Saturday, January 4, 2014

video zikir tari - harus bukan haram tapi menjengkelkan.

PENERANGAN OLEH DATO' DR HARON DIN MENGENAI ZIKIR MENARI..

SETIAP soalan memang ada jawapan. Jawapan itu bergantung kepadaa pengetahuan yang ada pada penjawabnya.

Kadang-kadang ada yang mengikut ‘rasa’, seperti soalan anda di atas, penjawab itu berkata rasanya tidak boleh. Mungkin juga ada orang lain yang akan menjawab rasanya boleh.

Jawapan bagi persoalan agama bukan boleh dimain dengan ‘rasa’. Ia memerlukan sandaran hukum yang perlu dirujuk kepada sumber yang sahih.

Berkenaan dengan zikrullah, Allah SWT berfirman (mafhumnya): “Iaitu orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): ‘Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.’” (Surah ‘Ali-’Imran ayat 191).

Ayat ini memberi isyarat bahawa zikrullah boleh dilakukan dalam pelbagai keadaan dan gaya.

Ummul Mukminin Aisyah r.ha. pernah melaporkan bahawa Rasulullah SAW berzikrullah (berzikir kepada Allah) dalam semua keadaan. Sedang berjalan, menaiki kenderaan, di atas kenderaan, berbaring, duduk dan bermacam lagi pernah dilaksanakan oleh Rasulullah SAW.

Dalam satu riwayat pernah diceritakan bahawa Jaafar bin Abi Talib r.a (sepupu Rasulullah), pernah menari-nari melenggok lentuk di hadapan Rasullullah SAW sebaik sahaja beliau mendengar Rasulullah SAW menyebut kepada beliau, “Allah menjadikan rupa parasmu seiras dengan Allah menciptakan daku.”

Mendengar kata-kata yang seindah dan semurni itu, terus dita’birkan dengan menari-nari di hadapan Rasullullah SAW. Tingkah laku beliau itu atau ‘body language’ beliau tidak ditegah atau ditegur oleh Rasulullah SAW.

Di sinilah dikatakan atau dijadikan asal usul sandaran bahawa menari-nari sambil berzikir kepada Allah yang dilakukan oleh ahli tarikat atau golongan sufiyah, ada sandarannya.

Sahlah berlaku tarian di majlis zikir yang dihadiri oleh ulama besar yang muktabar. Antara mereka ialah al-Imam Izzuddin Abdus Salam dan tidak diengkarinya.

Ditanya Shaikhul Islam Sirajuddin al-Balqini tentang persoalan tari-menari dalam majlis zikir, lalu dijawab beliau dengan mengiyakannya, yakni boleh dilakukan.

Ditanya al-A’llamah Burhanuddin al-Abnasi, perkara yang sama, maka beliau menjawab dengan membolehkannya.

Ditanya ulama besar dalam mazhab Hanafi dan Maliki, semuanya menjawab, “Tidak mengapa dan boleh dilakukan.”

Semua jawapan ini dibuat dengan bersandarkan kepada ayat dalam Surah ‘Ali-’Imran di atas berserta hadis yang diriwayatkan oleh Jaafar bin Abi Talib r.a.

Adapun tarian yang dilarang adalah tarian yang bercampur lelaki perempuan yang bukan mahram, lebih-lebih lagi ia diadakan dalam majlis yang kemaksiatannya ketara seperti berpakaian tidak menutup aurat, diiringi dengan muzik dan suasana yang mengundang kepada syahwat dan lain-lain.

Itulah yang disebut haram. Haram bukan soal tarian, tetapi dilihat dari aspek persembahan, suasana dan dilihat dengan jelas kemaksiatan.

Adapun tarian dalam zikrullah, adalah tarian khusus yang lahir daripada rasa kesyahduan kepada Allah, dengan kelazatan munajat dan bertaladdud (berseronok kerana zikrullah).

Perasaan seronok dan lazat itu yang diketahui oleh orang yang mengetahuinya, merupakan anugerah Allah kepada mereka.

Mereka hendak menunjukkan bahasa badan (body language) mereka dengan menari-nari tanda keseronokan, tetapi dibuat kerana Allah SWT.

