Wednesday, February 20, 2013

SPR seolah beri izin parti politik 'beli undi'

Pertubuhan badan bukan kerajaan menuntut reformasi pilihan raya, Bersih 2.0 hari ini menyuarakan rasa kecewa terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) yang menurut mereka seolah-olah "mengizinkan" parti politik mengamalkan "pembelian undi" dan "rasuah".

Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0 dalam satu kenyataan hari ini menegaskan, mereka juga kecewa dengan Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Sutinah Sutan ekoran kenyataannya sekiranya sesebuah parti politik didapati melaksanakan kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya, SPRM tidak boleh mendakwa semua ahlinya.

"Amatlah mengecewakan apabila SPRM seolah-olah memberi laluan percuma kepada parti-parti politik untuk membeli undi dan mengamalkan rasuah.

"Tambahan pula, ada yang turut menjanjikan pemberian kewangan dan lain-lain faedah sebagai tukaran undi ... kami disini ingin mengingatkan parti-parti politik bahawa ini merupakan kesalahan-kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya," tegas kenyataan tersebut.

Bersih 2.0 turut menjelaskan, kenyataan SPRM tersebut amat mengelirukan kerana Perkara lapan, sembilan dan 10, Akta Kesalahan Pilihan Raya tidak menyatakan bahawa kelakuan menjamu, mempengaruhi secara tidak wajar, atau merasuah semestinya untuk manfaat seorang calon sahaja sebelum ia menjadi satu kesalahan.

"Laras bahasa akta adalah jelas; semua perbuatan ini merupakan kesalahan, tidak kira siapa yang melakukannya dan siapa yang mendapat manfaat apabila perbuatan dilakukan dengan tujuan untuk mempergaruhi undi sesiapa atau mendorong seseorang untuk tidak keluar mengundi," tegasnya lagi.

Justeru, kenyataan itu turut berkata pihaknya dan beberapa NGO lain telah menubuhkan Pemantau Pilihan Raya Rakyat (PEMANTAU), sebuah inisiatif pemantau rakyat yang bertujuan untuk terus meningkatkan lagi aspirasi rakyat yang mahukan satu pilihanraya yang bebas dan adil dengan menggerakkan rakyat untuk berperanan semasa PRU-13 untuk memerhati proses pilihan raya, bagi menghalang dan mengurangkan usaha-usaha penipuan dan salah laku semasa pilihan raya.

"Kami juga memandang berat terhadap laporan berlakunya kempen terang-terangan oleh parti-parti politik dan ahli politik sebelum tempoh kempen pilihan raya diumumkan.

"Bersih 2.0 telah menerima aduan daripada rakyat tentang surat-surat dan bendera-bendera dengan logo parti yang menggesa mereka untuk mengundi parti atau calon tertentu ... tambahan pula, ada yang turut menjanjikan pemberian kewangan dan lain-lain faedah sebagai tukaran undi," tegas mereka.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan SPRM tegas Bersih 2.0 harus memastikan pelaku kesalahan tersebut untuk dipertanggungjawabkan tanpa rasa takut dan memihak.

"Kami menggesa rakyat untuk mengumpulkan bukti-bukti salah laku pilihan raya dan membuat laporan polis serta mewar-warkannya dalam laman sosial. Sekiranya penyiasatan tidak dilaksanakan sekarang, tindakan undang-undang masih boleh diambil selepas pilihan raya.

"Jumlah laporan salah laku dan keraguan pilihan raya sebelum pembubaran Parlimen adalah membimbangkan ... justeru, Malaysia memerlukan mata dan telinga warganya demi memastikan hak kita untuk pilihan raya yang bebas dan adil ditegakkan," kata kenyataan itu lagi.TMI

No comments:

Post a Comment