Wednesday, July 25, 2012

Penjawat awam Selangor bakal terima bonus Aidilfitri

SHAH ALAM, 23 Julai — Berikutan pemberian bonus sempena perayaan Aidilfitri bulan hadapan oleh kerajaan Pusat, kerajaan negeri Selangor pimpinan Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim turut dijangka akan memberikan bonus sama kepada penjawat awam di negeri pimpinan kerajaan Pakatan Rakyat tersebut.

“Kakitangan awam kerajaan negeri Selangor juga akan menerima imbuhan Aidilfitri jika Kerajaan Pusat memutuskan pembayaran bonus perayaan bulan depan, kata Khalid hari ini.

Tambah Khalid (gambar) lagi, pentadbirannya akan memastikan kakitangan awam di bawah kepimpinannya akan menerima jumlah sama sepertimana penjawat awam kerajaan Pusat sekiranya mereka memutuskan untuk membayar “bonus” sempena sambutan Aidilfitri kali ini.

“Jika kakitangan Pusat dapat, begitu juga kakitangan awam yang bekerja di peringkat negeri. Kadarnya akan sama sebab ia ada kaitan dengan pencen,” kata ADUN Ijok itu kepada pemberita di sini, hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebelum ini telah mengumumkan akan mempertimbangkan pemberian imbuhan sempena sambutan Aidilfitri kepada penjawat awam kerana ia bergantung kepada kemampuan kerajaan.
Najib turut berkata beliau akan melihat “buku kira-kira” kerajaan terlebih dahulu berhubung perkara itu.

“Nantilah kita semak-semak dahulu, belek-belek dahulu, kena tengok-tengok buku kira-kira dahulu... kalau apa-apa pun kita semak dahulu, apa-apa keputusan mesti berdasarkan kepada kemampuan kerajaan,” katanya ketika diminta mengulas tuntutan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mengenai pemberian imbuhan itu baru-baru ini.

Pada 16 Julai, Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman berkata pihaknya sedang mencari pendekatan terbaik bagi memastikan 1.4 juta penjawat awam mendapat imbuhan itu dan tidak menyebabkan pihak tertentu mengambil kesempatan seperti menaikkan harga barangan.sumber

No comments:

Post a Comment