Tuesday, May 15, 2012

TAMRIN TUN GHAFAR PULAK BUAT HAL: Najib Nak Jawab Tak? Benarkah Ini Surat Tamrin Tun Ghaffar Kepada Najib Tun Razak?


YAB DATO’ SRI MOHD NAJIB TUN ABDUL RAZAK
PERDANA MENTERI MALAYSIA
BANGUNAN PERDANA PUTRA
62502 PUTRAJAYA, MALAYSIA.
Assalamualaikum wbt YAB Dato’ Sri,


PERKARA-PERKARA YANG HARUS DILAKUKAN UNTUK MEMENANGI PILIHANRAYA

Semoga YAB Dato’ Sri senantiasa berada dalam perlindungan Allah di dalam memikul tanggungjawab sebagai Perdana Menteri demi agama, bangsa dan negara.

Saya memilih untuk mengutus surat ini pada hari ini, Isnin 23hb April 2012 kerana pada tarikh ini enam tahun lalu kembalinya ayahanda saya, Allahyarham Tun Abdul Ghafar Baba ke Rahmatullah. Sebelum menutup mata buat kali terakhirnya, beliau telah mengalirkan air mata kepada beberapa orang sahabatnya termasuk Tengku Razaleigh Hamzah dan Tun Musa Hitam yang menziarahinya di hospital. Beliau meluahkan keresahannya tentang masa depan UMNO, orang-orang Melayu dan negara.

Kedua-dua ayahanda kita (Tun Ghafar dan Tun Razak) adalah rakan seperjuangan yang amat rapat berjuang tanpa mengira penat lelah untuk bangsa dan negara.

YAB Dato’ Sri dan saya pula pernah bersama-sama berada dalam Exco Pergerakan Pemuda UMNO di zaman Datuk Haji Suhaimi Kamaruddin dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Walaupun Tun Ghafar Baba diiktiraf sebagai seorang wira negara, tetapi yang sedihnya pembinaan Memorial Tun Ghafar Baba di Peringgit, Melaka sebagaimana yang dijanji dan diluluskan peruntukannya sebanyak RM12 juta oleh kerajaan sejak beberapa tahun lepas, masih belum ditunaikan sehingga ini. Alasan yang diberikan ialah ketiadaan peruntukan sedangkan jika dilihat setiap kali pilihanraya kecil diadakan, begitu banyak peruntukan diberikan kepada sekolah-sekolah venakular Cina dan sebagainya dengan tujuan untuk meraih undi. Bukanlah saya menentang pemberian itu tetapi mengabaikan penghormatan kepada seorang wira negara seperti ayahanda saya dan mengutamakan perkara lain amatlah tidak berpatutan.

Saya juga mengalu-alukan beberapa langkah pembaharuan dan transformasi yang cuba dilakukan oleh YAB Dato’ Sri sejak menjadi Perdana Menteri lebih tiga tahun lalu. Namun demikian, disebabkan dalam masa yang sama wujud juga pelbagai isu dalam negara yang menghantui rakyat, ia telah menyebabkan segala transformasi yang cuba dilaksanakan itu dipertikaikan dan tidak dapat diterima dengan baik.

Menjelang PRU 13 yang dijangka berlangsung pada Jun ini yang mana ia dikatakan ibu segala pilihanraya dan pilihanraya yang akan menentukan sama ada UMNO/BN mampu terus bertahan atau sebaliknya, hari demi hari didapati sokongan dan keyakinan rakyat terhadap UMNO dan BN semakin merudum disebabkan begitu banyak sekali isu-isu serius yang berlaku dan tidak berjaya ditangani.

Atas dasar keprihatinan terhadap UMNO dan ingin terus melihat parti ini mampu bertahan di hati rakyat dan memenangi pilihanraya, saya mempunyai beberapa pandangan yang dirasakan mampu mengembalikan semula kepercayaan rakyat kepada UMNO dan BN, seterusnya mampu menghasilkan keputusan yang cemerlang dalam pilihanraya umum nanti.

1. ISU LEMBU NFC

Sejak isu lembu NFC yang dikaitkan dengan Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Jalil muncul, ia didapati begitu menjejaskan sokongan rakyat kepada UMNO. Ia bukan sekadar suatu skandal yang dikaitkan dengan seorang menteri kabinet, menggunakan duit lembu untuk membeli pelbagai hartanah di Malaysia, Singapura dan Kazashtan, pecah amanah dan sebagainya sebagaimana yang sudah banyak didedahkan tetapi turut menjadi persoalan ialah siapakah yang melulus dan mempunyai kepentingan di sebalik projek berimpak tinggi itu.

