Friday, August 3, 2012

Selangor Biaya Kos Guaman Rafizi

Kerajaan Selangor hari ini mengesahkan akan membiayai kos guaman yang melibatkan kes penahanan dan pendakwaan Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli yang telah membuat pendedahan berkaitan skandal National Feedlot Corporation (NFC)

Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim (gambar) ketika sidang media di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) hari ini menjelaskan, Selangor akan menggunakan RM500,000 dana daripada Geran Selangorku untuk urusan pembiayaan Rafizi tersebut.
"Kerajaan Selangor telah memperuntukkan 10 peratus daripada RM5 juta Geran Selangorku untuk dana membanteras rasuah yang dikenali sebagai "dana whistleblower"... dan daripada dana berkenaan kita akan gunakan untuk membiayai Rafizi," kata Khalid kepada pemberita hari ini.

Menurut beliau lagi, tindakan penahanan Rafizi itu membuktikan komitmen kerajaan Barisan Nasional (BN) terhadap ketelusan dan kebertanggungjawapan yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak juga adalah janji kosong.
"Jika mereka (pemberi maklumat) teraniaya, kerajaan negeri boleh guna dana itu untuk pertahankan mereka ... supaya mereka boleh teruskan pendedahan mereka," kata Adun Ijok itu lagi.

Awal pagi tadi, Rafizi telah ditahan pihak berkuasa dan terus didakwa di mahkamah atas kesalahan melanggar Seksyen 97(1) Akta Bank dan Institusi Kewangan 1989 (BAFIA) di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini.

Beliau bagaimanapun tidak mengaku salah atas dakwaan tersebut.
Rafizi diwakli oleh peguamnya N. Surendran dan Puspawati Rosman, dilepaskan oleh Hakim Aslam Zainuddin dengan wang jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin.
Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad merupakan penjamin bagi Rafizi.
Sementara itu Johari Mohamad pula didakwa bersubahat dengan Rafizi dan melanggar Seksyen 112(1)(c) Akta yang sama.

Timbalan Pendakwa Raya, Nahra Dollah menuntut agar wang jaminan terhadap Rafizi dan Johari dikenakan sebanyak RM100,000 sebelum peguam pembela, N. Surendren merayu agar mahkamah mengurangkannya.

Nahra Dollah juga meminta agar mahkamah menahan pasport antarabangsa milik Rafizi kerana ini adalah kesalahan yang tidak boleh dijamin.
Peguam pembela berhujah bahawa Rafizi adalah orang yang dikenali ramai dan tidak mungkin akan melarikan diri.

Ketika perbicaraan, ruang mahkamah dipenuhi penyokong PR yang rata-ratanya marah dengan pendakwaan terhadap Rafizi. Puspawati Rosman, peguam bersama Rafizi dan Johari ketika ditemui di luar mahkamah berkata penahanan terhadap Rafizi adalah sesuatu yang tidak perlu dilakukan kerana anak guamnya sentiasa memberikan kerjasama apabila dipanggil oleh pihak berkuasa.

“Dia sebagai ‘whistleblower’ seharusnya dilindungi dan bukan didakwa.
“Kita harus berterima kasih kepada Rafizi kerana berusaha gigih untuk menyelamatkan wang rakyat,” katanya.TheMalaysianInsider

No comments:

Post a Comment