Wednesday, April 3, 2013

Sebarang peralihan kuasa perlu dilakukan secara aman, kata Najib ... apa makna tersiratnya?

KUALA LUMPUR, 3 April — Dalam ucapan semasa membubarkan Parlimen ke 12 sebentar tadi, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyeru agar peralihan kuasa di peringkat persekutuan atau negeri perlu dilakukan secara aman.

Ucapan pengerusi Barisan Nasional (BN) itu dilihat sebagai komitmen beliau untuk menerima apa sahaja keputusan pilihan raya umum (PRU) ke 13 yang bakal diadakan tidak lama lagi.

“Jika terdapat peralihan kuasa, sama ada di peringkat persekutuan atau negeri, ianya perlu dilakukan secara aman,” kata Najib dalam ucapan secara langsungnya yang disiarkan oleh stesen televisyen nasional pagi tadi.

Najib berkata kerajaan sentiasa komited memastikan keamanan, keselamatan dan masa depan yang cerah kepada seluruh rakyat Malaysia, disamping memberi jaminan kepada rakyat Sabah supaya tidak takut untuk keluar pada hari pilihan raya nanti.
“Ini adalah komitmen kami dala menghormati suara dan kepentingan negara.

“Kepada semua rakyat Malaysia, terutamanya di Pantai Timur Sabah, jangan bimbang... Laksanakan dan tunaikanlah tanggungjawab untuk memastikan jaminan keselamatan negara anda. Setiap undi tuan dan puan ialah penting,” katanya lagi.

Dalam ucapannya lagi, Najib menggesa parti politik dan rakyat untuk memberi kepercayaan penuh kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam menjalankan tanggungjawabnya mengendalikan pilihan raya paling penting dalam sejarah negara ini.

“Janganlah tidak yakin pada SPR, parti-parti politik hentikanlah daripada menabur syak wasangka serta menimbulkan keraguan keatas ketelusan badan tersebut pada pilihan raya nanti.

“Mari kita bersama-sama, tidak kira kerajaan atau pembangkang memberikan komitmen untuk memelihara keutuhan proses demokrasi dan menghormati keputusan yag dibuat oleh rakyat. Bersama-samalah kita berdoa agar pilihan raya kali ini akan berjalan dengan lancar, aman dan selamat,” kata beliau lagi.

Najib juga menasihati rakyat Malaysia mengambil iktibar daripada apa yang berlaku diluar negara apabila sistem pilihan raya tidak dipercayai dan berlakunya kekacauan.

“Insaflah dan ambil iktibar daripada apa yang berlaku di negara lain, akhirnya apa sahaja keputusan pilihan raya dalam negara tidak dipercayai.

“Apabila sistem pilihan raya tidak dipercayai, negara menjadi tidak stabil... kemakmuran negara merudum dan rakyatlah juga yang menderita,” ujarnya lagi.

adios

No comments:

Post a Comment