Monday, October 1, 2012

Fatwa Literal- Satu Pembetulan

Dulu saya pernah kritik apabila mereka sering membaca hadis ini di khalayak ramai:

“Akan ada selepasku para pemimpin yang berpetunjuk bukan dengan petunjukku, bersunah bukan dengan sunahku, dan akan bangkit dalam kalangan mereka lelaki-lelaki yang jantung hati mereka seperti jantung hati syaitan dalam tubuh insan.

“Kata Huzaifah: Apa yang patut aku lakukan wahai Rasulullah, jika aku mendapati keadaan itu?. Jawab baginda: Dengar dan taat kepada ketua, sekalipun belakangmu dipukul, hartamu diambil, dengar dan taatlah.” (Riwayat Muslim)

Hadis ini dibaca seakan rakyat dalam apa keadaan pun tidak boleh membantah kerajaan walaupun buruk mana sekalipun. Mereka lupa kerajaan dalam negara ini bukan sahaja Umno, ada juga kerajaan PAS dan PKR.

Hadis ini dibaca tanpa melihat kepada hadis-hadis lain yang memberikan penegasan yang berbeza.

Antaranya hadis (bermaksud): “Sesungguhnya manusia apabila melihat orang zalim, namun tidak menghalang tangannya, hampir Allah akan meliputi mereka dengan hukuman-Nya”.
(Riwayat Abu Daud, al-Tirmizi dan al-Nasai, dengan sanad yang sahih).

Dalam sejarah pemikiran fikah, tokoh aliran literalis yang paling terkemuka ialah al-Imam Ibn Hazm al-Andalusi (meninggal 456H). Dia terkenal kerana kebijaksanaannya tetapi literal dalam memahami nas-nas syarak.

Banyak fatwa literalnya dikritik oleh para sarjana. Pun begitu, beliau apabila ditanya tentang hadis di atas, menjawab:

“Adapun apa yang diperintahkan oleh Rasulullah SAW agar bersabar atas pengambilan harta dan pukulan di belakang, itu semua tanpa syak jika pemerintah menguruskan itu dengan cara yang sebenar, maka tidak syak wajib ke atas kita sabar… Adapun jika dengan cara yang batil maka berlindung dengan Allah untuk Rasulullah SAW menyuruh bersabar untuk itu.

“Dalilnya firman Allah: Tolong menolonglah kamu dalam kebaikan dan takwa, dan jangan tolong menolong dalam dosa dan permusuhan.

“Kita tahu bahawa kalam Rasulullah tidak akan menyanggahi kalam Tuhannya… maka sah bahawa apa yang Rasulullah SAW sabda adalah wahyu dari sisi Allah azza wa jalla, tiada perbezaan, tiada percanggahan dan pertentangan.

“Jika demikian maka sesuatu yang yakin tanpa syak yang diketahui oleh setiap Muslim bahawa mengambil harta Muslim ataupun zimmi tanpa cara yang sebenar dan memukul belakangnya tanpa kesalahan yang sebenar adalah dosa, permusuhan dan haram.

“Sabda Nabi SAW: Sesungguhnya darah kamu, harta kamu, maruah kamu adalah haram antara kamu (untuk dicemari).

“Maka tiada syak dan perbezaan pendapat kalangan Muslimin bahawa orang yang menyerahkan hartanya untuk perampas secara zalim, memberikan belakangnya untuk dipukul secara zalim sedangkan dia mampu untuk menghalang hal itu dengan apa cara yang mungkin, maka itu adalah pertolongan kepada orang yang menzaliminya atas dosa dan permusuhan, dan ini haram dengan nas al-Quran….”
(Ibn Hazm, Al-Fasl fi al-Milal wa al-Ahwa wa al-Nihal, 4/133. Kaherah: Maktabah al-Khaniji)

Jika pemerintah itu dibiarkan untuk memukul dan mengambil harta tanpa dipersoalkan, apakah ertinya sesuatu pemerintahan yang diperintah oleh Islam untuk diwujudkan? Apakah mereka seperti penzalim dan perompak berlesen yang dilindungi oleh nas-nas agama?

Maha suci Allah dari menurunkan agama yang seperti itu!

Sebaliknya dalam agama ini kemuliaan Muslim seperti yang disebut oleh Nabi SAW:

"Sesungguhnya darah kamu, harta kamu, maruah kamu adalah haram antara kamu (untuk dicemari), seperti haramnya (mencemari) hari ini (hari korban), bulan ini (bulan haram) dan negeri ini (Mekah).”
( Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Nabi SAW juga menyebut: “Sesiapa yang mati kerana mempertahankan hartanya maka dia syahid.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Baca Sini

Pemikiran agama yang literal seperti ini sebenarnya boleh merosakkan maksud dan imej agama itu sendiri jika dipegang oleh mereka yang berkuasa. Saya tidak mahu campur dengan urusan kepartian Umno ataupun PAS.

Namun apabila membabitkan urusan agama, saya hanya ingin memberikan pandangan bahawa pemikiran ini dalam kerangka keseluruhan ‘memeningkan’ negara dan Umno itu sendiri.

PROF MADYA DATUK DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN bekas mufti Perlis. Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.

No comments:

Post a Comment