Saturday, August 11, 2012

Diskaun dan rebat toll hingga 37.5 peratus sempena Hari Raya

KUALA LUMPUR, 10 Ogos (Bernama)-- Sebanyak 24 lebuh raya bersetuju memberi diskaun dan rebat tol antara 10 hingga 37.5 peratus bagi kenderaan kelas 1 sempena sambutan Aidilfitri dan ulang tahun kemerdekaan negara tahun ini.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Shaziman Abu Mansor berkata ini merupakan diskaun dan rebat tol tertinggi pernah diberi pengendali lebuh raya di negara ini.
"Bagi pengguna kenderaan kelas 1 yang menggunakan bayaran tol secara elektronik di lebuh raya di bawah kendalian PLUS Berhad, mereka boleh menikmati rebat tol sebanyak 30 peratus pada Rabu dan Khamis, dan pada 22 dan 23 Ogos.

"Manakala bagi lebuh raya lain seperti Lebuhraya Pantai Timur, pengguna akan menikmati diskaun tol di antara 10 peratus hingga 37.5 peratus bermula 18 Ogos hingga 21 Ogos, " katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja ke tapak cadangan pembinaan susur keluar bertol dari Lebuhraya KL-Kuala Selangor (LATAR) ke Jalan B149, Kundang, dekat sini hari ini.

Shaziman berkata bagi meraikan sambutan kemerdekaan pula, Lebuhraya Maju (MEX) dan Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) menawarkan tol percuma kepada pengguna bagi semua kenderaan pada hari berkenaan.

Katanya, 22 lebuh raya lain pula bersetuju memberi insentif berbentuk diskaun dan rebat tol antara 10 hingga 30 peratus.
Dalam pada itu, Shaziman meminta agar segala kerja penambahbaikan di semua lebuh raya dihentikan pada musim perayaan bagi memastikan kelancaran trafik dan mengelakkan kesesakan.

"Kita minta ianya dihentikan dari tempoh seminggu sebelum raya sehingga seminggu selepas raya.

"Dijangka dalam tempoh sehari, sebanyak 1.7 juta pengguna akan menggunakan PLUS pada musim perayaan berbanding 1.2 juta pada hari biasa.Jadi kita tidak mahu bila musim perayaan kerja penambahbaikan ini masih diteruskan, kecuali ianya kecemasan," katanya.

Bergumbiralah semua.

No comments:

Post a Comment