Wednesday, September 12, 2012

Sistem Pendidikan Lemah Malaysia Ketiga Tercorot Dalam Ujian Fisa

KUALA LUMPUR, 11 Sept — Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan tidak menafikan prestasi tidak menentu bagi tahap pendidikan antarabangsa sambil menegaskan langkah drastik akan diambil untuk merombak sistem sedia ada.

Najib berkata tidak perlu rasa malu mengakui bahawa Malaysia menduduki tempat ketiga terbawah dalam program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) 2009 dalam ujian matematik, membaca dan sains sambil menyifatkan kerajaan sebagai berani menghadapi realiti dan mampu mengubah situasi tersebut.

“Kita tidak perlu berasa malu walaupun dalam PISA kita berada di kedudukan tiga bawah,” kata Najib (gambar).

“Ia adalah lebih baik daripada kita menafikan. Kami mempunyai keberanian untuk mengaku hal ini dan ia adalah lebih baik daripada terperangkap dalam sindrom penafian.”

Dalam pelan induk baru, Malaysia mensasarkan untuk berada di tangga ketiga teratas ujian PISA dalam tempoh 13 tahun akan datang.

PM berkata bahawa kerajaan memerlukan satu penyelesaian yang kreatif dan inovatif untuk tangani masalah pendidikan dan memerlukan pengorbanan dari semua lapisan masyarakat.
Beliau berkata bahawa teras ekonomi baru adalah pengetahuan, inovasi dan teknologi.
“Sistem perlu diselaraskan untuk hadapi cabaran dan memberi persediaan kepada anak-anak kita untuk mengisi pekerjaan yang belum lagi dicipta,” kata Najib.

Pelan induk pendidikan terdiri daripada 11 “perubahan” untuk memupuk enam sifat di kalangan kanak-kanak: pengetahuan, kemahiran berfikir, kepimpinan, penguasaan dwibahasa, etika dan identiti kebangsaan.

Pentadbiran Najib telah menggariskan pelan peralihan kepada sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang 2020 tetapi ramai pemerhati berpendapat pendidikan kekal kelemahan utama Malaysia.
Indeks Daya Saing Dunia baru-baru ini yang dikeluarkan oleh ahli pemikir Forum Ekonomi Dunia mengenal pasti tenaga kerja tidak berpendidikan dan kurang etika kerja di kalangan buruh sebagai dua daripada lima masalah berat yang dihadapi oleh Malaysia selain masalah birokrasi kerajaan, rasuah dan undang-undang buruh yang terhad.

Najib mengakui bahawa Malaysia berrisiko ketinggalan jika tidak memulakan reformasi pendidikan.

“Semasa saya di sekolah, saya belajar asas utama ekonomi ialah tanah, buruh dan modal tetapi hari ini ia digantikan dengan teknologi, pengetahuan dan inovasi,” katanya. “Apabila kita merombak sistem pendidikan kita, kita mesti memahami ekonomi baru.”

Beliau turut menambah kerajaan membelanjakan 8.7 peratus daripada belanjawan ke atas pendidikan dan membayangkan akan meningkatkannya untuk melaksanakan pelan induk tetapi mahukan setiap pelaburan menghasilkan kesan yang terbaik.

“Kami akan melihat setiap nilai untuk wang dan pulangan ke atas pelaburan untuk memastikan cukai yang dipungut digunakan dengan sebaiknya,” kata Najib.

Malaysia sering mengeluarkan rancangan yang besar tetapi pelaksanaannya sangat lemah tetapi Najib kali ini memberi janji untuk melaksanakannya sejajar dengan pelan induk.
“Elemen utama adalah pelaksanaan strategi,” katanya. “Kita mesti meredakan semua keraguan. Ia terlalu penting dan tidak boleh gagal.”

Antara perubahan lain yang terkandung di dalam pelan induk ialah: akses samarata dalam pendidikan berkualiti mengikut taraf antarabangsa, memastikan setiap kanak-kanak mahir dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris, membangunkan rakyat Malaysia yang berteraskan nilai murni, memastikan pemimpin sekolah berprestasi tinggi di setiap sekolah, memanfaatkan ICT untuk meningkatkan pembelajaran, mengubah dan memperkemaskan Kementerian Pelajaran, bekerjasama dengan ibu bapa, masyarakat dan sektor swasta, memaksimumkan pencapaian pelajar dan meningkatkan ketelusan.


No comments:

Post a Comment