Saturday, December 8, 2012

Morsi Ancaman Besar Kepada Israel, AS dan sekutu

Pada kesempatan berkunjung ke Mesir kali ini, elok juga dinukilkan perkembangan terkini yang berlaku, selepas calon Parti al-Hurriyah wal Adalah, Mohammed Morsi memenangi Pilihan Raya Presiden, Jun lepas.

Sebelum berlepas ke Kaherah, kita mendapat khabar menerusi media bahawa keadaan di Mesir sekarang ini berada di dalam kacau bilau, akibat tentangan puak pembangkang terhadap kerajaan.

Malah, dengan melaporkan setiap hari ada demonstrasi beserta laporan mengenai kematian, media seolah-olah mahu menggambarkan kepada kita, kerajaan Presiden Morsi yang ditunjangi gerakan Ikhwanul Muslimin tidak stabil dan bermasalah.

Malah ada kalangan rakan-rakan dan sanak saudara yang bimbang berlaku huru-hara sewaktu kunjungan dilakukan.

Sebaik penulis menjejakkan kaki di Kaherah, Khamis lepas, Mesir yang baru mengalami cuaca sejuk, berada dalam keadaan aman dan tenteram.

Semua berjalan dengan lancar dan baik. Tiada kekacauan, tiada kekecohan. Yang ada cuma pekikan dan hiruk pikuk hon di jalan raya, kerana perangai Arab yang suka menekan hon kenderaan.

Mesir bukan tiada masalah. Masalah memang wujud, penentangan terhadap kerajaan Morsi memang berlaku. Tetapi ianya tidaklah seriuh yang digembar-gemburkan.

Demonstrasi sentiasa ada. Ada demonstrasi pembangkang. Ada demonstrasi penyokong kerajaan.

Televisyen Mesir menyiarkan siaran secara langsung demonstrasi yang diadakan dan kita boleh membuat perbandingan yang jelas, demonstrasi mana yang mendapat sambutan, mana yang tidak.

10 juta rakyat demo sokong Morsi

Sabtu lepas, dianggarkan 10 juta rakyat Mesir berhimpun di seluruh Mesir semalam, untuk menyokong pindaan Perlembagaan baru yang diusahakan Presiden Morsi bagi menggantikan Perlembagaan di zaman Hosni Mubarak.
Pindaan Perlembagaan diusahakan kerajaan baru Mesir di bawah kepimpinan Ikhwanul Muslimin, melalui Parti Kebebasan dan Keadilan yang menang dalam Pilihan Raya Umum, Jun lepas.

Selepas dilantik menjadi Presiden Mesir, Morsi membentuk sebuah jawatankuasa khas bagi merangka Perlembagaan rakyat untuk menggantikan Perlembagaan lama yang dianggap zalim dan diktator.

Draf cadangan Perlembagaan baru tersebut sudah dikemukakan ke pejabat Presiden dan Morsi sudah membuat pengumuman untuk menyerahkan Perlembagaan tersebut kepada rakyat menerusi referendum 15 Disember depan.

Bagaimanapun usaha Morsi mendapat tentangan hebat golongan fulul, iaitu saki baki kroni Hosni Mubarak dalam kerajaan diktator yang digulingkan menerusi kebangkitan rakyat 25 Januari 2011.

Kumpulan ini menguasai kuasa kehakiman iaitu Peguam Negara, Abdul Majid Mahmoud yang sudah ditukar jawatan sebulan lepas, untuk dihantar sebagai Duta ke Vatican.

Namun Abdul Majid menukar persetujuan beliau akibat tekanan pihak pembangkang yang berkepentingan untuk mensabotaj kerajaan baru.
Morsi kini berhadapan sekumpulan hakim-hakim tegar yang berusaha menghalang referendum rakyat.

Namun, perhimpunan terbesar dalam sejarah Mesir ini tunjangi sekitar 5 juta rakyat yang berhimpun di hadapan Universiti Kaherah, dan selebih di seluruh lokasi strategik seluruh negara, merencatkan rancangan pembangkang.

Mahkamah cuba bersidang Ahad lepas untuk menghalang draf Perlembagaan baru, namun berpaksa membatalkan sidang mereka kerana puluhan ribu penyokong-penyokong Morsi berhimpun di mahkamah.

Sejurus selepas penangguhan sidang Mahkamah, parti-parti pembangkang yang diketuai Parti Wafd, mengadakan pertemuan dengan Duta Besar Amerika Syarikat di Mesir.

Parti pembangkang ini menubuhkan sebuah kumpulan yang dinamakan 'Jabhah lil inqaz al-watani' atauGabungan Penyelamat Negara, yang dipimpin beberapa tokoh pembangkangSeperti Dr Mohamad al-Baradei, bekas calon Presiden Hamdin Sabbahi dan seorang lagi bekas calon PresidenAmr Mousa.

Perhimpunan terbesar rakyat Mesir menyokong Morsi bagaimanapun cuba disembunyikan media pro Barat yang hanya menunjukkan ketegaran segelintir penyokong pembangkang di Dataran Tahrir.

Setakat ini Mesir berada dalam keadaan yang amat aman, Morsi berjaya mengawal keselamatan dengan baik dan himpunan pembangkang yang ditaja Barat gagal mendapat sambutan.

Mengapa Barat dan sekutu cuba tumbangkan Morsi?

Umum mengetahui bahawa regim lama Mesir yang dikuasai Hosni Mubarak, merupakan sekutu rapat kepada Amerika dan Israel.