Inilah yang disebut di dalam Al-Quran (mafhumnya): “(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah dengan “zikrullah” itu, tenang tenteramlah hati manusia.” (Surah ar-Ra’d, ayat 28).

Ketenangan adalah suatu kenikmatan. Hendak menghargai kenikmatan itu adalah sesuatu yang boleh dita’birkan dengan isyarat, dengan kata-kata, dengan bahasa badan yang dijelmakan dalam bentuk tarian untuk menyatakan kesyukuran dan kenikmatan yang mereka perolehi hasil anugerah Allah.

Atas itulah pada pendapat saya bahawa tarian dalam majlis-majlis sufi itu adalah harus.

Untuk menyatakan haram atau tidak boleh memang mudah, tetapi harus disandarkan kepada dalil. Jika tidak ada dalil atau hujah, berbaliklah kepada hukum fekah bahawa, “Asal semua perkara adalah harus sehingga ada dalil yang membuktikannya haram.”

Oleh itu berzikrullah yang difahami dari ayat al-Quran di atas, hadis Rasulullah SAW dan pandangan ulama muktabar, maka saya menyatakan ia harus dan bukanlah haram.- DATO' DR HARON DIN

Penjelasan ke dua - Tawarikh Ratib Tegak

Masyarakat di sekitar Dong, Raub menamakan RATIB SAMAN dengan Ratib Tegak, kerana sebahagian besar aktivitinya dalam keadaan berdiri.

Ratib Saman adalah diasaskan oleh Syeikh Muhammad bin Syed Syeikh Abdul Karim as-Saman, kaifiat zikirnya dengan jahar dan serta dengan pergerakan anggota badan.

Ratib Saman diamalkan oleh masyarakat di sekitar Dong adalah semenjak sebelum merdeka lagi,kelazimannya diwiridkan ratib ini di masjid, surau dan majlis keraian seperti naik rumah baru, majlis walimatul Urus dan majlis-majlis kesyukuran.

Sebahagian pengamal dan pengembang Ratib Tegak ini di sekitar Dong antara lain :

Allahyarham Tuan Guru Syeikh Haji Umar bin Haji Muhammad, kampung Kubu, Durian Sebatang.
Allahyarham Imam Lokman bin Syeikh Haji Umar, kampung Lepar, Durian Sebatang.
Allahyarham Tuah Haji Abdul Rahman bin Syeikh Haji Umar, Sungai Petaling, Gali.
Allahyarham Tuan Haji Abdul Wahab bin Haji Muhammad Sidik, Sungai Ruyung, Durian Sebatang.
Allahyarham Haji Muhammad Bedawi bin Haji Muhammad Rausi, Kuala Gali.
Allahyarham Imam Haji Ishak bin Muhammad Arif ar-Rawi, Surau Jeram Bangkin.
Allahyarham Imam Haji Sani bin Ismail, kampung Kuala Dong
Allahyarham Haji Mahmud bin Haji Mat Dom, kampung Lechar, Dong
Sumber dan Dalil;
Pergerakan badan dan suara jahar dalam berzikir
Firman Allah :
فاذا قضيتم الصلاة فاذكروا الله قيما وقعودا وعلى جنوبكم
Apabila kamu telah selesai mengerjakan solat maka hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah semasa kamu berdiri, semasa kamu duduk dan semasa kamu berbaring.
( QS : 3 – 102 )

Berkata Imam Ibnu Kathir pada mentafsirkan ZIKRULLAH (menyebut dan mengingati Allah semasa kamu berdiri, semasa kamu duduk dan semasa kamu berbaring ) iaitu beliau menyifatkan ZIKIR disini ialah meliputi sekalian kelakuan
( Tafsir Imam Ibnu Kathir Vol. 1, halaman 551 )

Firman Allah :
الذين يذكرون الله قيما وقعودا وعلى جنوبهم
( ulul albab ialah ) Mereka yang berzikrullah dalam keadaan berdiri, duduk dan berbaring.
( QS : 2 – 190 )

Dikeluarkan oleh al-Imam Ahmad di dalam Musnadnya, diriwayatkan oleh Saidina Anas RA berkata : Sekumpulan Habsyi menari sambil bernasyid di hadapan Rasulullah SAW, dengan bahasa dan dialek mereka ( Habsyi ) “ Adalah baginda Rasulullah seorang hamba yang salih “ Maka baginda Rasulullah bertanya : Apakah yang mereka katakan? Sahabat menjawab : Adalah baginda Rasulullah seorang hamba yang salih.

