Thursday, August 2, 2012

Anwar Dakwa Najib Ada Dendam Peribadi Terhadap Rafizi

KUALA LUMPUR, 1 Ogos ― Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mendakwa Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Najib Razak mempunyai 'dendam peribadi' ke atas pengarah strategi PKR Rafizi Ramli kerana mendedahkan skandal dalam pentadbirannya, dengan niat untuk menutup mulut pemimpin muda tersebut.

Ketua pembangkang itu (gambar) berkata dia pasti bahawa tuduhan terhadap Rafizi itu kerana pendedahan National Feedlot Corporation (NFC), yang dijalankan oleh keluarga kepada bekas menteri Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, dan konsortium George Kent yang berjaya memenangi bidaan kontrak projek tambahan LRT Ampang.

Rafizi telah berulang kali menuduh Najib dalam campurtangan ke atas bidaan tender dan menganugerahkan kontrak jutaan ringgit itu kepada George Kent, yang beliau dakwa dimiliki oleh 'kawan rapat' kepada PM yang juga mendapat penilaian terendah dari segi penilaian teknikal dan komersial dalam projek tersebut.

"Dengan mendedahkan banyak skandal berbulan-bulan lamanya, Rafizi kini mempunyai banyak musuh yang ramai berdendam dengannya.
"Ini adalah dendam peribadi perdana menteri Datuk Seri Najib Razak yang telah menggunakan banyak agensi kerajaan," kata Anwar dalam kenyataan yang dikirimkan kepada The Malaysian Insider tengah hari tadi.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu menambah bahawa dengan mendakwa Rafizi di mahkamah hari ini Najib mahu menakut-nakutkan rakyat Malaysia yang mahu mengetahui kebenaran tentang kontrak-kontrak yang melibatkan pemimpin Barisan Nasional (BN).
"Saya memuji keberanian Rafizi yang ditunjukkannya, dan kepada keluarganya, saya berharap mereka dapat bersabar dalam kesukaran dan kita pasti keadilan pasti akan muncul pada akhirnya," kata beliau lagi.
Rafizi, yang merupakan pengarah strategi PKR dan juga mengetuai pendedahan terkenal skandal NFCorp, telah didakwa hari ini kerana melanggar Akta Perbankan dan Institusi Kewangan (BAFIA) dalam mendedahkan maklumat sulit bank melibatkan NFCorp.
Syarikat itu dimiliki oleh ahli keluarga Shahrizat, yang menjalankan projek untuk penternakan lembu yang bernilai RM250 juta.

Tuduhan itu di bawah Seksyen 97(1) BAFIA apabila Rafizi telah mendedahkan empat data akaun yang berkaitan dengan NFCorp, National Meat and Lifestock Sdn Bhd, Agroscience and Industries Sdn Bhd dan pengerusi NFCorp Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail, kepada dua individu yang dikenali sebagai Yusuf Abdul Alim dan Erle Martin Carvalho.
Di bawah Seksyen 103(1)(a) dalam akta yang sama, dia juga boleh dikenakan denda sebanyak RM3 juta dan dipenjarakan selama tiga tahun jika didapati bersalah, yang mampu menghancurkan peluang Rafizi untuk bertanding dalam pilihan raya umum akan datang yang mana mandat parti pemerintah BN akan berakhir pada April tahun depan.
NFCorp dan syarikat penternakan itu menjadi tajuk berita utama tahun lalu apabila Ketua Audit Negara melaporkan ia telah gagal mencapai sasaran.

Shahrizat, yang merupakan menteri semasa projek ini dianugerahkan kepada keluarganya pada 2006, meletakkan jawatan pada awal April lalu kerana pertuduhan ke atas keluarganya.

Pada 12 Mac, suaminya Mohamad Salleh, mengaku tidak bersalah dalam pertuduhannya melibatkan penyelewengan dana RM49.7 juta dengan pembelian dua unit kondominium.
Beliau mengaku tidak bersalah ke atas kedua-dua pertuduhannya di bawah Akta Syarikat.

No comments:

Post a Comment