Isu NFC tidak dilihat selesai di mata rakyat dengan sekadar Shahrizat “meletakkan jawatan” ( tamat tempoh Senator pada 8/4/12) dan mendakwa suaminya di mahkamah. Oleh kerana RM250 juta itu adalah wang rakyat, maka rakyat sebenarnya berhak untuk mengetahui secara terperinci perkara-perkara seperti berikut:

1) Atas dasar apa pinjaman RM250 juta itu diberikan sedangkan syarikat dan Ahli Lembaga Pengarah langsung TIDAK mempunyai sebarang pengetahuan dan kepakaran dalam bidang penternakan lembu;

2) Berapakah jumlah modal berbayar syarikat semasa pinjaman diluluskan (mesti mempunyai tidak kurang daripada 10% daripada jumlah pinjaman);

3) Siapakah yang bertanggungjawab merekomen dan akhirnya meluluskan pinjaman itu – ini penting kerana berbagai tuduhan mengatakan mereka yang terlibat antaranya ialah YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Noh Omar dan termasuk juga YAB Dato’ Sri sendiri;

4) Apakah terma-terma perjanjian di antara kerajaan dengan syarikat NFC ini sehingga mereka boleh membelanjakan pinjaman tersebut sesuka hati seperti membeli hartanah mewah di Malaysia, Singapura dan Kazashtan.

5) Betulkah kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengerusi PAC, Datuk Azmi Khalid bahawa pinjaman tersebut dikeluarkan SEBELUM perjanjian ditandatangani.

Berdasarkan kepada konsep ketelusan dan keterbukaan YAB Dato’ Sri sendiri, saya berpendapat wajar YAB Dato’ Sri membuktikan konsep tersebut dengan bersetuju terhadap permintaan Pakatan Rakyat untuk menubuhkan sebuah Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat dan merungkai keseluruhan kemelut skandal tersebut memandangkan sudah begitu banyak cakap-cakap dan dakwaan dilemparkan berkaitan isu ini.

Bak kata Saudara Aspan Alias dalam blognya Aspan Alias @ blogspot.com, jika isteri Datuk Salleh hanya seorang bidan kampung atau guru sekolah, mungkinkah syarikat mereka begitu mudah mendapat pinjaman sebanyak RM250 juta selama 20 tahun tanpa perlu membayar semula sehingga di tahun kelima. Faedah yang dikenakan pula hanya 2% saja jika dibandingkan dengan pinjaman perumahan dan kenderaan kakitangan awam sebanyak 4%, sehingga ada yang mengatakan secara sinis, nilai lembu lebih tinggi daripada kakitangan awam.

Tidak kurang juga rasa hampa sebahagian besar ahli-ahli perniagaan dan anak-anak muda yang baru melangkah ke dunia perniagaan, mereka amat susah mendapat pinjaman walaupun setakat RM50 ribu sama ada dari bank-bank mahupun dari agensi kerajaan. Berbagai syarat seperti cagaran dan penjamin mesti disediakan. Biasanya mereka terpaksa menunggu berbulan-bulan lamanya hanya untuk mendapat keputusan. Faedah yang dikekakan pula tidak kurang 10%. Tanya mereka, “di manakah keadilan sebenarnya.”

Dalam masa yang sama, Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Kamilia Ibrahim sendiri berpendapat isu ini amat menyukarkan Wanita UMNO peringkat akar umbi menjalankan kerja bagi menghadapi pilihanraya umum akan datang.

Seperti kata Kamilia, “kami Wanita UMNO dianggap sebagai lembu ke mana-mana kami pergi”. Malangnya atas sebab-sebab perhubungan silam dengan Datuk Seri Shahrizat yang hanya YAB Dato’ Sri sendiri saja tahu telah menyebabkan YAB Dato’ Sri mengambil pendekatan di mana hubungan peribadi mengatasi kepentingan parti.

Hanya dengan penubuhan sebuah Suruhanjaya Diraja yang bebas dan adil saja yang berupaya mengembalikan keyakinan rakyat. Malahan saya percaya selepas Suruhanjaya Diraja ini menjalankan tugasnya dan disusuli dengan tindakan yang bersesuaian oleh pihak berkuasa, tiada sebab lagi untuk rakyat terus meragui UMNO dan kerajaan yang ada sekarang.

