Friday, December 14, 2012

MURSYIDUL AM GERAKAN ISLAM MOROCCO MENINGGAL DUNIA

Gerakan "Adil dan Ihsan" yang diharamkan di Morocco mengumumkan pengasas dan Mursyidul Amnya, Syeikh Abdussalam Yaasin, 84 tahun menghembuskan nafas terakhir pagi semalam, Khamis.

Perkara tersebut diumumkan oleh jurucakap rasmi gerakan tersebut, Fathallah Arsalan, Syeikh Yaasin (dilahirkan pada September 1928) yang meninggal dunia di salah sebuah hospital di ibu negara Morocco merupakan pengasas gerakan Islam tersebut pada tahun 1973 dan memimpinnya hingga akhir hayat.

Pada tahun 1974, beliau menulis risalah nasihat kepada Raja Morocco ketika itu, Al-Marhum Raja Hasan Kedua bertajuk "Islam atau Taufan" yang memberi peringatan kepada kerajaan untuk melaksanakan syariat Islam atau mereka dan negara akan dilanda bencana taufan seperti kaum Nabi Nuh yang menolak dakwah nabi mereka.

Antara kandungan risalah tersebut:

"Nasihat Ustaz Yaasin kepada raja yang bimbang kehilangan kuasa satu nasihat yang jelas dan nyata. Nasihat beliau menyeru kepada raja bertaubat dan kembali kepada syariat Islam serta mencontohi sejarah yang ditunjukkan oleh Khalifah Umar bin Abdul 'Aziz.."

Disebabkan risalah tersebut, beliau dipenjarakan selama 3 tahun enam bulan tanpa dibicarakan di mana-mana mahkamah. Akibat tekanan yang dihadapi di dalam penjara, beliau terpaksa dirawat di hospital mental untuk beberapa tempoh waktu.

Pada tahun 1981, kerajaan Morocco mengharamkan gerakan tersebut tetapi berdasarkan pengamatan penganalisis politik, Gerakan Adil dan Ihsan merupakan gerakan pembangkang utama yang mampu menggugat kerajaan.

Pada tahun 1983, beliau sekali lagi meringkuk dalam penjara selama 3 bulan (yang kemudiannya dilanjutkan selama 2 tahun) setelah mengkritik ucapan Al-Marhum Raja Hasan Kedua melalui sebuah artikel tulisannya.

Pada tahun lepas, ketika berlaku gelombang 'Arab Spring' di beberapa buah negara Arab, Morocco juga tidak terkecuali terkena tempiasnya apabila berlaku beberapa siri protes dan Gerakan Adil dan Ihsan menggerakkan kebangkitan rakyat dengan menyatukan kumpulan pembangkang atas nama "Gerakan 20 Februari".

Hasilnya, ia memberi tekanan kepada Raja Muhammad Keenam, Raja Morocco untuk membuat pindaan perlembagaan dan memberikan kebebasan kepada rakyat pada Julai 2011.-Abdul Malik

No comments:

Post a Comment