Friday, August 10, 2012

Pakatan Dakwa Utusan Cuba Cetus Konflik Agama

Pakatan Rakyat (PR) hari ini mendakwa laporan akhbar milik Umno, Utusan Malaysia yang mengatakan adalah “haram” untuk Muslim menyokong DAP bakal menimbulkan konflik agama di Malaysia.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kenyataan Utusan Malaysia berkenaan “haram sokong DAP” pada Selasa lalu juga merupakan satu kempen pelampau agama.

“Kenyataan Utusan itu adalah terus menghukum ... ’haram dan berdosa menyokong DAP’, sedangkan MCA juga tidak menyokong hudud ... Umno juga pernah mengeluarkan kenyataan tidak akan melaksanakan Hudud,” tegas Ketua Umum PKR itu lagi.

“Kenapa ulama itu berkata hanya DAP sahaja yang tidak boleh disokong, sedangkan ucapan Umno dan MCA adalah dalam kategori yang sama.”

Sehubungan itu jelas Anwar, adalah lebih penting untuk kerajaan menumpukan kepada pembangunan negara.

“Kita perlu tumpu pembangunan negara dan menjelaskan agenda masing-masing,” katanya.

Sementara itu, pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang, menegaskan, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak seharusnya perlu mengambil tindakan tegas terhadap Utusan Malaysia dan tidak membenarkan mereka meneruskan kempen tersebut.

“Adakah mereka mahu wujudkan ‘religous conflict’ di Malaysia?” tegas Lim ketika sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini.

“Perdana Menteri perlu ambil tindakan, jangan benarkan Utusan Malaysia, akhbar Umno itu untuk meneruskan kempen ini.”

Tambah Lim, “Ini hasutan sangat tidak bertanggungjawab, dan berunsur jenayah”, dan oleh yang demikian, satu laporan polis telah dibuat di Pulau Pinang hari ini.

Menurut penasihat DAP ini lagi, tindakan Utusan Malaysia itu jelas menunjukkan betapa pemimpin Umno sangat terdesak dan khuatir kehilangan kuasa dalam pilihan raya umum akan datang.

“Ini tunjukkan betapa segelintir pemimpin Umno terdesak. Mereka boleh hilang kuasa dalam pilihan raya umum ke-13 akan datang dan kini mereka gunakan taktik kotor yang berbahaya.”

Tambah Kit Siang lagi, beliau merasakan pendirian yang dibawa DAP tidak jauh beza dengan pendirian perdana menteri terdahulu seperti Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj, Tun Hussein Onn, dan Tun Abdul Razak berkenaan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.

“Pendirian DAP tidak berbeza dengan perdana menteri terdahulu. Adalah turut direkodkan mereka sangat jelas mengatakan Islam itu agama rasmi.

“Adakah Utusan kata mereka musuh Islam, hingga perkataan kafir harbi digunakan kepada DAP?”

“Kita perlu lihat semula untuk menyatukan rakyat Malaysia dengan Kemerdekaan semakin hampir,” tambah Kit Siang lagi.

Memetik laporan The Malaysian Insider sebelum ini, laporan Utusan Malaysia itu jelas Kit Siang dilihat sengaja mahu menimbulkan konflik apabila mencadangkan konspirasi bagi membuktikan kenyataan kontroversi Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa rakyat Malaysia berbilang kaum semakin rasis dengan pilihan raya semakin hampir.

“Ada konspirasi untuk membuktikan kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad itu betul dengan bekas PM itu pada Jun menjangkakan pilihan raya umum akan memberikan keutamaan terhadap kaum kerana ‘Malaysia semakin rasis’,” kata Lim.

Dr Mahathir yang merupakan PM keempat dan yang paling lama berkhidmat telah mengeluarkan kenyataan kontroversi ketika forum di sini pada 28 Jun — pilihan raya umum ke-13 akan menjurus semakin perkauman kerana rakyat Malaysia semakin bersifar perkauman.

“Mereka mahu dikenali berasaskan kaum mereka, walaupun mereka putus hubungan dengan negara ataupun asal usul,” kata Dr Mahathir ketika forum berkenaan politik dan perniagaan, sambil menambah,”itu sebabnya sekarang ini politik lebih bersifat perkauman berbanding dahulu.”

Utusan Malaysia sebelum ini telah mengeluarkan artikel memetik ustaz sekolah pondok yang menyatakan “haram” untuk masyarakat Islam menyokong DAP namun mengatakan MCA dan MIC boleh diterima kerana parti komponen Barisan Nasional (BN) itu dikenali sebagai penyokong Islam.

Akhbar itu turut melaporkan ustaz di sekolah pondok, Abdullah Sa’amah, berkata Muslim tidak seharusnya mengundi DAP dan rakannya PKR dan PAS dalam Pakatan Rakyat (PR) dalam pilihan raya umum ke-13.

“Perjuangan DAP tidak menerima Perlembagaan (Persekutuan), mereka mahu kesamarataan (untuk) Islam dan bukan Islam, kuil dan masjid juga mahukan kesamarataan,” kata Abdullah dipetik Utusan.

“Wajib untuk Muslim dalam PAS, Umno dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menolak DAP yang cuba mengambil kuasa melalui pilihan raya.”

Malah, beliau juga turut bekata “Berdosa menyokong parti yang bekerjasama dengan DAP kerana menyokong mereka bererti kita juga menyokong pakatan,” kata pengasas sekolah Pondok Geting di Tumpat itu.The Malaysian Insider


adios

No comments:

Post a Comment