Thursday, July 18, 2013

Rumah ganti tidak siap, pelarian perang Lahad Datu hidup dengan RM15 sehari



Bagi rakyat Malaysia, bukan suatu yang menyenangkan untuk menetap di satu-satunya kem pelarian perang.

Bernard Muddin tinggal beratapkan kayu untuk berteduh dari kepanasan matahari Kampung Tanjung Batu di Sabah – tempat yang semakin dilupakan.

Kampung itu antara kawasan pertempuran beberapa bulan lalu, sesuatu yang tidak pernah dilihat oleh rakyat Malaysia selama beberapa dekad.

Ia menjadi perhatian dunia apabila penceroboh bersenjata dari Filipina menceroboh kawasan Lahad Datu pada Fabuari untuk membuat tuntutan bagi 'sultan' mereka.

Pasukan keselamatan Malaysia menyerang dalam perang terbuka. Pada Mac, 65 orang terbunuh, antaranya enam orang awam di kampung berkenaan.

Sekarang tiada lagi tindakan ketenteraan, tiada lagi laporan media, tiada lagi badan bebas atau sukarelawan, tiada badan bukan kerajaan, tiada personaliti berprofil tinggi yang cuba mencari peluang untuk bergambar.

Muddin hanya duduk dan menunggu rumah baru yang dijanjikan siap bulan lalu. Untuk nasi dan makanan kering yang dihantar dua kali sebulan, untuk RM15 sehari yang keluarganya terima dari Jabatan Pertahanan Awam.

“Kami terpaksa mengemas barang dan dipindah oleh pasukan keselamatan ke pusat pemindahan di Dewan Cenderawasih,” kata Muddin kepada The Malaysian Insider merujuk kepada tempat pertama mereka dihantar sebelum tiba di kampung itu.

“Selepas pengganas Sulu dihalau keluar oleh pasukan keselamatan Malaysia, kami fikir boleh pulang ke rumah.

“Sebaliknya, kami dapati yang tinggal di Kampung Tanduo hanyalah sekam dan runtuhan rumah kami,” katanya.

Isterinya, Siti Rokiah Julpitli duduk di sebelahnya. Mereka ada lima anak akan tetapi tiga orang lemas di laut. Dua anak perempuannya yang berumur 19 dan 22 turut menetap di pusat pemindahan itu.

Apakah selamat untuk Muddin dan keluarganya bersama 300 orang yang menetap di pusat pemindahan ini?

Mereka tidak pasti. Ada khabar angin tentang pemberontak Sulu merancang serangan balas dendam tidak lama lagi. Mereka menyorokkan senjata di kampung itu menunggu masa untuk bertindak.

Akan tetapi, Muddin dan keluarganya sudah menetap selama dua bulan dan mereka hanya mahukan hanyalah rumah tetap seperti dijanjikan.

Kontraktor sepatutnya sudah menyiapkan rumah baru mereka, bulan lalu.

Sebaliknya, tidak sampai separuh daripada 26 rumah yang dijanjikan untuk Kampung Tanjung Batu disiapkan. Di kampung lain, kontraktor masih lagi belum mula membina 47 rumah yang juga dijanjikan.

Rumah baru dijanjikan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) ketika melawat Kampung Tanduo akhir Mac lalu bagi meninjau kemusnahan dan membuat keputusan terhadap pampasan kepada keluarga terjejas.

MKN membuat keputusan, setiap keluarga yang kehilangan rumah akan diberi rumah baru bernilai RM 50,000. Kontraktor juga dilantik majlis itu.

MKN dan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) melawat dua kampung itu bulan lalu untuk melihat perkembangan pembinaan rumah baru.

Ada 17 rumah yang rosak teruk atau musnah di Kampung Tanduo, 26 di Tanjung Batu dan 52 di Tanjung Labian. Akan tetapi tidak sebuahpun rumah ganti yang sudah siap.

“Kami diberitahu oleh ketua Kampung Tanjung Batu Mahmud Mallang, rumah kami akan siap pada Jun. Akan tetapi, tiada berita sehingga sekarang,” kata Muddin.

Dalam kumpulan 300 orang termasuk kanak-kanak di dua pusat pemindahan di Kampung Tanjung Batu dan Kampung Tanjung Labian, kebanyakan lelaki keluar mencari kerja seperti membantu nelayan atau petani untuk mendapatkan makanan atau wang.

“Kami ada kehidupan lebih baik dan saya memiliki kebun kecil di Kampung Tanduo dan boleh juga memancing. Sekarang, semuanya hilang,” kata Siti Rokiah. – 14 Julai, 2013.

adios

No comments:

Post a Comment