnya semua telah diam dan isu ini saya timbulkan kembali selepas PRU selesai sebagai sebahagian dari post-mortem saya. Kalau setuju maka setuju, kalau tidak, tidak menjadi masalah. Itu hanya pandangan. Maka tidak perlu menabur fitnah. Fitnah merupakan jalan mudah menempah neraka.

Yang pelik ialah apabila ada golongan mempertikaikan kebijaksanaan kerjasama PR secara keseluruhannya, ianya diterima sebagai teguran yang membina dan tidak pula menyalahi konsep wala’ dan thiqah! Tetapi bagi yang mempertahankan kerjasama PR ianya dianggap tidak wala’? Persoalan kepelikan ini akan saya kupas dengan lebih terperinci dalam bahagian ke-tiga insyaAllah.

Bersambung...

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Siapa yang mengeluarkan kenyataan fitnah tersbut? Semoga keluar dari PAS segera!!!

adios

Disclaimer
"Semua artikel dalam blog ini disiar untuk tujuan pendedahan dan pengetahuan am untuk diperdebat dan dibincangkan. Ketepatan maklumat dalam blog ini perlu dibandingkan dengan sumber-sumber lain agar tidak terjadi anggapan penyebaran maklumat palsu atau fitnah. Bagi mereka yang mahukan sesuatu dalam blog ini didelete kerana akta harta intelek sila email gua di atimuda@gmail.com"

3 comments:

  1. http://kahwindithailandnarathiwat.blogspot.com/

    ReplyDelete
  2. Eloklah Tuan Presiden PAS letak jawatan jika perangai syaitan menantu sendiri pun tidak dapat dikawal.

    ReplyDelete
  3. _Pertama dendam kesumat yang telah dipecat dari PASmaseh ada. kedua perangai ahli PAS mengejar pangkat dan jawatan sebiji macam UMNO sampai bila tak aman. Bagus Khalid Samad dedahkan mereka yang membuat duri dalam daging supaya kami diperingkat bawah ini tahu siapa kaca dan siapa permata

    ReplyDelete