Apabila Mubarak ditumbangkan menerusi tsaurah (kebangkitan) rakyat, Mesir termasuk kelompok Arab Spring yang merubah struktur pemerintahan kerajaan, sejak reform dimulakan di Tunisia, Libya dan Maghribi.

Mesir merupakan lokasi strategik negara Arab untuk berhadapan dengan Israel. Selama ini, tempoh pemerintah zalim Mesir yang lunak dengan Israel sejak tahun 1960-an, sudah berakhir.

Paling ditakuti Amerika, Israel dan sekutu mereka ialah, Mesir kini dikuasai Ikhwanul Muslim, sebuah gerakan Islam yang mempunyai pengaruh yang luas di seluruh jazirah (semenanjung) Arab.

Justeru, penganalisis politik Asia Barat berpendapat, ada tiga negara yang hendak menggagalkan pemerintahan Morsi dan tidak mahu melihat kestabilan Mesir di bawah pengaruh Ikhwan.

Di Mesir, heboh dengan laporan yang diperolehi perisikan kerajaan bahawa, pembangkang di negara itu mendapat sumbangan kewangan daripada Emirah Arab Bersatu (U.A.E), Arab Saudi dan Kuwait.

Penganalisis berpendapat, mereka melakukan demikian, pertama, kerana pengaruh Amerika yang kuat, serta hubungan rapat dengan blok Barat yang jelas mahu melindungi kepentingan Israel.

Malah kedangkalan pemimpin-pemimpin negara terbabit diperjelaskan dengan pembelian kelengkapan senjata serta jet-jet pejuang buatan Amerika yang menelan belanja puluhan bilion dollar.

Pembelian secara 'paksa' ini dibuat tatkala Amerika menghadapi krisis ekonomi yang meruncing, sedangkan hasilnya kebanyakan jet-jet pejuang terbabit tersadai di padang pasir kerana tidak berfungsi.


Faktor kedua, adalah kerana mereka irihati dgn kejayaan Mesir di bawah Morsi setakat ini, sedang memulihkan ekonomi Mesir, serta pengimbang tekanan jahat Israel terhadap Gaza, Palestin.

Ketiga, mereka bimbang Arab Spring akan merebak ke negara mereka dan menjatuhkan mereka dari tampuk kuasa, yang selama ini mereka tadbir secara diktator dan menindas rakyat.

Apa yang Morsi lakukan untuk Gaza

Ketakutan Israel cukup jelas dizahirkan mereka, selepas sahabat paling setia mereka Hosni Mubarak, tumbang di Mesir.

Kunjungan pertama kali ketua negara Arab, iaitu Emir Qatar ke Semenanjung Gaza dilihat sebagai ancaman terbuka terhadap kejahatan zionis terhadap umat Islam.

Sewaktu kunjungan ke Gaza sebelum serangan Israel, Emir Qatar, Sheikh Hamad Ibnu Jasim dengan jelas mengatakan, beliau dia tidak mungkin berada di Gaza jika tidak kerana tiga perkara.

Tanpa menjelaskan secara terperinci, Sheikh Hamad mengatakan, beliau memijak bumi Gaza disebabkan oleh Mesir, Revolusi rakyat Mesir dan kerana Presiden Mesir.

Oleh sebab tidak tahan dengan elemen-elemen sokongan terhadap Gaza, Israel mula melakukan serangan selama lapan hari dengan mengebom Gaza sesuka hati.

Ada penganalisis berpendapat, selain menyasarkan pimpinan utama Hamas, serangan Israel yang disokong Amerika dan sekutunya di negara Arab, adalah bertujuan untuk memberikan tekanan kepada Presiden Morsi.


Langkah mereka ternyata silap. Pada hari pertama serangan dilakukan Israel, Morsi mengarahkan Duta Mesir di Tel Aviv supaya pulang ke Kaherah dan menutup kedutaan.

Langkah kedua Morsi di dalam menanggani isu Gaza, ialah pada hari kedua serangan, beliau mengarahkan Perdana Menteri Mesir melawat Gaza, memberikan sokongan dan mengenalpasti apa bentuk bantuan yang harus disalurkan segera.

Ketiga, Morsi mengarahkan pintu Rafah yang merupakan sempadan kedua-dua negara dibuka 24 jam untuk membolehkan bantuan dibawa masuk segera dan mangsa yang tercedera dibawa keluar untuk mendapatkan rawatan.

Morsi juga mengadakan pertemuan segera dengan Perdana Menteri Turki, Recep Tayyib Erdogan dan pemimpin Hamas, Khalid Meshaal di Kaherah bagi menangani krisis tersebut.

Setakat ini, Morsi bersama rakan-rakan Ikhwanul Muslimin yang diketuai Mursyidul Am, Dr Mohammed Badie berjaya mengawal situasi dalam dan tekanan luaran Mesir dengan baik.

Namun tekanan dan pelbagai lagi ancaman dijangka dilakukan terus menerus oleh para penentang, yang tidak mahu Mesir melaksanakan keadilan dan demokrasi sebenar menurut Islam, yang bakal mengancam masa depan kuasa kuffar.

Kita berdoa agar Allah terus memberikan kekuatan kepada Ikhwanul Muslimin untuk menerajui Mesir sebaik-baiknya.ditulis oleh sdr Mohd Rashidi Hassan

entry hari ini

No comments:

Post a Comment