Friday, June 28, 2013

Kes mesin judi KGNS dedahkan industri perjudian lumayan Malaysia

Langkah kontroversi oleh jawatankuasa pengurusan Kelab Golf Negara Subang (KGNS) untuk memajak dan memindahkan mesin perjudian di luar kelab memberikan peluang untuk mengintip industri berbilion ringgit dikawal oleh sekumpulan ahli perniagaan yang rapat dengan Barisan Nasional (BN).

Tan Sri Megat Najmuddin Khas dan ahli jawatankuasa untuk tahun 2011-2012 baru-baru ini dikecam oleh ahli-ahli kelab kerana tidak cekap dan berkelakuan cuai serta melakukan pelanggaran kewajipan, menurut dokumen yang ditunjukkan kepada The Malaysian Insider.

Kapten kelab pada ketika itu Datuk Ronnie Yeo menerima kecaman paling keras kerana menjadi orang yang berbincang untuk perjanjian pemindahan itu apabila beliau diambil bekerja oleh Waz Lian Recreation Sdn Bhd, syarikat dimiliki oleh hartawan - menganjurkan majlis makan malam dihadiri oleh 60,000 orang di Port Klang untuk menunjukkan sokongan kepada Datuk Seri Najib Razak.
Sekumpulan hartawan Cina memegang beratus-ratus lesen dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan untuk mengendalikan mesin perjudian. Mesin-mesin ini diletakkan di kelab persendirian di sekitar ibu kota, akan tetapi terbuka kepada sesiapa sahaja yang mahu mencuba nasib.

Disebabkan kawalan ketat untuk lesen di bawah Akta Loteri oleh Kementerian Kewangan, sesetengah hartawan telah beralih ke mesin perjudian yang dikendalikan oleh kelab golf dan kelab sukan diseluruh negara, menawarkan jawatankuasa pengurusan kontrak untuk memajak dan memindahkan mesin ke premis di luar kelab.
Sebagai ganjaran, pengendali perjudian ini bersedia untuk membayar kelab-kelab sejumlah tetap setiap bulan. Kebiasaannya, pampasan bulanan itu lebih daripada jumlah diterima oleh kelab dengan meletakkan mesin-mesin itu jika hanya dikunjungi oleh ahli-ahli kelab.

Akan tetapi masalahnya, perjanjian seperti ini melanggar syarat lesen seperti ditetapkan oleh Kementerian Kewangan, termasuk syarat untuk meletakkan mesin di premis kelab dan memastikan hanya ahli kelab dibenarkan untuk menggunakan mesin perjudian itu.
Dalam kes ini, KGNS bersetuju untuk memindahkan operasi bagi 10 mesin perjudian mereka kepada Waz Lian pada Mei 2012, lebih setahun selepas rundingan antara jawatankuasa pengurusan dan penggendali itu.
Mesin perjudian itu dipindahkan ke Galaxy Club di Kota Damansara dan telah dipersetujui Waz Lian akan menguruskan mesin perjudian itu untuk lima tahun. Dalam enam bulan pertama, KGNS akan menerima RM126,000. Selepas itu KGNS akan menerima RM150,000 sebulan.

Waz Lian juga bersetuju jika lesen perjudian itu dibatalkan, mereka akan membayar RM10 juta kepada KGNS sebagai pampasan. Jawatankuasa pengurusan juga bersetuju dengan cadangan oleh Waz Lian untuk menggelar bilik perjudian di Kota Damansara sebagai "lampiran kelab'', satu langkah untuk memastikan secara teknikalnya akan memenuhi syarat Kementerian Kewangan kerana mempunyai mesin di premis kelab.

Akan tetapi perjanjian itu tidak menyenangkan ahli kelab dan dalam Mesyuarat Agung Tahunan pada Jun tahun lepas, telah diputuskan jawatankuasa siasatan khas menyiasat "punca-punca dan sebab-sebab" kelab terlibat dalam perjanjian untuk mengendalikan mesin slot dan mengeluarkannya dari kelab.

Selepas siasatan, jawatankuasa siasatan khas mendapati banyak pelanggaran telah berlaku.
Contohnya, perjanjian dengan Waz Lian menyatakan orang awam dibenarkan menggunakan mesin judi di Galaxy Club, bertentangan dengan syarat-syarat Kementerian Kewangan hanya ahli kelab boleh menggunakan mesin-mesin itu.
Selain itu, Galaxy Club secara tidak sah digambarkan sebagai lampiran oleh KGNS oleh kerana kelab golf itu tidak mempunyai pemilikan eksklusif premis di mana mesin dipindahkan.

Jawatankuasa siasatan khas juga mendapati, walaupun penggendali memberikan jaminan untuk membayar RM10 juta jika lesen ditarik balik, Waz Lian tidak mempunyai akaun perniagaan baik dengan hutang sebanyak RM446,872.

Terdapat juga kekecewaan dikalangan ahli kelab kerana peguam kelab telah pada bulan Disember 2011 mengangkat bendera merah sama ada syarat-syarat Kementerian Kewangan membolehkan mesin untuk digunakan oleh bukan ahli.

Masih belum jelas jika Kementerian Kewangan akan bertindak terhadap KGNS atau kelab lain yang telah membuat perjanjian dengan ahli perniagaan mempunyai hubungan kuat yang mendominasi perniagaan mesin judi di Malaysia. - TMI


adios

No comments:

Post a Comment