Hal yang demikian tidak disanggah oleh Rasulullah, bahkan baginda berdiam diri.
Sudah maklum bahawa salah satu sumber hukum syariat Islam diambil daripada perkataan, perbuatan dan Taqrir Rasulullah SAW.

Riwayat Imam Bukhari dan Muslim bahawa ibnu Abbas berkata: Sesungguhnya meninggikan suara ketika berzikir dalam berkumpulan (berjemaah) dicatatkan sebagaimana yang dilakukan di zaman Rasulullah saw.

Imam Nawawi di dalam kitab Syarah Sohih Muslim: Digalakkan tinggi suara waktu berzikir dan Ibnu Hazam gemar melakukannya.

Riwayat daripada Sayyidina Ali r.a. yang mensifatkan perlakuan para sahabat antaranya:-
فإذا أصبحوا فذكروا الله مادوا كما يميد الشجر في يوم الريح

yang bermaksud:
Para sahabat apabila mereka berpagi-pagi mereka berzikrullah dalam keadaan bergerak (bergoyang) seperti goyangan pokok-pokok pada hari berangin.
Sumber:
البداية والنهاية فى التاريخ
Al-Bidayah wan Nihayah fi at-Tarikh oleh : al-Imam al-Hafiz syeikh Ismail bin Kathir ad-Damsyqy vol. 8, hal. 6

Al-Hafidz Abu Nu`aim meriwayatkan bahawa as-Sayyid al-Jalil al-Fudhail bin 'Iyyadh berkata:- "Sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w. apabila berzikir mereka menggerakkan badan condong ke kiri ke kanan seperti pohon kayu yang condong ditiup angin kuat.
Sumber :
Al-Hilyah oleh al-Imam Abu Nua’im vol. 1, hal. 76
oleh Adly Adzamin





Hukum sudah diperjelas oleh Datuk Dr Harun Din. Tinggal soal tertib dan peradaban yang sesuai yang perlu kita fikirkan...

Pada pandangan gua,

Nas yang menayatakan bahawa berlaku zikir memuji Allah dalam keadaan menari di hadapan Nabi Muhammad S.A.W bukan dalam tempat formal seperti masjid. Dalam suasana sebelum dan selepas peperangan di kawasan terbuka rasanya zikir tari adalah bersesuaian.

Zikir berdiri dengan hanya menggerakkan bahagian pinggang dan ke atas , ke kiri dan ke kanan (seperti goyangan pokok ditiup angin) juga adalah bersesuain jika dilaksanakan dalam masjid atau surau.

Oleh itu bagi gua zikir tari dengan pergerakan yang keterlaluan di dalam masjid dan surau adalah tidak sesuai dilakukan walaupun tidak mendatangkan dosa kerana tidak diharamkan.

adios

3 comments:

  1. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete
  2. kampung saya ni...
    Allahyarham Imam Haji Ishak bin Muhammad Arif ar-Rawi, Surau Jeram Bangkin.-guru saya
    Allahyarham Imam Haji Sani bin Ismail, kampung Kuala Dong-guru saya
    Allahyarham Haji Mahmud bin Haji Mat Dom, kampung Lechar, Dong-datuk saya

    ReplyDelete
  3. Allahyarham Imam Haji Ishak bin Muhammad Arif ar-Rawi, Surau Jeram Bangkin.-guru saya
    Allahyarham Imam Haji Sani bin Ismail, kampung Kuala Dong-guru saya
    Allahyarham Haji Mahmud bin Haji Mat Dom, kampung Lechar, Dong-datuk saya

    ReplyDelete