2. ISU CINCIN US24 JUTA DAN PERBELANJAAN MEWAH

YAB Dato’ Sri,

Melalui jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz di Parlimen yang mengesahkan kewujudan cincin bernilai US24 juta yang begitu diheboh-hebohkan suatu ketika dahulu. Berbagai kenyataan berhubung isu cincin berlian itu diberikan, menambahkan lagi kesangsian rakyat:-

1. Kenyataan Pertama

Ekoran terpaparnya di kaca-kaca internet borang deklarasi kastam KLIA yang menunjukkan cincin bernilai US24 juta itu adalah kepunyaan isteri YAB Dato’ Sri dan apabila dicabar supaya mengambil tindakan undang-undang, kenyataannya ialah tidak perlu membuang masa.

2. Kenyataan Kedua

Cincin tersebut dibawa masuk ke Malaysia adalah untuk menyertai Pameran Barang-Barang Kemas di Kuala Lumpur.

3. Kenyataan Ketiga

Pengesahan Menteri di Parlimen bahawa cincin tersebut telah dipulangkan kepada Jacob & Co yang berpusat di New York.

Begitu juga dengan dan pembelian pelbagai jenis barangan mewah sebagaimana yang dilaporkan di media yang dikaitkan dengan isteri dan keluarga YAB Dato’ Sri, ia sekaligus menebalkan lagi kesangsian rakyat terhadap kekayaan peribadi YAB Dato’ Sri sekeluarga. Baru-baru ini timbul pula berita YAB Dato’ Sri membelanjakan wang rakyat lebih RM400 ribu untuk jamuan majlis pertunangan anak perempuan dan hampir RM80 ribu untuk sambutan hari jadi YAB Dato’ Sri sendiri.

Sudah timbul cakap-cakap di warung dan kedai kopi bahawa hanya dalam tempoh 3 tahun saja kekayaan keluarga YAB Dato’ Sri telah melebihi kekayaan Imelda Marcos.

Persoalan yang bermain di hati rakyat ialah bagaimanakah kekayaan itu diperolehi. Dalam hal ini YAB Dato’ Sri tidak seharusnya hanya berdiam diri atau sekadar meminta pihak lain membuat penafian tanpa sebarang fakta dan angka. Selain keperluan bersuara sendiri dan mengemukakan bukti untuk menangkis segala dakwaan yang ditimbulkan itu, ada yang menyarankan agar YAB Dato’ Sri berani bersumpah di mana-mana masjid bahawa segala perbelanjaan dan kemewahan yang dimiliki adalah diperolehi secara halal, milik yang sah dan tidak ada satu sen pun hasil dari pengambilan wang rakyat.

Dalam hal ini, saya tidak mahu memberi komen, terserahlah kepada YAB Dato’ Sri sendiri. Tetapi jika ini dapat dilakukan, sudah tentu keyakinan rakyat dapat dipulihkan dan memberi kelebihan untuk YAB Dato’ Sri dalam menghadapi pilihanraya yang akan datang ini.

3. ISYTIHAR HARTA

Sesuai dengan semangat keterbukaan yang menjadi teras kepada mana-mana kerajaan di kebanyakan negara sekarang ini, saya juga ingin mencadangkan agar YAB Dato’ Sri, menteri kabinet dan pegawai tinggi kerajaan mengisytiharkan harta dan kekayaan masing-masing untuk pengetahuan rakyat.

Di Amerika Syarikat, malah di Indonesia pun, calon-calon Presiden dikehendaki mengisytiharkan harta dan kekayaan masing-masing serta keluarga sebelum mereka menawarkan diri menyertai pilihanraya. Sekiranya perkara yang sama dapat dilakukan oleh YAB Dato’ Sri sebelum pilihanraya ini, ia tentunya suatu berita gembira bagi rakyat dan mereka akan dapat menilai sama ada seseorang pemimpin itu terlibat dengan rasuah atau sebaliknya.

Dalam hal ini, saya amat berkeyakinan jika amalan mengisytiharkan harta dan kekayaan oleh anggota kabinet dan pegawai tinggi kerajaan termasuk keluarga mereka untuk pengetahuan rakyat dapat dijadikan teras pentadbiran YAB Dato’ Sri, ia akan mampu melonjakkan sokongan rakyat dalam menghadapi pilihanraya umum ini serta boleh dijadikan garis panduan bagi pemimpin akan datang sama ada di peringkat pusat mahu pun negeri.

adios

No comments:

Post a Comment