Tuesday, December 18, 2012

Sejarah Naga/ular besar di Perak

Ular lidi menjadi naga adalah satu bidalan yang sangat popular dalam kehidupan masyarakat melayu. Di negeri Perak terdapat beberapa cerita yang berkaitan naga yang pernah menjadi buah mulut anak negeri itu.

Antaranya ialah "Naga berjuang berebut geliga di sungai Perak" dan "Naga bertapa di bawah tanah tapak  Menara Condong Teluk Intan"

Namun hanya satu cerita yang sangat gua ingati iaitu hampir 80% iaitu kisah naga dibom tentera Jepun. Cerita ini diceritakan oleh ayahanda gua semasa gua berusia 15 tahun.

Di negeri Perak semasa pemerintahan Jepun telah berlaku kejadian aneh di satu kawasan yang tidak gua ingati. Menurut cerita ayahanda gua tentera Jepun telah menghantar pasukan peronda untuk meninjau kawasan tersebut yang meliputi satu kawasan hutan yang berbukit bukau.

Apabila pasukan peninjau tidak pulang ke markas tentera Jepun selepas satu minggu, pegawai pemerintah tentera Jepun telah mengarahkan satu pasukan 30-50 orang tentera pergi mencari mereka. Malangnya pasukan tentera itu juga tidak pulang dalam masa seminggu.

Pemerintah tentera Jepun di situ mengesyaki tenteranya telah dibunuh atau ditawan musuh iaitu askar melayu dan tentera British. Beliau mengumpul kekuatan tentera seramai 300 orang dan mengikut jejak dua pasukan tenteranya yang hilang. Mereka berjalan mengikut jejak yang ditinggalkan oleh pasukan terdahulu.

Setelah sehari perjalanan mereka telah bertemu dengan kejadian aneh. Pegawai pemerintah yang mengetuai pasukan tentera kali ini telah mengesan satu kawasan lapang tanpa rumput dan pokok di hadapan satu lubang besar di kaki bukit.

Keadaan pelik itu disedari apabila mereka melihat pokok-pokok renek melentur kuat apabila angin kencang menyedut masuk ke arah lubang besar di kaki bukit tersebut . Pokok-pokok yang tidak kuat akarnya akan melayang masuk ke dalan lubang besar itu.

Pegawai pemerintah mengarahkan supaya lubang bukit tersebut dibom dengan segala kelengkapan yang ada. Beratus-rasus bom tangan dilontarkan ke pintu lubang tersebut dan disedut masuk oleh kuasa angin yang kuat. Letupan demi letupan berlaku disusuli dengan bunyi dengusan kuat binatang yang besar. Letupan bom tangan yang bertali arus telah meruntuhkan lereng bukit dan menutup lubang besar itu.

Ayah gua pada masa itu adalah salah seorang daripada puluhan remaja melayu yang menjadi hamba suruhan tentera Jepun. Berpakaian tentera Jepun tetapi tidak diberikan senjata. Tugas mereka adalah mengangkut kelengkapan tentara Jepun seperti makanan dan pakaian.Ada juga yang menjadi pembantu tukang masak tentera Jepun.

Sebaik letupan bom tangan berhenti. Pegawai pemerintah tentera Jepun mengarahkan semua pemuda melayu yang dibawa agar memeriksa runtuhan bukit berkenaan.  Rakan kepada ayahanda gua telah menemui satu biji mata ular yang sangat besar iaitu sebesar sebiji kelapa mawar muda. Penemuan itu membuatkan pegawai pemerintah tentera Jepun mengarahkan tenteranya mengebom semula runtuhan itu dari atas pula.

Pengeboman kali ini mendedahkan seekor ular yang sangat besar dengan ukurlilit sebesar kawah dan kepala yang sudah hancur. Ditubuh ular itu terdapat tumbuhan renek yang baru tumbuh disamping tumbuhan menjalar. Ini menunjukkan ular tersebut sudah lama bertapa dalam lubang tersebut hingga tubuhnya ditumbuhi tumbuhan.

Apabila runtuhan itu dikorek  berpuluh-puluh senapang tentera Jepun ditemui. Pencarian terhadap tentera yang hilang tidak diteruskan kerana Pegawai pemerintah tentera Jepun menganggap mereka telah mati dilahap ular sawa besar yang mati dibom. Lubang besar itu ditimbus semula dengan mengebom lereng bukit yang lebih tinggi dan runtuhannya menimbus bangkai ular tersebut.

adios

No comments:

Post a Comment